Naskah Budi

Saya menganggap diri saya seorang yang konservatif. Tapi tidaklah pula hingga menjadi kolot. Sikap ini bukan lagi suatu kecenderungan tetapi suatu yang telah terbina sejak kecil lagi. Dan saya membesar dengannya sehinggalah sekarang pada usia 39 tahun.

Pelajar-pelajar saya mungkin telah memahami sikap dan sifat saya ini melalui pandangan, leteran dan kritikan saya semasa kuliah.

Dalam kuliah ketika lisan saya berbicara ada yang suka, tersentuh. Tapi ramai lagi yang mungkin marah, mencemik kerana tersinggung. Yalah mungkin ada yang saya ‘luahkan’ telah terkena batang hidung mereka.

Tak mengapalah! Itu sudah resam dalam melaksanakan pendidikan. Ia lumrah kepada semua insan yang cuba mengikuti sunnah orang yang ingin berbuat baik kepada orang lain.

Walau apapun reaksi pelajar, saya tetap akan melaksanakannya lagi dan lagi. Mendidik bukanlah satu pilihan, tapi satu beban (tanggungjawab). Hanya cara dan pendekatan mendidik saja adalah pilihan.

Saya perlu kreatif apabila menitipkan mesej kehidupan. Antara cara yang selalu saya gunakan ialah melalui pengungkapan pantun klasik Melayu. Ia adalah nukilan jiwa Melayu yang sarat maksud budi.

Kerana keindahan bahasa dan penyampaiannya yang penuh hikmah saya cuba mempertaruhkan khazanah bangsa saya ini ke dalam pemikiran pelajar-pelajar saya. Jika berkesan, pasti gaya hidup mereka boleh berubah ke arah yang lebih baik – sebagai Melayu-Islam di tengah-tengah cabaran kehidupan yang serba moden hari ini.

Mari kita raikan naskah budi ini. Ia tak lapuk dek hujan, tidak juga lekang dek panas:

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang saya mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang saya musafir lalu

Kalau keladi sudah ditanam
Jangan lagi meminta balas
Kalau budi sudah ditanam
Jangan lagi meminta balas

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Biar jauh dinegeri satu
Hilang dimata dihati jangan

Bunga Cina bunga karangan
Tanamlah rapat tepi perigi
Adik di mana abang gerangan
Bilalah dapat bertemu lagi

Kalau ada sumur di ladang
Bolehlah kita menumpang mandi
Kalau ada umurku panjang
Bolehlah kita bertemu lagi

Pohon pepaya di dalam semak
Pohon manggis sebasar lengan
Kawan tertawa memang banyak
Kawan menangis diharap jangan

Sayang Semarang Gunung Merapi
Anak gelama dituba jangan
Tidak dilarang adik berlaki
Janji yang lama dilupa jangan

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Saya berharap sangat pengungkapan naskah budi ini masih dapat diterima pelajar saya walaupun saya tahu sambutannya mungkin dingin. Saya telah lama menyedari bagaimana pelajar-pelajar saya sangat terdedah kepada naskah jiwa moden yang lebih memikat dan mempesona.

Mesej ‘jiwang dan cintan’ dalam naskah baru ini telah lama membelai jiwa mereka. Tidak cukup setakat itu, naskah budi ini juga disaingi sengit oleh naskah-naskah popular lain seperti rock, hip hop, dan banyak lagi.

Mengapa ini boleh dan terus terjadi?

Alasannya tidak susah untuk ditelah. Antara alasan itu adalah berlakunya fenomena pensejagatan (globalisasi) dan kewujudan dunia tanpa sempadan (borderless world) yang mengasak keperibadian bangsa.

Kedua-dua fenomena ini bukan saja mensasarkan sisi ekonomi dan kebendaan dalam perniagaan. Ia juga, pada masa sama menjadi alat penyebaran fikrah barat yang sekular-liberal. Ia adalah penjajahan minda dan budaya. Inilah yang sering dimaksud dan dibimbangi budayawan kita tentang wujudnya strategi baru Barat menjajah manusia khususnya orang Islam.

Setelah gagal dalam Perang Salib 200 tahun, Barat menukar strategi kepada pendekatan psik0logi. Sarjana arab muslim memanggilnya sebagai al-ghozwu al fikr. Kerana ia halus dan bergerak atas nama kebudayaan, pendidikan, tanggungjawab sosial, hak asasi, demokrasi tidak ramai yang perasan lalu terjebak.

Hasilnya ialah apa yang sedang berlaku dalam masyarakat dunia sekarang. Bila kita jujur dan berani meninjau ke wilayah kita pula, pasti kita melihat simptom-simpton kemusnahan jati diri bangsa, agama dan negara sedang parah berlaku. Ia begitu meresap dan meluas kesannya.

Hari ini budaya liar, biadap dan miskin budi bukan lagi gejala orang kota. Orang desa pun tidak kurang hebatnya. Kita tidak boleh menafikannya dan berkata ‘alah itu kes terpencil’ lagi.

Apakah kita sekadar memerhati proses keruntuhan nilai tradisi turun temurun berlaku di depan mata kita?

Saya bimbang penolakan naskah budi Melayu ini sebagai petanda kian jauhnya generasi muda hari ini dari akar budayanya.

Saya cuba bersikap optimis dengan memujuk hati saya bahawa masih ada dalam diri jiwa pelajar saya yang berbaki jati diri Melayu.  Saya mahu percaya bahawa ALlah masih sayangkan umat Melayu-Islam di negara bertuah ini.

Dengan kepercayaan ini saya akan terus mempertaruhkan naskah budi warisan bangsa biar pun sedar ia disaingi hebat oleh naskah popular masa kini.

‘Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung’.

4 comments on “Naskah Budi

  1. salam alaik..
    Cikgu terima kasih atas naskah ini..amat berharga..dan terima kasih sbb sudi jadi cikgu saya satu ketika dulu..kini sy bermujahadah utk siapkan master sekali lagi cikgu ingatkan sya “jadilah studen master yg baik” ianya amat berharga..walaupun di layan sgt teruk tp sy tetap akan siapkan tesis master sya..doakan kejayaan saya di dunia dan akhirat ye cikgu..jazakallah atas tunjuk ajar cikgu selama ini..wassalam

  2. Wah..cikgu masih kenal saya ke?
    Sangat terharu sebab guru kenal anak murid sendiri.. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih di atas doa cikgu. Pada saya, sangat-sangat tak rugi masuk Uniti dulu. Uniti memberi 1001 impak yang positif pada diri saya.

    Apa-apa pun, terima kasih di atas kata-kata cikgu untuk perenggan terakhir tu.

  3. Salam Cikgu Bad..

    Saya pelajar cikgu masa kat Uniti tahun 2006 untuk subjek Pengajian Malaysia. Bila cikgu cakap tentang konservatif dan kolot, saya teringat 1 pepatah cikgu “Saya moden tapi tidak kebaratan, konservatif tapi tidak kolot”… Betulkan? Maafkan saya kalau salah..

    Saya tak rasa dalam kuliah cikgu perlu ada rasa nak marah..Tapi seronok. Sebab dengan kuliah cikgu, secara tak langsung saya dapat tahu dunia luar, dunia politik dan macam-macam..

    Harap-harap pelajar cikgu seronok dengan kuliah cikgu seperti mana saya yang enjoy sepanjang proses pembelajaran dulu..

    • ‘Alaikisalam Rashidah,

      Ya cikgu masih mengenali Rashidah. Dah lawat pun facebook Rashidah. Juga blog ‘ichi’.:)

      Terharu cikgu bila bekas pelajar cikgu – yg dah lama ‘tinggalkan’ Uniti – masih ingat ungkapan atau frasa budi tersebut. Terima kasih kerana ‘bernostalgia’ dgn cikgu. Testimoni Rashidah menginsafkan cikgu dan menjadi cermin kepada tanggungjawab cikgu dalam mendidik pelajar.

      Cikgu seronok mengajar kursus Pengajian Malaysia sejak dulu sampai sekarang walaupun kekadang tu digugat oleh keengganan dan kemalasan pelajar terutamanya pelajar2 generasi baru sekarang.

      Terima kasih Rashidah kerana sudi menjadi pelajar cikgu. Moga Allah melorongkan kejayaan dalam hidup Rashidah baik dalam dunia profesionalisma mahupun alam rumah tangga nanti. Amin

Leave a comment