Pluralisme Agama- Sila Cermati! Ia Doktrin Bahaya

Pluralisme adalah istilah dan konsep yang saya selitkan dalam nota kursus Pengajian Malaysia yang saya tulis untuk pelajar-pelajar saya. Ia digunakan untuk menegaskan bahawa kita – di Malaysia yang majmuk ini – perlu mempertahankan kepelbagaian latar budaya dan etnik.

Pluralisme atau juga disalingkaitkan dengan multiculturalisme adalah faham (isme) yang mencanggahi monoculturalisme yang ditaja dan giat dilaksana oleh Barat bagi mewujudkan satu budaya sejagat seragam berdasarkan pemikiran dan falsafah Barat seperti sekularisme, liberalisme, individualisme, positivisme, humanisme dan lain-lain lagi.

Justeru, dalam erti kata lain – dalam konteks pluralisme di Malaysia – berbeza etnik, agama dan bahasa – sekadar menyebut beberapa contoh – bukanlah satu masalah.

Continue reading

Pasca-PPSMI : Polemik belum berakhir!

Walaupun sudah dinoktahkan oleh Menteri Pelajaran semalam, seperti dijangka PPSMI masih dan akan terus kekal menjadi bualan. Bahkan polemik baru agtau pun sekurang-sekurangnya perbincangan lanjut boleh muncul dan mengambil tempat dalam ruang awam dalam media rasmi ataupun tidak rasmi.

Lagipun banyak lagi aspek teknikal yang belum lagi terdedah dan difahami kita apatah lagi rakyat biasa. Banyak persoalan lagi boleh ditimbulkan.

Satu pandangan yang agak kritis datangnya dari orang kuat Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dhong Zhong) apabila mencadangkan sepatutnya pemansuhan bukan 2012 tetapi berkuatkuasa serta merta kerana bahana negatif yang telah pun diketahui ekoran dari pelaksanaan dasar ini.

Continue reading

PPSMI telah pun gagal!

Alhamdulillah !

Itulah ungkapan yang diungkapkan oleh semua penentang terbuka dan senyap PPSMI apabila mendapat tahu kabinet hari ini bersetuju memansuhkan PPSMI setelah 6 tahun bereksperimen melaksanakan dasar yang ad hoc ini.

hasan ahmadKepada Gerakan Mansuh PPSMI khususnya rakyat Malaysia amnya berterima kasih kerana telah berjaya ‘mengajar’ kerajaan agar kembali ke landasan dan akar budaya bangsa. Juga agar kerajaan akur kepada semangat asal Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan (walaupun alasan itu tidak disebut dalam kenyataan Menteri Pelajaran semasa mengumumkan keputusan bersejarah ini).

Continue reading

Majlis Raja-rajalah Yang Berkuasa

Keputusan kabinet (eksekutif) 22 April lepas bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain telah mengundang kontroversi kepada  mereka yang memahami isu perlembagaan dan juga kesan kepada institusi kekeluargaan Islam.

Isu ini juga dilihat sebagai usaha campur tangan eksekutif ke atas tugas atau bidang kuasa judisiari (kehakiman). Ini bercanggah dengan semangat dan prinsip dalam doktrin pengasingan kuasa. Batas kuasa dan tanggungjawab tiga cabang pemerintahan negara iaitu eksekutif, legaslatif dan judisiari telah diperincikan dalam perlembagaan persekutuan.

Untuk seketika polemik mengenainya mewarnai lanskap sosio-politik tanah air dan menghangatkan lagi  suhu politik yang tidak pernah surut semenjak PRU ke-12 lalu.

Continue reading

Kita ‘Berhutang’ kepada Anak Cucu Cicit Kita

Memilih untuk memihak atau menyokong mana-mana aliran atau idealogi siasah adalah hak yang sah di sisi perlembagaan negara. Jadi jika saya memilih untuk mendokong parti alternatif bukanlah satu dosa di sisi undang-undang negara. Ia samalah jika saya menyokong parti siasah pemerintah.

Hakikatnya sejak dulu saya bukanlah ahli kepada mana-mana parti siasah. Saya tidak pernah berniat pun untuk menyertai mana-mana parti siasah. Saya mahu kelihatan dan dilihat non-partisan. Pemihakan saya hanya akan saya terjemahkan di peti undi semasa pilihan raya.

Akan tetapi sebagai seorang rakyat yang prihatin, saya tidak boleh terlepas dari ‘membaca’ dan membincang isu-isu siasah.

Continue reading

Sejarah mungkin ‘takdir’ yang dirancang

Sejak jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak beberapa minggu lalu, beberapa peristiwa telah menyusul mewarnai perkembangan politik tanah air.

Untuk beberapa ketika negara kita terus dilanda oleh hiruk pikuk politik antara dua seteru politik – Barisan Nasional vs Pakatan Rakyat. Jika ini berterusan ia memberi petanda yang tidak baik kepada kestabilan dan kesejahteraan masyarakat kita.

Yang terbaru ialah isu YB Elizabeth Wong apabila keperibadiannya ‘ditelanjangkan’ oleh pihak yang berniat ‘mala fide ‘ (jahat) dan niat ini disambung pula oleh media lalu disambut oleh musuh-musuh politik Pakatan Rakyat (bukan musuh YB Eli).

Continue reading

Politik Perak Bergolak

Politik tanah air terus bergolak. Selepas PRU-12 8 Mac 2008 lalu, perkembangan terbaru di negeri Perak dalam tempoh seminggu ini adalah yang paling dramatik dan kini suhunya sudah pun memuncak.

Media melaporkan bahawa badan eksekutif kerajaan negeri Perak yang demokratik tumbang gara-gara 4 orang ADUN Pakatan Rakyat (PR) mengisytihar keluar parti – 1 keluar DAP, 2 keluar PKR semuanya menjadi  ADUN bebas dan 1 yang baru masuk PKR 11 hari sebelumnya kembali semula ke pangkuan UMNO (BN) – dan menyatakan sokongan kepada BN menjadikan BN Perak kini mendapat majoriti mudah. Mendapat pengesahan daripada undang-undang tubuh negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan, BN kini kembali berkuasa.

Saya suka memanfaatkan perkembangan politik terbaru ini dari sudut ilmu Pengajian Malaysia untuk menjadi bahan pemikiran pelajar saya.

Continue reading

Erdogan Yang Berani

Saya menyalin semula berita berikut yang saya petik daripada blog Mahaguru58 untuk tatapan semua pembaca.

Ternyata ketika para pemimpin Arab menikus dan bertelagah sesama sendiri dalam isu Gaza masih ada seorang pemimpin Islam yang berani menyuarakan pendirian di depan musuh-musuhnya. Mungkin beliau tidak seberani Umar al-Khatab tetapi jiwa besar Perdana Menteri Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan telah cukup untuk beliau ‘dare to speak’ kepada si barbar Shimon Peres, Presiden Israel di dalam ‘Debate on Gaza’ yang telah diadakan di Davos sempena World Economic Forum 2009 pada 30 Januari lalu.

Ikuti detik-detik yang telah dilakar sebagai sejarah keberanian pemimpin Islam terhadap kuasa besar dunia dalam berita berikut. Moga Allah memuliakan Erdogan.

Continue reading

Bahasa Inggeris Bukanlah Semestinya Bahasa Kemajuan – Prof Di Raja Ungku Aziz

Pandangan oleh Prof. DiRaja Ungku Aziz – yang saya petik dari blog Prof Abdullah Hasan – memberikan kita satu lagi fakta bahawa kemajuan negara Eropah tidak semestinya dipacu oleh bahasa Inggeris.

The opinion of the former Vice Chancellor of the University of Malaya summarized this well. ‘With ingenious restrain the English would like to leave their colonial peoples with the indelible myths that (a) English is a world language, universally understood and (b) one can only learn the modern knowledge that is they key to great technological advance and rapid economic development through the English language. In fact to make a brief digression, anyone who has travelled in Germany or Latin America not to mention China or Japan, will quickly realize that a large proportion of the world’s population including the native technocrats and intellectuals who are building strong modern states do not comprehend English’ (Ungku Aziz, 1973). Asahil in Singapore

Gaza Yang Sedang Berdarah..

images_news_2008_02_29_mohammad-borai1_300_0Setakat pagi 5 Disember ini, 500 kematian rakyat Palestin akibat terkena bom dari jet dan helikopter regim Israel Zionis telah dilaporkan media.

Tanpa ada tanda-tanda jelas gencatan senjata akan israel_f16 dimeterai antara Hamas dan Israel dan campur tangan pihak antarabangsa jumlah korban pasti akan meningkat.  Peperangan yang tidak seimbang ini – dari kacamata logik – pastinya memihak kepada regim Zionis kerana kekuatan militarinya yang canggih dan pelbagai.MIDEAST ISRAEL PALESTINIANS GAZA

Continue reading

Minda Tertawan – Satu Persepsi Budaya

Saya sentiasa menghujahkan bahawa kita wajib mewarisi pusaka bangsa sendiri. Tak kiralah kita ni bangsa Melayukah, Cinakah, Indiakah atau bangsa-bangsa lain yang masih wujud di dunia hari ini. Dengan cara ini kita akan terus dekat dengan akar budi (budaya) bangsa sendiri. Budaya itu biarlah tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Kita dikenali sebagai Melayu kerana cara hidup yang kita amalkan – pertuturan, budi bahasa dan agama yang dianuti. Begitu juga bangsa lain. Di sinilah alasannya mengapa sejarah itu penting kerana ia memperkenalkan kita kepada asal usul kita. Pembelajaran ini berlaku di sekolah selain – secara tradisionalnya – melalui lisan datuk nenek dan ibu bapa kita kepada kita anak cucu mereka.

Kerana nilainya yang sangat mahal dan bersifat peribadi kepada keturunan kita sampai bila-bila pun, maka budaya asli (asal) kita wajib dipelihara dan sampai ke satu tahap wajib dipertahankan apabila terdapat ancaman ketara yang boleh menghakis asas dan kerangka budaya kita. Antaranya ialah kempen dan promosi mega oleh pihak berkuasa negara dan pihak swasta baik secara langsung dan tidak langsung – kerana kesan kebangsaannya – agar rakyat berusaha menguasai bahasa Inggeris.

Rakyat cuba dipengaruhi dan diolah pandangannya (public opinion) agar bersetuju dengan langkah ini kerana ia menjadi tuntutan globalisasi – suatu fenomena yang tidak dapat dihalang oleh mana-mana negara dan undang-undang!

Tapi saya ingin memilih untuk akur kepada pandangan budayawan dan sarjana kita yang TIDAK BERSETUJU dengan kempen dan promosi Bahasa Inggeris ini. Mereka telah bersuara dan secara konsisten menyampaikan pandangan mereka bahawa dasar seperti PPSMI dan seumpamanya hanya akan mengakibatkan kepupusan budaya dan tercabutnya akar budi Melayu satu masa nanti.

Jika benar bahasa Inggeris mesti dikuasai – saya bersetuju dan tidak ada masalah dengan saranan ini – tentunya ada cara lain yang lebih praktikal BUKAN dengan cara PPSMI. Pandangan majoriti penentang dasar ini ialah ‘…lain yang sakit lain pula yang diubatinya”.

Masalah pembelajaran bahasa lazimnya  adalah masalah pendekatan atau metodologi. Justeru dalam konteks sekarang, yang perlu ditangani, ditambah baikkan dan diperbetulkan adalah cara pengajaran subjek Bahasa Inggeris di dalam bilik darjah. Bukan dengan mengajar subjek Sains dan Matematik – subjek genting kepada pelajar Melayu – dalam Bahasa Inggeris!

Saya tidak akan memanjangkan hujah mengenai isu ini. Sebabnya nawaitu saya menulis pada pagi Sabtu ini adalah untuk berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai senaksah tulisan Prof  Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI mengenai kesan jangka panjang penggunaan Bahasa Inggeris ke atas kelangsungan fikrah dan paradigma asli Melayu. Saya mengutipnya dari blog Prof Abdullah ‘Utusan Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI’. Saya telah warnakan frasa-frasa tertentu untuk tujuan menangkap perhatian pembaca.

Moga para pembaca budiman sekalian masih memiliki baki kasih dan sayang kepada warisan budaya bangsa sendiri yang semakin diancam dan dihakis kini. Tulisan ini, insyaALlah akan mencelikkan lagi pandangan kita mengenai isu dan polemik bahasa ini. Kerana ia ada ilmu, pengalaman dan kecintahan yang tulus ikhlas kepada bangsa dan tanah air kita, setelah disuluh oleh agama Islam yang sarat roh keimanan dan budi.

Wallahu a’lam

——————-

Minda tertawan setelah terkesima oleh bahasa Inggeris

Apakah yang dimaksudkan dengan minda tertawan? Bagaimana bahasa Inggeris itu mewujudkan minta tertawan, iaitu tertawan dalam minda Inggeris?

Tempat bahasa Melayu sepatutnya adalah benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda untuk anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Inggeris, maka bahasa Inggerislah yang menduduki benak anak-anak Melayu itu. Akibatnya minda mereka menjadi minda tertawan dalam minda Inggeris.

Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ekspresif harian mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi.

Seterusnya, berdasarkan hipotesis Malik Bennabi pula, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung dalam bahasa Melayu lagi.

Salah satu daripada idea-idea induk dalam bahasa Melayu itu adalah nilai-nilai Islamnya. Oleh kerana bahasa bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang “menjawab” ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti “derhaka” dan “syurga itu di bawah tapak kaki ibu” hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan digantikan oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Wira mereka bukan lagi Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur dan The Knights Of The Round Table.

Apabila bahasa asing berjaya masuk ke dalam benak bangsa Melayu, maka dua perkara akan berlaku. Pertama adalah kebocoran bendung budaya, dan kedua kehilangan keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri. Kebocoran bendung budaya itu menyebabkan orang Melayu itu merasa kagum kepada budaya Barat.

Ini pernah diamati oleh Ibnu Khaldun lapan ratus tahun dulu. Dengan itu mereka akan menyerap unsur budaya yang dikagumi. Maka bocorlah bendung budaya Melayu. Malah lebih serius daripada itu adalah, sebagai sebahagian daripada kebocoran budaya itu juga menyebabkan lemahnya nilai agama Islam mereka sendiri, dilemahkan oleh kemasukan unsur Barat tersebut. Menolak hukum agama demi sistem undang-undang Barat adalah salah satu daripadanya.

Kesan kedua pula adalah bangsa Melayu itu akan mengalami gejala hilangnya keyakinan pada keupayaan diri sendiri dan juga hilangnya semangat kreativiti mereka. Gejala ini jelas dapat dilihat di kalangan golongan terpelajar bekas tanah jajahan yang tidak yakin akan keupayaaan mereka mencipta produk-produk intelektual sendiri.

Mereka berpuas hati dengan menjadi agen yang menterjemahkan, mengajarkan, mempopularkan dan menerapkan sahaja produk-produk intelek tokoh-tokoh tersebut di negaranya. Jikalau sekali-sekala ada yang berani mencipta produk-produk intelektual mereka sendiri, rakan-rakan mereka pula yang tidak menaruh keyakinan akan mutu produk-produk itu. Oleh hal yang demikian mereka tidak menggunakan produk-produk intelektual tempatan sebagai rujukan yang dianggap berwibawa.

Menurut Malik Bennabi, akibat daripada keadaan seperti di atas individu-individu yang hilang keyakinan pada keupayaan diri sendiri itu akan terjerumus ke dalam proses meminjam dan terus meminjam secara langsung dan ad hoc segala macam benda-benda, idea-idea dan institusi-institusi yang bersumber pada bahasa-bahasa asing tersebut, dengan tidak mempersoalkan kesesuaian dan keserasiannya dengan kebudayaan bangsa yang meminjamnya.

Sebagai contoh benda-benda yang dipinjam itu adalah seperti yang dilakukan oleh sesetengah elit tempatan memasang besen mandi, membuat balkoni, cimni, menyimpan gelas wain dalam almari, dan memasang gebar musim salji di katil mereka.

Begitu juga, sebagai contoh idea yang dipinjam adalah, kita bercuti pada hari Ahad, meraikan hari jadi, memotong kek, meniup lilin sambil menyebut hajat di hati, membaling wang syiling ke dalam telaga hajat, merayakan tahun baru, “halloween dan valentine,” serta minum tos untuk kesihatan Yang Di-Pertuan Agong dalam majlis.

Beberapa contoh institusi yang juga dipinjam adalah pilihanraya ala-barat, sistem kewangan berdasarkan riba dan banyak lagi.

Hanya orang yang terkesima dengan bahasa dan budaya Inggeris itu mahu melakukannya. Apabila semua ini berlaku, maka adakalanya, mereka ini akan memandang rendah terhadap bahasa dan budayanya sendiri. Hilanglah keyakinan mereka terhadap bahasa dan budayanya sendiri. Mereka hanya yakin bahasa Inggeris itulah yang dapat melakukan segala-galanya.

Maka lahirlah individu yang kita katakan mempunyai minda tertawan, tertawan dalam minda Inggeris.

————–

Tulisan ini boleh diakses di alamat berikut http://profabdullah1.wordpress.com/2008/12/05/minda-tertawan-setelah-terkesima-oleh-bahasa-inggeris/?referer=sphere_related_content/

Melayu Paya Mengkuang dah tak tahan lagi..!

Cerita ini berlaku pada 17 Disember lalu tetapi baru hari ini sempat saya ‘post’kan ke dalam blog saya.

———

Semalam sewaktu saya melalui roundabout dekat Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak saya perasan ramainya orang berkerumun dekat tebing pagar sekolah. Polis pun ada. Sangkaan saya mesti baru berlaku kemalangan. Ahh..bab-bab ni buat saya suspens je.Lagipun saya ni fobia sikit pada polis. Tanpa berfikir panjang saya terus meninggalkan tempat kejadian menuju ke tempat kerja saya di Pasir Panjang.

Aleh-aleh pada sebelah malamnya ada cerita di sebaliknya kerana Berita Utama TV9 menyiarkan berita gempar berkenaan isu babi di Paya Mengkuang Pengkalan Balak Melaka. Isu ni jadi headline! Sinar Harian versi internet dalam beritanya hari ini 18 Disember melaporkan “Masyarakat sekitar kawasan Pengkalan Balak negeri ini sekali lagi gempar apabila bangkai kepala babi hutan digantung di atas kain rentang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di pagar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak, awal pagi semalam.” Ya, berita ini disertai dengan visual kepala babi hutan memang betul-betul menggemparkan! Ini kejadian kali kedua kepala babi digantung di pagar. Saya percaya pihak yang menggantung kepala babi ini sedang menghantar satu mesej kepada orang Melayu Paya Mengkuang supaya jangan cuba-cuba mengganggu perniagaan babi yang sudah menjadi tradisi sejak 50 tahun dahulu.

Saya percaya isu babi (dulu disebut khinzir sebelum dikembalikan ke sebutan asalnya) di Melaka khasnya di Paya Mengkuang, Pengkalan Balak telah menjadi ujian atau fitnah yang besar kepada orang Melayu. Namun pihak kerajaan Negeri Melakalah yang akan menerima segala tanggungjawab kepada penderitaan orang Melayu kerana kuasa untuk mengubah nasib buruk orang Melayu (dan nasib kaum lain juga jika ditimpa masalah sama) terletak di tangannya. Orang Melayu adalah rakyat yang tiada kuasa!

Cerita orang Melayu Paya Mengkuang adalah  antara cerita paling malang yang pernah saya dengar. Penderitaan ditanggung juga adalah paling lama – iaitu sejak 50 tahun lalu! Yang untung ialah penternak babi dan secara tidak langsungnya orang Cina yang makan babi kerana bekalan daging babi yang banyak. Dengan jumlah babi mencecah 140 ribu lebih (sebelum diarah pindah dan mengurangkan bilangan babi) bayangkan kesan kepada persekitarannya jika ia tidak diurus dengan betul. Malang sungguh orang Melayu kerana terpaksa menghidu bau busuk dari kawasan penternakan babi berhampiran tempat tinggalnya. Tapi orang Melayu tetap bersabar kerana setelah membuat aduan tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini terpulang kepada kerajaan. Oranga Melayu tidak begitu tegar untuk mengambil tindakan di tangan sendiri. Orang Melayu adalah bangsa yang toleran walaupun sering menjadi mangsa kepada golongan opurtunis. Isu dan insiden dalam pelaksanaan kontrak sosial di negara kita adalah bukti-bukti yang tidak boleh disanggah.

Apa yang dituntut sekarang adalah respons segera pihak berkuasa samada PDRM – yang sedang membuat siasatan – dan kerajaan negeri Melaka yang mempunyai segala kuasa untuk menamatkan penderitaan orang Melayu Paya Mengkuang. Juga pada masa memberikan penyelesaian kepada penternak babi haram itu! Orang Melayu bukanlah kaum yang zalim. Budi bahasa dan sikap toleransinya adalah luar biasa kepada kaum lain! Orang Melayu terlalu (asyik) memberi tetapi jarang menerima dari rakannya, kaum bukan Melayu.

Saya tidak ada formula untuk mengatasi isu ini. Tetapi saya berharap perkara berikut sedang berlaku walaupun secara terangnya saya tidak nampak lagi iaitu :

1. Parti politik Cina baik dari pihak kerajaan atau pembangkang bersama dengan NGO Cina mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mencelikkan penternak babi di Paya Mengkuang bahawa pendirian dan tindakan mereka untuk mempertahankan penternakan babi di kawasan orang Melayu adalah satu kesilapan. Yakinkan mereka bahawa orang Melayu menjadi  mangsa kepada ketamakan mereka mengaut keuntungan hasil perniagaan babi – selama 50 tahun.

2. Siasatan PDRM perlu lebih teliti dan mendalam untuk mencari dalang di sebalik tindakan biadap dan kurang ajar individu atau kumpulan yang menggantung kepala babi di pagar SK Pengkalan Balak. Siasat hingga ke akar umbi!

3. Pihak berkuasa Kerajaan Negeri mesti ambil peduli dan tunjukkan sikap ambil peduli terhadap penderitaan orang Melayu Paya Mengkuang. Noktahkan segera kemelut yang sedang melanda sekarang sebelum terlambat!

Perlu diingatkan bahawa isu babi di Melaka adalah isu alam sekitar selain dari isu undang-undang! Ini bukan isu perkauaman atau isu perbalahan agama. Penternak babi haram adalah bersalah dan boleh disabitkan kesalahan mereka di sisi beberapa undang-undang tempatan. Tapi kerajaan negeri memilih untuk ‘menutup sebelah mata’ terhadap isu ini. Jika pun benar sesuatu telah dilakukan hasilnya masih tidak ketara, bahkan orang Melayu Paya Mengkuang terus tertekan. Saya tidak faham mengapa ini berlaku. Saya perlukan alasan yang kukuh mengapa bencana ke atas orang Melayu dibiarkan berterusan sejak sekian lama dahulu oleh kerajaan yang dipimpin orang orang Melayu sendiri !

Dari segi agama, rezeki yang mereka dapat adalah ‘HARAM’ dan mereka ‘BERDOSA’ (saya andaikan konsep yang sama halal haram, dosa dan pahala ada dalam kepercayaan Buddha walaupun istilahnya berlainan) kerana mengganggu hak kaum lain (dalam konteks ini kaum majoriti Melayu) untuk hidup dengan aman sejahtera! Saya masih mahu percaya bahawa ajaran Buddha sebenarnya juga tidak membenarkan cara mencari rezeki seperti ini – hidup atas penderitaan orang lain. Takkanlah penternak babi ni penganut fahaman liberal dan atheis! Pada saya sebenarnya mereka opurtunis dan selama berjenerasi tapak perniagaan babi mereka terus kukuh kerana tiada tindakan undang-undang yang keras dikenakan ke atas mereka. Adakah mereka ini untouchable ?

Di samping itu, amalan hidup bangsa yang beradab budaya juga tidak boleh membenarkan industri haram ini beroperasi. Bolehkah kita hidup secara harmoni dan co-exist jika satu kaum berterusan melanggar etika dan rukun hidup dalam sesebuah masyarakat majmuk dan satu kaum lagi menanggung akibatnya tanpa ada pampasan dan haknya untuk hidup selesa dirampas ?

Jika pihak kerajaan Negeri tidak segera mengambil pendirian dan langkah bijaksana serta juga mempunyai keberanian kerana terlalu mempertimbangkan kepentingan politik – secara sedar – ini akan menghantar mesej yang salah terhadap masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu.

Apabila hal ini lambat ditangani oleh pihak berkuasa, maka beberapa inisiatif telah dan sedang diatur oleh NGO Melayu untuk  menyedarkan orang Melayu khususnya di Melaka mengenai ancaman oleh golongan opurtunis kepada hak pusaka orang Melayu di buminya sendiri. Moga usaha Pewaris menganjurkan Perjumpaan Orang Melayu Islam 20 Disember ini, jam 8.30 pagi di Hotel Samudera Masjid Tanah dapat menyampaikan mesej kesedaran ini kepada orang Melayu Melaka.

Orang Melayu perlu celik bahawa ‘Bumi yang Dipijak kini Milik Orang Lain’.

Buku Baru di Pasaran – ‘Out of Tempurung’.

Baru-baru ini saya telah membeli sebuah buku bertajuk ‘Out of the Tempurung’ – Critical Essays on Malaysian Society’ di MPH, Mahkota Parade Melaka. Buku edisi pertama 2008 ini diterbitkan oleh East West Publishing Pvt Ltd, Australia dan dijual pada harga RM25.0o.

Saya tertarik untuk membelinya kerana naskah ini menyentuh isu-isu pembinaan negara-bangsa atau kenegaraan Malaysia – yang ketika ini menjadi tema wacana ilmiah dan juga bahan sembang  rakyat.

Sebagai ahli akademik, naskah ini memang dicari-cari kerana cara pengupasan isu yang kritis mampu memberikan gambaran yang lebih objektif dan seimbang biarpun isu-isu ini (sains sosial) tergolong dalam bidang subjektif.

Ada 10 artikel yang telah dipilih oleh editornya, Fong Chin Wei dan Yin Ee Kiong. Antara yang menarik ialah tulisan oleh Farish A Noor – In Search of a Malaysian Identity, Khoo Kay Kim – The Road to Nationhood and Nation Building dan Kassim Ahmad – The Malaysia I Want. Banyak lagi tulisan menarik untuk dibaca.

Kepada yang meminati bidang Kenegaraan Malaysia, buku ini mampu menyajikan pemikiran yang kritis dan terbuka bagi memahami isu-isu penting dan genting dalam negara kita, terutamanya apabila sejak akhir-akhir ini kontrak sosial dijadikan isu oleh opurtunis politik hingga mengocak sebentar ketenangan hubungan inter-etnik di negara kita.

Selamat membaca.

Muhasabah Untuk Rakyat Malaysia

Saya ingin berkongsi lagi dengan khalayak pembaca sekalian mengenai luahan perasaan orang Melayu yang tersinggung dengan rakan bukan Melayunya yang asyik dan terus mempertikai hak orang Melayu samada secara langsung atau tidak langsung.

Sikap etnosentrik kaum bukan Melayu ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini walaupun peringatan telah diberikan oleh pihak Istana, kerajaan dan PDRM. Kelihatannya peringatan dari pihak berkuasa ini bukan saja tidak dihirau bahkan tidak dihormati.  Ironisnya, suara yang ‘menjolok sarang tebuan’ ini datangnya dari ahli komponen BN sendiri.

Bagi orang Melayu khasnya adakah kita begitu naif untuk memahami niat dan cita-cita politik golongan opurtunis ini yang memperalatkan isu-isu hak dan keadilan menjadi isu perkauman bagi meraih sokongan kepada perjuangan politik mereka!

Rencana dari Akrib Utusan Malaysia Online 1 Disember 2009  meluahkan isi hati bangsa Melayu terhadap isu ini.

———–

RENCANA

ARKIB : 01/12/2008

Apa dosa Melayu terhadap bukan Melayu?

MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu?

Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan.

Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri.

Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu.

Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan.

Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian.

Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000.

Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu.

Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti ‘menyalak’ dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu – ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik.

Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang ‘bertuah’ manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri.

Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut.

Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan ‘air liur’. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara.

Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu.

———-

Rencana ini boleh diakses di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Ketuanan Melayu – Jernihkah Perspepsi Anda?

Berikut adalah rencana terbaru mengenai pendirian pro-Ketuanan Melayu – ditulis secara separa ilmiah – yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia Online 6 Disember 2008 / 8 Zulhijjah 1429. Saya siarkan semula tulisan ini dengan sedikit elemen ‘kosmetik’ bagi menonjolkan poin utama penulis.

Tulisan ini pada saya  memberikan sedikit kejernihan pemikiran mengenai polemik ini. Ia jauh dari mengambil pendirian etnosentrik keMelayuan tetapi cuba mempertahankan keperibadian bangsa Melayu yang kini sedang cuba dimomok-momokan dengan imej dan label yang sangat negatif.

Justeru, ia wajar untuk direnungi oleh semua pihak terutamanya yang sangat ktitikal terhadap apa-apa sahaja hak dan kedudukan mengenai orang Melayu  di tanah airnya sendiri.

Kepada yang berselindung di sebalik konsep keadilan dan hak asasi terutamanya politikus dalam BN, pemikiran dan niat ‘terpendam’ mereka untuk mewujudkan Ketuanan Rakyat – yang baik dari segi konsep dan falsafahnya – juga harus berfikir lebih halus kerana ia membawa implikasi kelahiran sebuah negara baru!

Dengan hidayah Allah (atau Tuhan agama lain yang diimani oleh bukan Islam)  saya berdoa agar pilihan yang kita ambil akhirnya membawa kebaikan untuk semua di tanah air tercinta ini, dan ia bukannya khusus untuk bangsa Melayu sahaja.

——–

Sukarkah memahami ketuanan Melayu?

Oleh Asri Salleh dan Ahmad Suffian Mohd. Zahari

Konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial merupakan konsep yang telah lama menjadi sasaran sebilangan pemimpin dan parti politik di Malaysia untuk diperdebat. Polemik mengenai konsep ini memberi petunjuk, pertama kurangnya pemahaman sebilangan rakyat Malaysia tentang konsep berkenaan.

Kedua, kurangnya usaha untuk memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tentang konsep tersebut. Ketiga, salah faham tentang konsep itu dan keempat salahnya usaha untuk menerangkan konsep tersebut.

Tiada kamus yang mendefinisikan terma ‘Ketuanan Melayu.’ Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada ‘dominasi bangsa Melayu’ (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malay Supremacy atau Malay Dominance). Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil ‘kontrak sosial.’

Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.

Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan.

Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu – dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:

1. Timbal Balas (Quid Pro Quo)

Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai ‘kontrak sosial.’ Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

2. Artikel 153

Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.

Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.

3. Kehilangan Singapura

Singapura diterima masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum ia kemudiannya disingkir pada 9 Ogos 1965. Kemasukan Singapura menyebabkan populasi kaum Cina meningkat sehingga 35.7 peratus berbanding kaum Melayu iaitu 38.4 peratus (In-Won Hwang, Personalized Politics; The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS, Singapore, 2003, pg.54).

Dominasi kaum Cina dan pengenalan polisi bukan pro-Melayu di Singapura mendorong kepada meletusnya beberapa rusuhan kaum di pulau tersebut. Ketidakstabilan Singapura akhirnya mendorong kepada penyingkirannya daripada Persekutuan Malaysia.

Episod rusuhan kaum di Singapura dan kesanggupan Kerajaan Malaysia untuk kehilangan sebuah ‘tanah Melayu’ merupakan sesuatu yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan. Demi keharmonian dan keamanan Malaysia keseluruhannya, kepentingan penduduk asal dan pulau Singapura terpaksa ‘diketepikan.’

Bagi kebanyakan orang Melayu, episod Singapura adalah lambang kegagalan ketuanan Melayu. Justeru, ini juga adalah antara faktor utama sehingga kini, mengapa orang Melayu begitu sensitif apabila konsep ketuanan Melayu dipersoalkan.

Agenda

4. Malaysian Malaysia

Democratic Action Party (DAP) antara lain, meneruskan agenda Malaysian Malaysia (selepas pengharaman PAP di Malaysia) secara terbuka ke seluruh negara. Kempen berkaitan agenda ini menjadi amat popular terutama menjelang pilihan raya tahun 1969. Keputusan pilihan raya 1969 yang tidak memihak kepada Kerajaan Perikatan (kehilangan Pulau Pinang, Perak dan Kelantan dan 2/3 majoriti di Parlimen) memburukkan lagi suasana. Ketidaktentuan keadaan politik semasa akhirnya menyebabkan terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Rusuhan tersebut menyebabkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa polisi affirmative yang merupakan sebahagian daripada usaha melindungi agenda atau konsep ketuanan Melayu. Antaranya ialah pindaan Perlembagaan yang mengharamkan sebarang perdebatan (termasuk dalam Parlimen) ke atas hak dan kedudukan istimewa bumiputera, penambahan skop dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemaktuban kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

Langkah sosio-ekonomi yang paling utama pasca tragedi 13 Mei yang dilancarkan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, memansuhkan penyamaan identiti kaum dengan peranan ekonomi, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan meluaskan kek ekonomi.

Antara Kesamarataan dan Keadilan

Salah faham tentang ketuanan Melayu berpunca daripada pemahaman serong bahawa orang Melayu, melalui hak kelahirannya sebagai bangsa Melayu mesti dianggap dan dilayan sebagai tuan dan di mana orang bukan Melayu pula adalah sebagai hamba. Fahaman ini adalah kefahaman sesat.

Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah. Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.

Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan ditidakkan.

Ia sekali gus mengesahkan bahawa kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tidak sesekali disisihkan.

Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Sesungguhnya, keadilan adalah lebih penting daripada kesamarataan.

Semua agama menganjurkan bahawa keadilan adalah tunjang kehidupan. Dalam Islam, keadilan ditakrifkan sebagai usaha meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itu zakat hanya diberi kepada orang miskin. Justeru, biasiswa pendidikan hanya layak untuk pelajar miskin. Kerana itu cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.

Polisi pemberian biasiswa pendidikan kepada pelajar kurang mampu atau miskin mencerminkan polisi yang adil meskipun tidak sama rata. Di Malaysia, kaum Melayu dan bumiputera adalah kaum yang paling miskin. Lantas, adalah adil melihat orang Melayu sebagai penerima terbesar biasiswa tersebut.

Harus diingat bahawa dasar pemberian biasiswa ini sama sekali tidak menafikan hak kaum bukan Melayu yang juga miskin dan berhak. Contohnya biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa kini dinisbahkan pada 55:45 di mana kaum Melayu (yang majoritinya miskin) diperuntukkan 55 peratus biasiswa manakala bukan Melayu (yang majoritinya mampu) mendapat 45 peratus.

Kelangsungan ketuanan Melayu

Polemik mengenai ketuanan Melayu sebenarnya mempunyai beberapa agenda tersusun. Antaranya pertama, penguasaan politik oleh gagasan yang menolak ketuanan Melayu. Kedua, penyingkiran parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan ‘ketuanan Rakyat’ atau Malaysian Malaysia.

Ada banyak sebab mengapa usaha menghapuskan ketuanan Melayu ini wajar ditentang. Antaranya, sistem politik Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Parlimen Beraja (Constitutional Monarchy) di mana Raja atau Sultan merupakan tulang belakang penubuhan Malaysia. Agong sebagai Ketua Negara Malaysia dan Ketua Perlembagaan Malaysia yang terdiri daripada Sultan atau Raja Melayu. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu – yang mana Raja atau Sultan Melayu adalah ‘Ketua’ atau ‘Tuan’ kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usaha menidakkan atau menggantikan ketuanan Melayu dengan sesuatu yang lain akan membabitkan pindaan Perlembagaan keseluruhannya, jika bukan pembentukan perlembagaan baru. Ia seperti menubuhkan sebuah negara baru.

Usaha ke arah ini tidak mudah. Banyak masalah dan ‘bencana politik’ dapat dielakkan dengan cara memahami dan seterusnya mengakui bahawa ketuanan Melayu (terutama sekali sejak tahun 1969) telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik fabrik sosial, politik dan ekonomi negara ini.

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat mustahak. Malaysia mesti tidak menghadapi satu lagi tragedi ’13 Mei.’ Caranya mudah, rakyat Malaysia mesti faham konsep ketuanan Melayu.

Masih sukarkah memahami apa itu ketuanan Melayu?

——-

Rencana di atas boleh diakses di http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm