Hari ini 2 Syawal 1430 H. Maknanya telah 2 hari kita meninggalkan Ramadhan. Bagi mereka yang berjiwa sufi kesedihan berpisah dengan bulan penuh keberkatan ini akan berterusan. Esok 3 Syawal dan hari-hari berikutnya adalah hari-hari yang ditangisi.
Justeru, tidak perlu menunggu lama, hati dan jiwa yang halus ini akan kembali merindui Ramadhan. Dorongannya tidak lain melainkan untuk beribadah hanya kepadaNya. Titik!
Bagaimana dengan kita yang ramai ini pada saat ini ?
Pastinya kita gembira. Perasaan ini mengiringi tasbih, tahmid dan takbir Raya yang menggema ruang angkasa malam 1 Syawal. Pada esoknya kegembiraan itu mencapai kemuncaknya.
Apa pun jenis perasaan yang kita alami pada saat ini ia adalah petunjuk kepada keberhasilan atau kegagalan kita beribadah sepanjang 29 hari Ramadhan lalu. Ia menjadi ‘pembaris’ iman yang mengukur kualiti puasa kita dan amal-amal sunat lain yang sangat dianjurkan pada bulan mulia tersebut.
Kesan ibadah puasa dilihat sekarang dan pada hari-hari mendatang. Kesan utama ini akan dizahirkan pasca-1 Syawal. Ia adalah terjemahan kepada kefahaman dan amalan puasa sebagai adat atau ibadat. Maksudnya peningkatan kualiti hidup peribadi muslim berkorelasi atau berhubungkait langsung dengan kualiti amal ibadah sepanjang Ramadhan.
Dalam ilmu Matematik, hubungkait ini ditakrifkan sebagai berkadar langsung atau terus. Satu parameter bertambah, yang satu lagi akan turut bertambah dengan kadar tertentu.
Puasa menjadi adat apabila kita berpuasa sebagaimana orang awam lain berpuasa. Kita berpuasa tanpa memahami falsafah dan hikmat (ilmu) di sebalik kewajiban berpuasa. Puasa ini menjadi amal yang tiada nilai apabila kita kekal bertaklid; iaitu mengikut saja tanpa memperdulikan hukum hakam dan selok belok ibadah ini.
Bukti amalan taklid ini ?
Pertama, saf penuh di 10 malam pertama tarawih di masjid. Lepas tu kian menyusut hinggalah malam-malam terakhir Ramadhan. Dan selepas itu, masjid (kembali) lengang seperti sebelumnya. Masjid kembali menjadi milik orang tua dan segelintir orang muda yang lebih awal insaf.
Ibadah puasa dan pengisian di malam hari hanyalah hangat-hangat tahi ayam. Ibadah Ramadhan memadai dengan berpuasa sahaja. Itu pun – sebagaimana lazim – hanya menahan lapar dan dahaga. Sedangkan maksud puasa menahan nafsu perut dan anggota zahir lain.
Opss! Tidak cukup dengan itu saja, puasa bahkan adalah suruhan ALLah agar kita menahan nafsu batin atau dalaman insan seperti nafsu untuk menahan kecenderungan jahat emosi dan hati insan. Kerana itulah puasa ialah amalan zahir dan batin insan.
Kedua, ramai dari kita pergi bazaar Ramadhan – perniagaan musiman popular kuih, pakaian dan bermacam lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sejak awal hinggalah malam-malam terakhir bazaar ini sesak dengan pelanggan. Jumlah pelanggan kian meningkat menjelang Syawal.
Saya tidak mengatakan pergi ke bazaar satu kesalahan apatah lagi berdosa pula. Ada keperluan yang boleh kita tunaikan di bazaar ini. Cuma saya je yang tak suka ke bazaar. Selain terlalu ramai orang, saya rasa cukuplah saya membeli belah di Jusco, Giant atau Parkson. Selesa pun selesa.
Atas alasan inilah saya tidak pergi membazaar walau pun sekali. Makan berbuka pun di rumah mak. Sekali sekala masak sendiri.
Ramadhan adalah bulan berjimat duit sebenarnya. Duit yang ada hanyalah untuk keperluan yang minima dan infaq fi sabilillah. Terlalu ramai orang fakir miskin dan yang menderita yang memerlukan sumbangan kita.
Berhampiran dengan kampung saya di Peringgit Bazaar Ramadhannya adalah satu fenomena. Popularnya bukan main di kalangan orang Melayu kota Melaka. Ramainya pelanggan bazaar ini hingga kenderaan yang banyak diparkir di bahu jalan menggangu laluan trafik di jalan utama.
Ironisnya, pada masa sama masjid sebagai pusat amal dan ibadah kian lengang walaupun kempen dan iklan 10 malam terakhir untuk memburu lailatul qadr dicanang dicorong radio dan media lain.
Kempen dan iklan melalui media ini masih gagal mencetus kesedaran massa untuk mengisi pusat-pusat ibadah orang Islam ini. Mungkin agaknya ia masih belum menjadi iklan popular yang suka didengari pelanggan media sama ada penonton, pendengar atau pembaca.
Yang lebih utama ialah buat persiapan sambut raya. Yang terus diperbaharui, dielok, dihias dan dicantikkan ialah perabot rumah, langsir, kereta, pakaian dan macam-macam lagi. Sayangnya semua ini bersifat kebendaan. Dan masa untuk ‘membazaar’ pula bukannya sekejap.
Kerana itu bazaar Ramadhan menukar umat Islam kepada amalan membazir Ramadhan mereka. Pembaziran ini tidak kelihatan kerana soal pahala dan dosa, rohani dan iman bersifat abstrak atau ghaib. Ia tidak mempesona atau menimbulkan rasa ghairah untuk beribadah.
Kesungguhan hanya pada berbelanja duit untuk membeli belah, tidak pada berbelanja masa di tikar sejadah.
Saya sendiri pada usia menghampiri 40 tahun gusar dengan kualiti amalan puasa saya. Ada petunjuk yang ia masih belum mencapai kualiti puasa yang sepatutnya. Jangankan puasa nabi, puasa orang soleh biasa pun belum tentu saya telah berjaya saya lakukan.
Nak bangun malam pun – kata orang Melaka – bercinta!
Namun, dalam kelemahan dan kerendahan jiwa ini saya masih berdoa agar ALlah memberi saya kesempatan baru Ramadhan 1431 H kelak dan yang seterusnya. Sungguh sukarnya mencetus, memupuk dan menyuburkan rasa taqwa kepada ALlah. Belum tentu tujuan la’allakum tattaqun tercapai sempurna. Oleh itu, masih banyak lagi ruang dan peluang saya perlukan untuk menjadi hambaNya yang soleh dalam erti kata sebenarnya.
‘ Lahau lawa la quwwata illabillahil ‘aliyyil adzhim ‘
Saya percaya sampai bila-bila pun saya akan dahagakan pahala dari yang Esa. Namun, sebagai muslim, matlamat pokok – sebagaimana yang diajar dalam ilmu tasawuf – ialah untuk mengecap mahabbah (cinta) agung terhadap ALlah dan Rasul.
Dengan hadirnya rasa mahabbah ini barulah saya akan memiliki mardhatillah. Apabila ini berjaya dicapai barulah saya dan semua muslimin berpuasa sebagai ibadat.
Amin ya rabbal ‘alamin.
Selamat Merayakan Hari Lebaran 1430 H.