Pilihan Raya Adalah Percaturan Politik

Malaysia kini di ambang pilihan raya umum (PRU) ke-13. Bila-bila masa sahaja Parlimen sebagai badan perundangan (legaslatif) persekutuan boleh dibubarkan oleh YDPA.

Cuma dalam konteks Malaysia, biar pun hak atau kuasa membubarkan Parlimen di tangan YDPA (disebut sebagai kuasa prerogatif atau budi bicara), perancangan dan ‘ilham’ untuk melakukan pembubaran Parlimen terserah kepada Perdana Menteri. YDPA tidak boleh atas kehendaknya sebagai Ketua Negara membubarkan Parlimen tanpa didahului permintaan Perdana Menteri.

Pilihan raya persekutuan hanya boleh diadakan hanya setelah Parlimen dibubarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya dituntut oleh perlembagaan persekutuan menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya diadakan. Selepas pembubaran Parlimen pilihan raya perlu diadakan pada mana-mana hari dalam tempoh 60 hari yang diperuntukkan perlembagaan.

 

Rasanya semua orang tahu pilihan raya adalah cara untuk rakyat menentukan pucuk pimpinan negara. Rakyat juga tahu jatuh atau bangunnya sebuah kerajaan, ia ditentukan rakyat sepenuhnya di peti undi (ballot box). Inilah prinsip negara demokrasi yang telah bermula semenjak 27 Julai 1955 dahulu. Di pihak pembangkang proses ini disinonimkan dan selalu dilaung-laungkan sebagai kuasa rakyat (people’s power).

Banyak sangat isu yang membabitkan kepentingan awam berlaku di tanah air kita yang memerlukan penyelesaian, antaranya seperti isu air di negeri tertentu, biaya pendidikan, harga barang kegunaan harian yang kian meningkat dan penguatkuasaan AES di jalan raya persekutuan. Malangnya percaturan politik antara parti pemerintah dan parti pembangkang telah mengheret rakyat sama kepada perseteruan dan pertembungan yang boleh membinasakan fabrik sosial yang terjalin baik dan harmoni seama ini.

Meninjau teori perubahan sosial Max Weber  yang ada dalam kitab sains sosial/politik, ia menyarankan bahawa perubahan sosial boleh berlaku dengan mengubah kepimpinan masyarakat jika tiada perubahan yang signifikan dilakukan sepanjang kepimpinan lalu.

Justeru kita faham mengapa rakyat tertunggu-tunggu saatnya berita pembubaran Parlimen ini diumumkan. Berita terkini di kaca TV dan di corong radio atau selewat-lewatnya berita utama jam 8.00 mlm diharap dapat melaporkan berita maha penting ini.

Bahang dan gelombang perubahan dilihat di sana sini biar pun di satu pihak perubahan kepada status quo politik negara hanya mengundang padah kepada usaha progresif yang sedang dilakukan kerajaan.

Namun, rakyat Malaysia seakan terus dihampakan. Sebaliknya isi berita masih tertumpu kepada isu semasa melanda negara, dari pemberian BR1M kepada rakyat Malaysia kepada pencerobohan pengganas Sulu di Lahat Datu. Terbaru mengenai kematian mengejut PI Bala, saksi utama dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantuya.

Oleh itu persoalan bilakah pilihan raya akan dilangsungkan masih menjadi teka teki. Entahkan betul entahkan tidak penulisan mengenainya, ramai di kalangan kita masih suka membacanya di laman-laman sosial, selain mengikuti laporan dan berita di dada akhbar perdana.

Antara pendapat yang berlegar di laman sosial ialah kerajaan sekarang telah tamat tempoh 5 tahun mandat yang diberikan rakyat pada 8 Mac 2013 lalu, setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) menguasai hampir 2/3 kerusi Dewan Rakyat dalam PRU ke-12 lalu. Namun, bersandarkan pendapat seorang ahli perundangan, ukuran tempoh 5 tahun itu dikira bermula sidang Parlimen pertama iaitu 28 April 2008, bukannya pada hari BN membentuk kerajaan.

Berita tentang PRU ini telah menjadi perhatian umum dan diura-urakan sekurang-kurangnya sejak setahun lalu. Kini ramai di kalangan kita telah celik tentang ‘kuasa’ pilihan raya hasil pendedahan meluas tanpa sempadan di skrin laptop atau telefon pintar. Benarlah bahawa maklumat kini hanya di hujung jari sahaja.

Medan bincang dan lawak juga kini menjadi lebih luas bila tidak lagi terkecuali untuk tidak menyebut isu ini. Sketsa ‘Bangkang dari Longkang’ yang dipersembahkan oleh barisan pelawak negara yang boleh diikuti di Youtube adalah bukti perkembangan ini.

Dalam kuliah Pengajian Malaysia saya pun, semenjak 2 semester lalu saya selalu mengulang sebut tentangnya – kedatangannya yang kian hampir, peri pentingnya pilihan raya kepada sebuah negara demokrasi, perjalanannya yang perlu bebas dan adil, kuasa rakyat di sebalik jatuh bangun pemerintah dan banyak lagi.

Saya juga selalu menyebut betapa beruntungnya pelajar Pengajian Malaysia sekarang kerana ilmu dan maklumat mengenai pilihan raya bukan sahaja dibaca di atas kertas. Ia bukan satu teori yang kaku dan beku. Ia adalah satu realiti dalam persekitaran negara yang dinamik. Ia wujud sebagai kepercayaan dan amalan, teori dan amali. Ia boleh diikuti setiap hari kerana media arus perdana dan media alternatif melaporkan setiap ‘up-dates’ perkembangan politik setiap masa.

Sebagai pendidik, saya tahu sangat bahawa ‘student learns best when the subject relates with the reality‘. Menyedari kelebihan kaedah ini maka selalunya saya memberi penekanan lebih bila masuk bab Demokrasi, Parlimen dan Eksekutif selain Perlembagaan dan Kehakiman. Berita dan cerita tentang bab-bab kursus Pengajian Malaysia ini menjadi bahan bukti atau pengalaman yang hidup untuk memahamkan pelajar saya mengenai ilmu kenegaraan. Power point kuliah saya sarat dengan rajah dan gambar yang boleh membantu pemahaman pelajar mengenai bab-bab penting dan genting ini.

Apabila sampai masanya saya mengajar mengenai ilmu politik – falsafah dan sistem yang melandasi pemerintahan negara, bermula dari era Kerajaan Melayu Melaka Klasik hinggalah ke Kabinet Datok Seri Najib sekarang. Asas-asas sistem politik negara diungkap dan dibentang semenarik mungkin kerana isu ini selalunya agak berat dan rumit.

Saya tidak mahu pelajar didorong kepada parti politik.  Saya mahu pelajar saya lebih faham lalu celik mengenai makna politik dan yang berkaitan dengannya agar mereka tidak menjadi warganegara yang naif, dan mudah ditongongkan oleh mitos, dan dogma dari lisan dan tulisan serta amalan orang politik. Pelajar perlu fahami apa dan bagaimana sistem dwi pemerintahan negara berjalan. Demokrasi (era pasca merdeka) melengkapi – bukan menyaingi – sistem monarki berperlembagaan (sistem lama era Melayu klasik hingga ditaraf semula oleh pengaruh penjajah Inggeris).

Saya bertanggungjawab membetulkan salah faham yang biasa dijaja oleh pihak tertentu. Pelajar perlu faham bahawa pembangkang adalah kuasa pengimbang kepada pemerintah (eksekutif), selain Parlimen dan Kehakiman. Bahkan kuasa ‘check and balance‘ ini turut dikongsi sama oleh pihak istana.

Cuma yang menjadi masalah ialah dalam pembangkang dikesan wujudnya kumpulan minoriti yang ekstrimis, chauvinis atau fanatik. Akan tetapi untuk berlaku adil, kumpulan minoriti yang berpengaruh ini juga boleh wujud dalam parti pemerintah. Jika tidak masakan berlaku permusuhan yang dijelma dalam polemik dan kempen politik yang agresif dan ofensif antara parti politik yang bertentang ideologi dan matlamat perjuangan.

Pelajar adalah harapan bangsa dan tanah air untuk mewarisi kepimpinan negara. Justeru pemikiran mereka perlu bebas dari aliran fikrah yang sempit dan jumud. Mereka adalah aset negara dan modal insan yang perlu sentiasa diteguh upaya melalui pendidikan yang holistik (kulli), objektif dan bermatlamat untuk mencintai tanah air ini mengatasi hal-hal lain. Politik hanyalah alat bukan matlamat. Fikrah mereka perlu diasah dan diasuh untuk menjadi kritis terutamanya dalam isu kenegaraan yang penting dan genting .

Percaturan politik untuk mengekalkan atau merebut kuasa bagi mencapai matlamat peribadi tidak boleh dialu-alukan di Malaysia. Namun ia sukar untuk dikenal pasti dan diatasi kerana ahli politik adalah pihak berpengaruh dan boleh menarik sokongan pengikut dan khalayak orang awam ke arah menyokong perjuangan mereka atas nama bangsa atau kepentingan budaya mereka.

Dengan berfikirah kritis ia mampu membawa pelajar kepada kebenaran. Jangan biarkan diri mereka terus dipasung oleh idea, atau kepercayaan kolot yang dijaja oleh sebahagian parti politik. Rujuklah dan berkiblatlah kepada pandangan yang disuluh oleh ilmu, fakta dan kepentingan tanah air, agama dan bangsa.

Di situlah cabaran sebenar mereka bermula. Di dalam kotak fikiran. Di dalam jiwa dan perasaan!

Selebihnya tentu sekali hidayah ALlah.

Leave a comment