Generasi Muda dan Masa Depan Pendidikan Negara

Latar Masalah

Masyarakat dibentuk oleh individu-individu yang berkongsi budaya, norma, cita-cita, aspirasi, matlamat hidup dan sebagainya. Tidak terkecuali yang menjadi perkongsian semua ahlinya – sebagai elemen yang lebih asas – ialah sejarah kelahiran negara, kepercayaan (anutan) hidup yang diwarisi dan bahasa pertuturan.

Elemen-elemen ini menjadi social glue yang mengikat semua ahli masyarakat agar kekal bersatu dalam menghadapi cabaran semasa.

Bagi masyarakat Malaysia, cabaran maha besarnya adalah menghapuskan jurang sosial dan ekonomi dalam kalangan ahli masyarakatnya. Ini adalah disebabkan masyarakat Malaysia bersifat heterogenus. Dalam bahasa yang mudah, masyarakat negara ini bersifat majmuk yakni terdiri dari pelbagai lapisan bangsa atau kaum, keturunan, agama dan budaya.

Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat Jepun yang rata-ratanya sebangsa – bangsa Jepun. Masyarakat homogen ini tidaklah sulit untuk dibentuk atau diurus tadbir kerana tiada perbezaan jurang sosial yang luas dan ketara kerana perbezaan kaum atau budaya. Yang ada adalah perbezaan ekonomi – kaya miskin.  Ini bukanlah fenomena tempatan di Jepun sahaja. Ia adalah fenomena yang boleh kita temui dalam kalangan masyarakat homogenous di mana-mana sahaja.

Dalam sesebuah masyarakat hetergenous seperti masyarakat di Tanah Melayu (kini Malaysia) wujud apa yang disebut sebagai kerencaman dan kompleksiti dalam budaya masyarakat ini. Maka ia menghadapi cabaran utama untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian.

Ini kerana semua kaum baik majoriti atau minoiriti –  dan kini ditambah pula oleh golongan imigran samada secara halal atau haram (PATI) – sentiasa bersaing untuk mendapatkan peluang dan hak yang sama terutamanya hak ekonomi bagi menyara kehidupan diri dan keluarga. Jurang yang kian melebar dalam ekonomi berupaya pula mencetus krisis sosial yang tidak kita ingini.

Biarpun ada peraturan sosial dan undang-undang bagi mengawal ‘persaingan’ ini, kadang-kadang terjadi juga pergeseran antara kaum hingga mencetus konflik kaum. Di Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969 dan Tragedi Kg. Medan 2001 adalah bukti kepada masalah hubungan antara kaum yang pernah wujud.

Peristiwa ini dan beberapa insiden lain beberapa tahun kebelakangan ini memberi isyarat yang tidak baik kepada kerajaan dan masyarakat kita. Bahaya sifat perkauman cukup besar untuk meruntuhkan sebuah negara jika tidak dibendung.

Ia boleh menjadi ‘duri dalam daging’ yang boleh merosakkan usaha kerajaan mewujudkan persefahaman antara kaum. Kita juga sedar memang wujud ‘gunting dalam lipatan’ dalam masyarakat kita.

Namun kegiatan dan anasir negatif ini tidak mudah untuk dikesan. Ia boleh disamari oleh perjuangan menegakkan Hak Asasi Manusia (HAM), hak minoriti, kebebasan bersuara, hak berdasarkan perlembagaan dan lain-lain lagi.

Justeru untuk menanganinya bukanlah mudah. Bahkan ia sangat sukar kerana banyak faktor dan parameter yang terlibat, baik dari dalam mahu pun luar negara. Antara masalah besar yang melanda masyarakat kita mutakhir ini ialah masalah perkauman (racism) yang menjadi buah mulut ramai pihak. Oleh yang demikian pihak kerajaan kena berhati-hati dalam tindakannya berhadapan dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda perkauman ini.

Sebarang kesilapan di pihak kerajaan boleh mengundang padah yang lebih besar. Kita boleh menoleh ke belakang untuk memahami kenyataan ini. Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2012 dan kemudiannya digantikan oleh Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), SOSMA disambut baik oleh ramai pihak khususnya NGO dan parti politik yang telah lama menuntut pemansuhan akta yang dianggap draconian itu.

Namun, setelah 3 tahun pelaksanaannya kegiatan yang boleh mengocak ketentaraman awam terutamanya melalui media sosial makin galak sama ada oleh individu, ahli politik atau aktivis sosial. Maka timbullah seruan dikembalikan ISA dan menentang tindakan sama kerajaan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 yang diura-urakan sebelum ini.

Jika kerajaan gagal menangani isu ini maka harga yang perlu dibayar ialah perpaduan masyarakat itu sendiri. Menyelesaikan isu yang sedang membarah menjadi kemelut sosial ini ibarat ‘menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung pula tidak berselerak’.

Kerajaan yang diberi kuasa oleh perlembagaan perlu lebih halus dan teliti dalam memutuskan tindakannya untuk kepentingan negara supaya tidak dilihat sebagai hanya untuk menjaga kepentingan parti pemerintah semata-mata.

Generasi Muda dan Masa Depan Negara

Generasi muda adalah golongan yang mudah terkesan dengan keputusan-keputusan dan sikap politik pemerintah dan pembangkang. Pendidikan di bangku sekolah dan universiti sahaja tidak mampu membentuk pemikiran dan jati diri remaja kerana sebahagian besar masa mereka ialah ‘bersama’ masyarakat dan persekitaran dunia luar sekolah dan kampus.

Menurut Montesquieu “We receive three educations. One from our parents, one from our school masters, and one from the world. The third contradicts all that the first two taught us.

Seluruh dunia yang sudah diglobalisasikan oleh paradigma dan acuan asing terutamanya dari Barat yang liberal dan sekular telah menakluk ruang yang besar dalam kehidupan golongan ini. Bahkan kita golongan dewasa yang dianggap sudah matang juga tidak terkecuali gara-gara kepesatan dalam teknologi maklumat yang ditakrifkan sebagai gelombang ketiga melanda dunia.

Gelombang ini begitu berkuasa sekali kerana ia mampu masuk menembusi ke ruang paling dalam tubuh diri kita. Gelombang globalisasi ibarat gelombang radio dalam ilmu fizik yang apabila dipancarkan isyarat gelombang ini akan diterima oleh penerima (receiver) walaupun radio atau televisyen berada dalam rumah. Dinding rumah yang tebalp tidak boleh menahan atau menyekat isyarat ini daripada diterima oleh radio atau televisyen yang berada dalam bilik.

Dalam era teknologi digital dan inovasi yang pesat kini, sudah tentu penembusan ini boleh menjangkau ke wilayah lebih jauh dan luas. Maka kesan sampingan globalisasi iaitu penyebaran nilai, citarasa dan selera Barat tentulah lebih berleluasa dan berganda sentuhannya.

Akibatnya ia mampu mengubah cara kita melihat diri, masyarakat, agama dan budaya hingga menjadikan ‘minda kita tertawan’.

Justeru cabaran maha besar pada masa ini ialah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menggunakan segala ruang dan masa yang masih ada di pusat pendidikan negara dari peringkat pra-sekolah, primer, sekunder dan tertier untuk memberi ilmu akademik keperluan global dan mendidik peribadi pelajar dengan suluhan agama secara praktikalnya agar anak-anak Malaysia benar-benar terbina secara sepadu dan seimbang Jasmani, Emosi, Rohani dan Inteleknya (JERI) sebagaimana yang digagaskan dalam Falfaha Pendidikan Kebangsaan.

KPM  wajib memberi penekanan kepada kurikulum bina jati diri seiring dengan penekanan besar yang diberikan kepada subjek berkepentingan tinggi seperti Sains dan Teknologi. Subjek bina jati diri merujuk semua subjek di bawah gugusan sains sosial seperti Sejarah, Tamadun, Agama dan Moral, Hubungan Etnik, pengajian Am, Pengajian Malaysia, dan sebagainya.

Subjek bina jati diri ini tidak boleh dianggap subjek sampingan atau pelengkap kurikulum terutamanya dari segi pelaksanaannya di dalam bilik darjah atau kuliah. Apatah lagi jika para pendidik benar-benar memahami bahawa subjek bina diri ini lebih menjurus kepada sentuhan aspek afektif berbanding kognitif.

Seseorang itu menjadi warganegara yang baik atau sebaliknya bukan kerana keupayaan tinggi kognitifnya. Peranan ini hakikatnya dimainkan oleh keupayaan afektif. Oleh yang demikian peranan guru dalam pengajaran dan pembelajarannya (Pdp) sangat penting untuk mendidik sehingga boleh menyentuh dan menghidupkan potensi afektif pelajarnya agar jiwa dan nuraninya yang baik terbina dan mampu mengawal sikap dan tingkah lakunya dalam menjalani kehidupan sehariannya.

Subjek bina jati diri ini dan pendekatan mengajar yang lebih efektif iaitu Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (Student Centered Learning, SCL) juga dilihat sangat penting dalam menyahut aspirasi kerajaan untuk menguja patriotisme dalam kalangan generasi muda hari ini.

Melalui subjek Sejarah, Hubungan Etnik dan  Kenegaraan Malaysia misalnya matlamat ini boleh dicapai kerana antara kandungan silibusnya ialah tentang asal usul kelahiran negara ini termasuk bagaimana permuafakatan antara kaum 1957 dicapai (kontrak sosial) secara concensus.

Ilmu ini sangat berkait dengan kecintaan kepada bangsa (nasionalisme) dan tanah air (patriotisme). Dua aspek ini tidak boleh dibangkitkan oleh potensi aqal (kognitif). Ia dapat diupayakan jika Pdp berjaya menyentuh lalu menyuburkan emosi dan jiwa yang bersih.

Hujahan di atas memberi mesej kepada kita bahawa pendidikan dalam pengertian hoslitiknya menduduki prioriti paling utama dalam membentuk pemikiran (kognitif) kebangsaan dan keperibadian (peranan afektif) tempatan yang seimbang dengan tuntutasan semasa. Agar ia at par dengan subjek S&T semua subjek ini patut menjadi subjek yang dirasakan penting dalam kurikulum dan pelaksanaanya di sekolah dan universiti.

Namun untuk ia kekal relevan dalam persada pendidikan kebangsaan ia wajib berubah menjadi subjek yang dinamik dan segar dengan idea-idea perpaduan, keharmonian, keadilan dan kesaksamaan, teologi yang bersih dari kehinaan dan pencemaran doktrin tidak mesra agama dan tradisi.

Subjek ini tidak boleh ‘dicorak dan digubal’ [baca : campur tangan] di tangan orang politik yang sentiasa berkepentingan. Biarlah ahli akademik yang objektif, jujur dan berhikmah melaksanakan tugas suci ini. Arah tuju masa depan sesebuah negara mesti dimulai dengan pemahaman jujur dan objektif sejarah bangsa dan negaranya.

Kita mahu generasi moden hari ini sesekali menoleh kembali sejarah negara agar dapat memandu mereka sebelum memutuskan untung nasib negara ini baik dari politik, sosial dan ekonomi. Bak kata Pearl Buck “If you want to understand today, you have to search yesterday.”

Jika tidak, menurut lisan Derek Heather “To many of the modern generations, history, like God, is dead”. Kepada generasi muda hari ini yang diulit oleh kemewahan kebendaan dan berfikiran liberal marilah ‘kembali ke pangkal jalan’ iaitu jalan yang akan menyuluh semula perjalanan hidup untuk menemukan semula akar budaya dan warisan bangsa kita.

Dengan fikiran yang kritis tapi kekal objektifnya,  ilmu sejarah negara yang sebenar akan diperolehi. Masa depan negara bergantung kepada pemahaman sejarah yang benar. C.K.Chesterton menasihatkan kita “We can be almost certain of being wrong about the future, if we are wrong about the past.”

Masyarakat dan persekitaran (‘dunia’ menurut Montesquieu) yang kita orang dewasa, dan pemerintah sedang bentuk ini juga perlu memikul tanggungjawab mendidik secara non-formal dan informal kerana pengaruh sebagai pihak ketiga ini selepas ibu bapa dan guru lebih besar dan tentunya lebih membekas!

Sebagai jalan terakhir apabila langkah pendidikan dan pencegahan gagal berperanan, barulah penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan menggunakan Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), SOSMA 2012 untuk membendung penularan dan perebakan fahaman perkauman, dan kini keganasan (terorisme).

Semoga tahun 2016 tidak dibiarkan menjadi tahun yang dikelami oleh suramnya ekonomi dunia dan cemarnya akibat pertelingkahan agama dan kaum. Sebaliknya ujian ekonomi dan sosial oleh Allah s.w.t. ini menjadi dorongan untuk kita terus menjadi bangsa yang cekal dan tekal dalam prinsip dan idealogi kebangsaannya mendepani arus zaman.

Pendidikanlah yang menentukan semua ini, dengan izin Allah Tuhan semesta alam.

Artikel ini telah disiarkan di Malaysian Insider pada 31 Disember 2015 di ruangan Pendapat. Untuk siaran di blog ini tulisan ini telah disunting semula di mana perlu.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s