Buku Baru yang Sudah Usang

Masa tu sekitar tahun 2002 rasanya. Baru 6 tahun berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej UNITI. Saya baru sahaja ‘berhenti’ mengajar kursus Kimia ketika itu gara-gara program Pra-Sains UiTM diberhentikan. Sehingga sekarang pun saya masih tidak mengetahui sebab musabab program itu ditamatkan.

Seingat saya, selepas itulah saya mula mengajar kursus sains sosial. Satu daripadanya ialah Kenegaraan atau Pengajian Malaysia, selain Tamadun Asia. Mengajar kursus dari gugusan sains sosial itu bukan kerana terpaksa tapi kerana saya memang memilih untuk mengajarnya secara peribadi. Saya berminat untuk mengajarnya. Sungguh!

Continue reading

Melayu Bangsa Pemalas – Mitos atau Realiti?

Benarkah Melayu itu bangsa yang malas?

Orientalist dulu pernah menyatakan orang Melayu bangsa pemalas. Sampai sekarang pun saki baki pemikiran atau persepsi itu masih ada dalam kotak minda bangsa bukan Melayu. Barangkali inilah alasannya mengapa tokey syarikat di kota metropolitan tidak mahu menggajikan eksekutifnya dari kalangan bangsa Melayu. Atau juga kerana dorongan lain yang kita tidak mampu selami.

Apapun gambaran yang bersarang dalam benak sesetengah dari kita tentang orang Melayu ini, ia tidak mengubah fakta sejarah beratus tahun bahawa orang Melayu pernah membina kerajaan ulung yang tersohor di rantau Asia ini. Fakta ini bukanlah mitos atau cerita lisan rakyat yang diwarisi turun temurun. Ia adalah hasil kajian arkeologi dan ahli sejarah.

Continue reading

Internet, Plagiarisme dan Pelajar

Ketika ini pelajar-pelajar saya sedang bertungkus lumus mempersiapkan bahan untuk pembentangan tugasan atau kajian mini Pengajian Malaysia. Setelah kira-kira 2 bulan lebih soalan diberi, masanya hampir tiba untuk saya melihat hasilnya.

Walaubagaimanapun sepanjang masa ini, hanya beberapa kerat sahaja kumpulan pelajar yang menemui saya untuk berbincang mengenai tajuk tugasan mereka. Saya mengharapkan lebih ramai lagi yang mencari suluhan atau petunjuk tentang proses memula, mencari dan menyudahkan tugasan kursus yang berat ini. Tapi ini tidak berlaku sebagaimana diharapkan.

Yang berjumpa saya pula dengan kerenah dan ragam masing-masing. Misalnya ada yang merungut ‘…tajuknya tidak ada dalam internet cikgu.’ Jelas nada kehampaan mereka kerana setelah lama meng’goggle‘ bahan-bahan internet masih juga gagal ditemui. Internet seperti ‘tidak mesra-pelajar’ yang begitu beria-ia ini.

Continue reading

Minda Tertawan – Satu Persepsi Budaya

Saya sentiasa menghujahkan bahawa kita wajib mewarisi pusaka bangsa sendiri. Tak kiralah kita ni bangsa Melayukah, Cinakah, Indiakah atau bangsa-bangsa lain yang masih wujud di dunia hari ini. Dengan cara ini kita akan terus dekat dengan akar budi (budaya) bangsa sendiri. Budaya itu biarlah tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Kita dikenali sebagai Melayu kerana cara hidup yang kita amalkan – pertuturan, budi bahasa dan agama yang dianuti. Begitu juga bangsa lain. Di sinilah alasannya mengapa sejarah itu penting kerana ia memperkenalkan kita kepada asal usul kita. Pembelajaran ini berlaku di sekolah selain – secara tradisionalnya – melalui lisan datuk nenek dan ibu bapa kita kepada kita anak cucu mereka.

Kerana nilainya yang sangat mahal dan bersifat peribadi kepada keturunan kita sampai bila-bila pun, maka budaya asli (asal) kita wajib dipelihara dan sampai ke satu tahap wajib dipertahankan apabila terdapat ancaman ketara yang boleh menghakis asas dan kerangka budaya kita. Antaranya ialah kempen dan promosi mega oleh pihak berkuasa negara dan pihak swasta baik secara langsung dan tidak langsung – kerana kesan kebangsaannya – agar rakyat berusaha menguasai bahasa Inggeris.

Rakyat cuba dipengaruhi dan diolah pandangannya (public opinion) agar bersetuju dengan langkah ini kerana ia menjadi tuntutan globalisasi – suatu fenomena yang tidak dapat dihalang oleh mana-mana negara dan undang-undang!

Tapi saya ingin memilih untuk akur kepada pandangan budayawan dan sarjana kita yang TIDAK BERSETUJU dengan kempen dan promosi Bahasa Inggeris ini. Mereka telah bersuara dan secara konsisten menyampaikan pandangan mereka bahawa dasar seperti PPSMI dan seumpamanya hanya akan mengakibatkan kepupusan budaya dan tercabutnya akar budi Melayu satu masa nanti.

Jika benar bahasa Inggeris mesti dikuasai – saya bersetuju dan tidak ada masalah dengan saranan ini – tentunya ada cara lain yang lebih praktikal BUKAN dengan cara PPSMI. Pandangan majoriti penentang dasar ini ialah ‘…lain yang sakit lain pula yang diubatinya”.

Masalah pembelajaran bahasa lazimnya  adalah masalah pendekatan atau metodologi. Justeru dalam konteks sekarang, yang perlu ditangani, ditambah baikkan dan diperbetulkan adalah cara pengajaran subjek Bahasa Inggeris di dalam bilik darjah. Bukan dengan mengajar subjek Sains dan Matematik – subjek genting kepada pelajar Melayu – dalam Bahasa Inggeris!

Saya tidak akan memanjangkan hujah mengenai isu ini. Sebabnya nawaitu saya menulis pada pagi Sabtu ini adalah untuk berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai senaksah tulisan Prof  Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI mengenai kesan jangka panjang penggunaan Bahasa Inggeris ke atas kelangsungan fikrah dan paradigma asli Melayu. Saya mengutipnya dari blog Prof Abdullah ‘Utusan Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI’. Saya telah warnakan frasa-frasa tertentu untuk tujuan menangkap perhatian pembaca.

Moga para pembaca budiman sekalian masih memiliki baki kasih dan sayang kepada warisan budaya bangsa sendiri yang semakin diancam dan dihakis kini. Tulisan ini, insyaALlah akan mencelikkan lagi pandangan kita mengenai isu dan polemik bahasa ini. Kerana ia ada ilmu, pengalaman dan kecintahan yang tulus ikhlas kepada bangsa dan tanah air kita, setelah disuluh oleh agama Islam yang sarat roh keimanan dan budi.

Wallahu a’lam

——————-

Minda tertawan setelah terkesima oleh bahasa Inggeris

Apakah yang dimaksudkan dengan minda tertawan? Bagaimana bahasa Inggeris itu mewujudkan minta tertawan, iaitu tertawan dalam minda Inggeris?

Tempat bahasa Melayu sepatutnya adalah benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda untuk anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Inggeris, maka bahasa Inggerislah yang menduduki benak anak-anak Melayu itu. Akibatnya minda mereka menjadi minda tertawan dalam minda Inggeris.

Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ekspresif harian mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi.

Seterusnya, berdasarkan hipotesis Malik Bennabi pula, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung dalam bahasa Melayu lagi.

Salah satu daripada idea-idea induk dalam bahasa Melayu itu adalah nilai-nilai Islamnya. Oleh kerana bahasa bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang “menjawab” ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti “derhaka” dan “syurga itu di bawah tapak kaki ibu” hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan digantikan oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Wira mereka bukan lagi Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur dan The Knights Of The Round Table.

Apabila bahasa asing berjaya masuk ke dalam benak bangsa Melayu, maka dua perkara akan berlaku. Pertama adalah kebocoran bendung budaya, dan kedua kehilangan keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri. Kebocoran bendung budaya itu menyebabkan orang Melayu itu merasa kagum kepada budaya Barat.

Ini pernah diamati oleh Ibnu Khaldun lapan ratus tahun dulu. Dengan itu mereka akan menyerap unsur budaya yang dikagumi. Maka bocorlah bendung budaya Melayu. Malah lebih serius daripada itu adalah, sebagai sebahagian daripada kebocoran budaya itu juga menyebabkan lemahnya nilai agama Islam mereka sendiri, dilemahkan oleh kemasukan unsur Barat tersebut. Menolak hukum agama demi sistem undang-undang Barat adalah salah satu daripadanya.

Kesan kedua pula adalah bangsa Melayu itu akan mengalami gejala hilangnya keyakinan pada keupayaan diri sendiri dan juga hilangnya semangat kreativiti mereka. Gejala ini jelas dapat dilihat di kalangan golongan terpelajar bekas tanah jajahan yang tidak yakin akan keupayaaan mereka mencipta produk-produk intelektual sendiri.

Mereka berpuas hati dengan menjadi agen yang menterjemahkan, mengajarkan, mempopularkan dan menerapkan sahaja produk-produk intelek tokoh-tokoh tersebut di negaranya. Jikalau sekali-sekala ada yang berani mencipta produk-produk intelektual mereka sendiri, rakan-rakan mereka pula yang tidak menaruh keyakinan akan mutu produk-produk itu. Oleh hal yang demikian mereka tidak menggunakan produk-produk intelektual tempatan sebagai rujukan yang dianggap berwibawa.

Menurut Malik Bennabi, akibat daripada keadaan seperti di atas individu-individu yang hilang keyakinan pada keupayaan diri sendiri itu akan terjerumus ke dalam proses meminjam dan terus meminjam secara langsung dan ad hoc segala macam benda-benda, idea-idea dan institusi-institusi yang bersumber pada bahasa-bahasa asing tersebut, dengan tidak mempersoalkan kesesuaian dan keserasiannya dengan kebudayaan bangsa yang meminjamnya.

Sebagai contoh benda-benda yang dipinjam itu adalah seperti yang dilakukan oleh sesetengah elit tempatan memasang besen mandi, membuat balkoni, cimni, menyimpan gelas wain dalam almari, dan memasang gebar musim salji di katil mereka.

Begitu juga, sebagai contoh idea yang dipinjam adalah, kita bercuti pada hari Ahad, meraikan hari jadi, memotong kek, meniup lilin sambil menyebut hajat di hati, membaling wang syiling ke dalam telaga hajat, merayakan tahun baru, “halloween dan valentine,” serta minum tos untuk kesihatan Yang Di-Pertuan Agong dalam majlis.

Beberapa contoh institusi yang juga dipinjam adalah pilihanraya ala-barat, sistem kewangan berdasarkan riba dan banyak lagi.

Hanya orang yang terkesima dengan bahasa dan budaya Inggeris itu mahu melakukannya. Apabila semua ini berlaku, maka adakalanya, mereka ini akan memandang rendah terhadap bahasa dan budayanya sendiri. Hilanglah keyakinan mereka terhadap bahasa dan budayanya sendiri. Mereka hanya yakin bahasa Inggeris itulah yang dapat melakukan segala-galanya.

Maka lahirlah individu yang kita katakan mempunyai minda tertawan, tertawan dalam minda Inggeris.

————–

Tulisan ini boleh diakses di alamat berikut http://profabdullah1.wordpress.com/2008/12/05/minda-tertawan-setelah-terkesima-oleh-bahasa-inggeris/?referer=sphere_related_content/

Buku Baru di Pasaran – ‘Out of Tempurung’.

Baru-baru ini saya telah membeli sebuah buku bertajuk ‘Out of the Tempurung’ – Critical Essays on Malaysian Society’ di MPH, Mahkota Parade Melaka. Buku edisi pertama 2008 ini diterbitkan oleh East West Publishing Pvt Ltd, Australia dan dijual pada harga RM25.0o.

Saya tertarik untuk membelinya kerana naskah ini menyentuh isu-isu pembinaan negara-bangsa atau kenegaraan Malaysia – yang ketika ini menjadi tema wacana ilmiah dan juga bahan sembang  rakyat.

Sebagai ahli akademik, naskah ini memang dicari-cari kerana cara pengupasan isu yang kritis mampu memberikan gambaran yang lebih objektif dan seimbang biarpun isu-isu ini (sains sosial) tergolong dalam bidang subjektif.

Ada 10 artikel yang telah dipilih oleh editornya, Fong Chin Wei dan Yin Ee Kiong. Antara yang menarik ialah tulisan oleh Farish A Noor – In Search of a Malaysian Identity, Khoo Kay Kim – The Road to Nationhood and Nation Building dan Kassim Ahmad – The Malaysia I Want. Banyak lagi tulisan menarik untuk dibaca.

Kepada yang meminati bidang Kenegaraan Malaysia, buku ini mampu menyajikan pemikiran yang kritis dan terbuka bagi memahami isu-isu penting dan genting dalam negara kita, terutamanya apabila sejak akhir-akhir ini kontrak sosial dijadikan isu oleh opurtunis politik hingga mengocak sebentar ketenangan hubungan inter-etnik di negara kita.

Selamat membaca.

Muhasabah Untuk Rakyat Malaysia

Saya ingin berkongsi lagi dengan khalayak pembaca sekalian mengenai luahan perasaan orang Melayu yang tersinggung dengan rakan bukan Melayunya yang asyik dan terus mempertikai hak orang Melayu samada secara langsung atau tidak langsung.

Sikap etnosentrik kaum bukan Melayu ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini walaupun peringatan telah diberikan oleh pihak Istana, kerajaan dan PDRM. Kelihatannya peringatan dari pihak berkuasa ini bukan saja tidak dihirau bahkan tidak dihormati.  Ironisnya, suara yang ‘menjolok sarang tebuan’ ini datangnya dari ahli komponen BN sendiri.

Bagi orang Melayu khasnya adakah kita begitu naif untuk memahami niat dan cita-cita politik golongan opurtunis ini yang memperalatkan isu-isu hak dan keadilan menjadi isu perkauman bagi meraih sokongan kepada perjuangan politik mereka!

Rencana dari Akrib Utusan Malaysia Online 1 Disember 2009  meluahkan isi hati bangsa Melayu terhadap isu ini.

———–

RENCANA

ARKIB : 01/12/2008

Apa dosa Melayu terhadap bukan Melayu?

MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu?

Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan.

Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri.

Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu.

Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan.

Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian.

Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000.

Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu.

Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti ‘menyalak’ dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu – ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik.

Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang ‘bertuah’ manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri.

Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut.

Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan ‘air liur’. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara.

Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu.

———-

Rencana ini boleh diakses di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Ketuanan Melayu – Jernihkah Perspepsi Anda?

Berikut adalah rencana terbaru mengenai pendirian pro-Ketuanan Melayu – ditulis secara separa ilmiah – yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia Online 6 Disember 2008 / 8 Zulhijjah 1429. Saya siarkan semula tulisan ini dengan sedikit elemen ‘kosmetik’ bagi menonjolkan poin utama penulis.

Tulisan ini pada saya  memberikan sedikit kejernihan pemikiran mengenai polemik ini. Ia jauh dari mengambil pendirian etnosentrik keMelayuan tetapi cuba mempertahankan keperibadian bangsa Melayu yang kini sedang cuba dimomok-momokan dengan imej dan label yang sangat negatif.

Justeru, ia wajar untuk direnungi oleh semua pihak terutamanya yang sangat ktitikal terhadap apa-apa sahaja hak dan kedudukan mengenai orang Melayu  di tanah airnya sendiri.

Kepada yang berselindung di sebalik konsep keadilan dan hak asasi terutamanya politikus dalam BN, pemikiran dan niat ‘terpendam’ mereka untuk mewujudkan Ketuanan Rakyat – yang baik dari segi konsep dan falsafahnya – juga harus berfikir lebih halus kerana ia membawa implikasi kelahiran sebuah negara baru!

Dengan hidayah Allah (atau Tuhan agama lain yang diimani oleh bukan Islam)  saya berdoa agar pilihan yang kita ambil akhirnya membawa kebaikan untuk semua di tanah air tercinta ini, dan ia bukannya khusus untuk bangsa Melayu sahaja.

——–

Sukarkah memahami ketuanan Melayu?

Oleh Asri Salleh dan Ahmad Suffian Mohd. Zahari

Konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial merupakan konsep yang telah lama menjadi sasaran sebilangan pemimpin dan parti politik di Malaysia untuk diperdebat. Polemik mengenai konsep ini memberi petunjuk, pertama kurangnya pemahaman sebilangan rakyat Malaysia tentang konsep berkenaan.

Kedua, kurangnya usaha untuk memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tentang konsep tersebut. Ketiga, salah faham tentang konsep itu dan keempat salahnya usaha untuk menerangkan konsep tersebut.

Tiada kamus yang mendefinisikan terma ‘Ketuanan Melayu.’ Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada ‘dominasi bangsa Melayu’ (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malay Supremacy atau Malay Dominance). Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil ‘kontrak sosial.’

Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.

Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan.

Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu – dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:

1. Timbal Balas (Quid Pro Quo)

Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai ‘kontrak sosial.’ Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

2. Artikel 153

Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.

Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.

3. Kehilangan Singapura

Singapura diterima masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum ia kemudiannya disingkir pada 9 Ogos 1965. Kemasukan Singapura menyebabkan populasi kaum Cina meningkat sehingga 35.7 peratus berbanding kaum Melayu iaitu 38.4 peratus (In-Won Hwang, Personalized Politics; The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS, Singapore, 2003, pg.54).

Dominasi kaum Cina dan pengenalan polisi bukan pro-Melayu di Singapura mendorong kepada meletusnya beberapa rusuhan kaum di pulau tersebut. Ketidakstabilan Singapura akhirnya mendorong kepada penyingkirannya daripada Persekutuan Malaysia.

Episod rusuhan kaum di Singapura dan kesanggupan Kerajaan Malaysia untuk kehilangan sebuah ‘tanah Melayu’ merupakan sesuatu yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan. Demi keharmonian dan keamanan Malaysia keseluruhannya, kepentingan penduduk asal dan pulau Singapura terpaksa ‘diketepikan.’

Bagi kebanyakan orang Melayu, episod Singapura adalah lambang kegagalan ketuanan Melayu. Justeru, ini juga adalah antara faktor utama sehingga kini, mengapa orang Melayu begitu sensitif apabila konsep ketuanan Melayu dipersoalkan.

Agenda

4. Malaysian Malaysia

Democratic Action Party (DAP) antara lain, meneruskan agenda Malaysian Malaysia (selepas pengharaman PAP di Malaysia) secara terbuka ke seluruh negara. Kempen berkaitan agenda ini menjadi amat popular terutama menjelang pilihan raya tahun 1969. Keputusan pilihan raya 1969 yang tidak memihak kepada Kerajaan Perikatan (kehilangan Pulau Pinang, Perak dan Kelantan dan 2/3 majoriti di Parlimen) memburukkan lagi suasana. Ketidaktentuan keadaan politik semasa akhirnya menyebabkan terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Rusuhan tersebut menyebabkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa polisi affirmative yang merupakan sebahagian daripada usaha melindungi agenda atau konsep ketuanan Melayu. Antaranya ialah pindaan Perlembagaan yang mengharamkan sebarang perdebatan (termasuk dalam Parlimen) ke atas hak dan kedudukan istimewa bumiputera, penambahan skop dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemaktuban kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

Langkah sosio-ekonomi yang paling utama pasca tragedi 13 Mei yang dilancarkan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, memansuhkan penyamaan identiti kaum dengan peranan ekonomi, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan meluaskan kek ekonomi.

Antara Kesamarataan dan Keadilan

Salah faham tentang ketuanan Melayu berpunca daripada pemahaman serong bahawa orang Melayu, melalui hak kelahirannya sebagai bangsa Melayu mesti dianggap dan dilayan sebagai tuan dan di mana orang bukan Melayu pula adalah sebagai hamba. Fahaman ini adalah kefahaman sesat.

Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah. Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.

Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan ditidakkan.

Ia sekali gus mengesahkan bahawa kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tidak sesekali disisihkan.

Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Sesungguhnya, keadilan adalah lebih penting daripada kesamarataan.

Semua agama menganjurkan bahawa keadilan adalah tunjang kehidupan. Dalam Islam, keadilan ditakrifkan sebagai usaha meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itu zakat hanya diberi kepada orang miskin. Justeru, biasiswa pendidikan hanya layak untuk pelajar miskin. Kerana itu cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.

Polisi pemberian biasiswa pendidikan kepada pelajar kurang mampu atau miskin mencerminkan polisi yang adil meskipun tidak sama rata. Di Malaysia, kaum Melayu dan bumiputera adalah kaum yang paling miskin. Lantas, adalah adil melihat orang Melayu sebagai penerima terbesar biasiswa tersebut.

Harus diingat bahawa dasar pemberian biasiswa ini sama sekali tidak menafikan hak kaum bukan Melayu yang juga miskin dan berhak. Contohnya biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa kini dinisbahkan pada 55:45 di mana kaum Melayu (yang majoritinya miskin) diperuntukkan 55 peratus biasiswa manakala bukan Melayu (yang majoritinya mampu) mendapat 45 peratus.

Kelangsungan ketuanan Melayu

Polemik mengenai ketuanan Melayu sebenarnya mempunyai beberapa agenda tersusun. Antaranya pertama, penguasaan politik oleh gagasan yang menolak ketuanan Melayu. Kedua, penyingkiran parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan ‘ketuanan Rakyat’ atau Malaysian Malaysia.

Ada banyak sebab mengapa usaha menghapuskan ketuanan Melayu ini wajar ditentang. Antaranya, sistem politik Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Parlimen Beraja (Constitutional Monarchy) di mana Raja atau Sultan merupakan tulang belakang penubuhan Malaysia. Agong sebagai Ketua Negara Malaysia dan Ketua Perlembagaan Malaysia yang terdiri daripada Sultan atau Raja Melayu. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu – yang mana Raja atau Sultan Melayu adalah ‘Ketua’ atau ‘Tuan’ kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usaha menidakkan atau menggantikan ketuanan Melayu dengan sesuatu yang lain akan membabitkan pindaan Perlembagaan keseluruhannya, jika bukan pembentukan perlembagaan baru. Ia seperti menubuhkan sebuah negara baru.

Usaha ke arah ini tidak mudah. Banyak masalah dan ‘bencana politik’ dapat dielakkan dengan cara memahami dan seterusnya mengakui bahawa ketuanan Melayu (terutama sekali sejak tahun 1969) telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik fabrik sosial, politik dan ekonomi negara ini.

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat mustahak. Malaysia mesti tidak menghadapi satu lagi tragedi ’13 Mei.’ Caranya mudah, rakyat Malaysia mesti faham konsep ketuanan Melayu.

Masih sukarkah memahami apa itu ketuanan Melayu?

——-

Rencana di atas boleh diakses di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Respons Kontradik terhadap Pandangan Awang Sariyan

Para pelajar sekalian,

Berikut adalah surat seorang pembaca Utusan Malaysia yang memberi pandangan balas terhadap tulisan Prof Dr Awang Sariyan yang tersiar di akhbar Utusan Malaysia 26 Nov lalu mengenai polemik dasar PPSMI.

Tujuan saya menyiarkan semula surat ini adalah untuk membolehkan pelajar meneliti bagaimana penulisnya mengutarakan hujah-hujah untuk menegakkan pendapatnya bahawa dasar PPSMI adalah baik dan masih signifikan untuk kemajuan pelajar kita.

Akhirnya pelajar boleh membuat rumusan awal sendiri – tentunya ia berhajatkan kepada alasan dan dalil-dalilnya yang banyak melalui penyelidikan mendalam selepas ini – adakah dasar PPSMI benar-benar praktikal dan dalam masa sama menjamin keutuhan Bahasa Malaysia (dibaca : Bahasa Melayu) di tanah airnya sendiri. Kita tidak mahu akhirnya – bak kata pepatah lama – ‘Yang dikejar tak dapat, Yang dikendong keciciran’.

Sebagaimana lazim, objektif saya berkongsi tulisan-tulisan sebegini adalah untuk melatih daya kognitif-kritis pelajar agar tidak mudah terpesong dan terpengaruh dengan idea dan hujah mana-mana pihak apatah lagi yang mempunyai kepentingan peribadi atau kelompok mereka. Juga pelajar mesti mengelak dari jatuh ke dalam pemikiran yang fanatik, ekstrem dan chauvinistik. Ingatlah ‘benang yang basah tidak boleh ditegakkan’. Kebenaran hanya tertegak kerana dalil, alasan dan bukti-bukti yang kukuh, rasional dan dalam konteks negara majmuk – mencermin keadilan dalam erti kata yang holistik.

ARKIB UTUSAN MALAYSIA ON-LINE: 28/11/2008
Kuasai BI demi kemajuan

MUNGKIN Profesor Dr. Awang Sariyan (rujuk Forum, 26 November) lebih arif di universiti tetapi bukan di sekolah rendah dan menengah serta lebih mengetahui di dunianya sahaja (Pengajian Bahasa Melayu).

Adalah sewajarnya kita mengakui akan peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan kita tidak sepatutnya berlagak pandai dan hanya mengagungkan bahasa Melayu.

Janganlah kita mahu ke belakang lagi dan mahu menyorok di dalam tempurung tanpa lebih berinovatif dan mahu maju seperti bangsa lain. Sedangkan bangsabangsa lain hatta bangsa Cina di China sekalipun berebut-rebut belajar menguasai bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda mereka sebagai bahasa harian.

Mahu tidak mahu, kita perlu menguasainya demi kemajuan dan pengetahuan mendalam dalam sains dan matematik.

Kita perlu mantapkan pengetahuan kita dan membina serta mencipta kemajuan tersendiri dan mencipta kamus menyeluruh BI kepada BM. Itupun setelah kita maju dan benar-benar faham akan reka cipta dan teknologi sains dan matematik, barulah kita boleh pasarkan reka cipta kita dalam panduan bahasa Malaysia/Melayu.

Saintis-saintis seperti Jepun mahupun Korea juga bermula dengan bahasa Inggeris, mengkaji dan mempelajari serta memahaminya kemudian barulah dialih ke bahasa ibunda mereka. Tentunya Malaysia menerusi Dr. Mahathir ketika itu juga berpandangan dan bermatlamat seperti itu.

Ada ke saintis-saintis kita yang berjaya menggondol anugerah antarabangsa menggunakan bahasa Malaysia sebagai panduan dalam memahami sains atau bidang yang mereka kaji? Tentu tidak.

Berbalik kepada BI dalam Sains dan Matematik, saya mendapati kesannya ketika ini begitu positif. Pelajar-pelajar di luar bandar sekalipun sudah banyak menguasai BI dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak lagi kekok berbahasa Inggeris. Malah pencapaian akademik mereka jauh lebih baik daripada kita sebelumnya. Mereka lebih membuka minda untuk mengetahui dan memahami lebih jauh lagi akan sains dan matematik dan bagaimanakah untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan.

Mereka jauh lebih bijak daripada kita dahulu. Era 80an-90an, kita begitu malu untuk berbahasa Inggeris sehingga kita begitu merasa merendah diri bila berhadapan dengan masyarakat yang fasih berbahasa Inggeris.

Kita begitu naif, rendah diri dan langsung tidak memahami kepentingan sains dan matematik dalam kemajuan kehidupan kita. Kita beranggapan matematik cuma untuk pandai kira duit dan bisnes sahaja. Apatah lagi sains. Secara tidak langsung, saya berpendapat matlamat Dr. Mahathir ialah untuk menjadikan kita bangsa yang bangga pada diri kita sendiri dan dibanggai oleh orang luar dengan keyakinan dan pencapaian cemerlang.

Malah slogan ‘Malaysia Boleh!’ begitu gah dilaungkan hingga kini di mana-mana sahaja. Itulah matlamat Dr. Mahathir yang mungkin kita tidak begitu faham atau ketahui.

Nilai yang paling berharga ialah sikap ‘semuanya boleh’ dan ‘tidak mustahil’ yang perlu dipupuk dalam diri. Itulah perjuangan beliau. Lagipun, bagaimana boleh kita meminggirkan bahasa Melayu/Malaysia kita sendiri sedangkan ia bahasa harian kita.

ZAFRI

Klang, Selangor

Tulisan Zafri di atas boleh diakses di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Keliru dan ‘Julingnya’ Idea Mempertahankan Dasar PPSMI : Perspektif Awang Sariyan

Pandangan kritis terhadap usaha Tun Dr Mahathir terus mempertahankan dasar PPSMI oleh Prof. Dr. Awang Sariyan – seorang sarjana dan budayawan Melayu yang tersohor – di dalam ruangan Forum Pembaca di akhbar Utusan Malaysia hari ini 26 Nov 2008 menceritakan lagi kerisauan yang amat mendalam mengenai nasib Bahasa Malaysia (dulunya Bahasa Melayu) di tanah air sendiri.

Tanpa prejudis kepada Tun Dr Mahathir dan para penyokong PPSMI, tulisan yang sangat jujur ini wajib dibaca dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat khasnya golongan pelajar. Moga buah fikiran seberani dan sekritis ini bakal mencelik hati dan menyuluh kegelapan minda sebilangan anak watan yang begitu terpesona dengan Bahasa Inggeris.

Kepada pelajar-pelajar saya, tulisan ini adalah bahan yang boleh melatih dan menjana minda kritis anda apabila membincangkan isu-isu semasa samada dalam bidang sosial, politik ataupun ekonomi. Cuba pelajari bagaimana tulisan ringkas ini disaratkan oleh hujah dan fakta sejarah bagi menyokong dan menegakkan pandangan penulisnya.

Kita tidak perlu menjadi seperti Prof Dr Awang Sariyan untuk begitu mencintai bahasa ibunda kita. Pada usia muda sekarang pun kita masih boleh mendekati akar budaya kita sendiri asalkan kita ada kemahuan.

Dengan ilmu dan kefahaman yang murni, kekalutan budaya ini boleh kembali diredakan. Kita tidak pernah jadi kolot hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Saya percaya kita harus belajar lagi dari peradaban Timur dan Barat untuk menjadi maju tanpa mengorbankan identiti bangsa.

Formulanya telah lama ada tetapi pemimpin dan sebahagian daripada kita telah memilih jalan ini. Saya berharap pandangan saya ini silap kerana jika betul malapetaka yang besar akan menimpa bangsa kita kelak – kehilangan maruah dan harga diri sebagai orang Melayu!

‘Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar’

Sumber Akhbar Utusan Malaysia Online : 26 Nov 2008

PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi “Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan”. Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Ingatlah juga kata orang tua-tua “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China
Universiti Pengajian Asing Beijing

Tulisan ini boleh dibaca di akhbar Utusan Malaysia online di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

‘Implikasi’ Menjadi Muslim di Malaysia – Perspektif Perlembagaan

Isu ini adalah antara isi utama kuliah bab Perlembagaan dalam kursus MPW1133 Pengajian Malaysia. Ia disentuh kerana nilai berita dan sifat kesemasaannya (contemporary) bagi memahamkan pelajar tentang faham perlembagaan (constitutionalism) dalam konteks negara kita Malaysia.

Juga untuk menyampaikan mesej kepada pelajar mengenai perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi dan diluhurkan rakyat Malaysia. Di dalamnya termuat unsur tradisi yang dikekalkan dalam negara moden, ikatan dan kontrak sosial selain berfungsi sebagai dokumen undang-undang. Prinsip dan hukum hakam perundangan ini mendefinisikan cara hidup rakyat dan kelakuan kerajaan serta institusi sosial dan politik.

Namun isu ‘Implikasi menjadi muslim di Malaysia’ menjadi polemik berikutan timbulnya konflik antara kebebasan asasi (Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan – selepas ini diringkaskan sebagai PP) bersama kebebasan beragama (Perkara 3 dan 11 PP) dengan (Kewajipan) menjadi dan kekal muslim di Malaysia mengikut Perkara 160(2).

Sebagai teks undang-undang yang tidak bersifat muktamad dan tidak langsung definitif, peruntukan-peruntukan ini memerlukan pentafsiran para hakim yang arif untuk membuat kata putus di kamar mahkamah – peruntukan manakah yang patut ditegakkan manakala yang lain akan tertakluk kepada maksud sebenar atau maksud asal peruntukan tadi.

Kes Lina Joy yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di mana beliau kalah dalam rayuannya untuk dibuang perkataan Islam dalam Kad Pengenalannya membuktikan bahawa ketertinggian Islam di sisi undang-undang negara.

Mengulas isu ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faiza Thamby Chik – dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa 2008 di USIM – telah berkata :

“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan”.

Selanjutnya beliau juga menegaskan bahawa kebebasan beragama di Malaysia dijamin oleh perlembagaan. Namun dakwah agama bukan Islam dibatasi oleh peruntukan lain PP – iaitu Perkara 11 (4) – sebarang usaha mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam adalah dilarang.

Adakah maksud yang lain daripada apa yang telah dihuraikan oleh bekas hakim tersebut yang boleh dianggap lebih autentik (berwibawa) untuk dipegang oleh kita? Bagi yang kritis pendapat oleh bekas hakim itu masih boleh dibahaskan lagi. Ruang polemik ini akan ditutup hanya apabila perkara ini dipersetujui secara konsensus oleh para pengamal undang-undang, sarjana, legaslatif dan eksekutif. Atau – jika terpaksa – melalui paksaan undang-undang juga sebagai alat kawalan sosial apabila keadaan menjadi tidak lagi terkawal hingga berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

____

Petikan tertentu di atas diambil daripada sumber BERNAMA.com bertajuk ‘Penganut Islam di Malaysia Tidak Boleh Tukar Agama, Kata Bekas Hakim’, 19 Nov 2008 dan diolah untuk menyokong buah fikiran penulis di atas.

Jatuhnya Sebuah Tamadun

Kepada pelajar yang berminat dalam hal ketamadunan boleh dapatkan sebuah buku terbaru terbitan PTS Islamika bertajuk ‘Jatuhnya Sebuah Tamadun : Menyingkap Sejarah Kegemilangan dan Kehancuran Empayar Khalifah islam’ karya Mohamad Nurhakim.

Buku ini berharga RM23.00 – jika ahli Kad Popular dapat 10% diskaun!

Selain memberikan latar peristiwa kemunculan dan perkembangan Tamadun Islam Isi-isinya berguna sebagai bahan untuk tugasan bagi tajuk-tajuk yang berkaitan dengan Tamadun Islam – terutamanya bagi Kursus Pengajian Islam MPW1143.

Buku ini turut mendapat komentar ringkas daripada Prof. Mohammad Redzuan Othman, Jabatan Sejarah UM – pakar sejarah Islam khususnya peradaban Islam di Timur Tengah dan Turki.

Kepada yang dahaga ilmu Islam anda wajar memperuntukkan duit untuk memiliki buku ini.