Koleksi Buku

Saya memiliki ratusan buku dalam koleksi saya di perpustakaan mini di rumah. Sebahagian besarnya adalah buku ilmiah dalam bidang ketamadunan, agama dan sejarah. Melengkapkan senarai ialah buku-buku motivasi dan pengurusan.

Usaha membuat koleksi buku ini telah dimulakan sejak saya dibangku sekolah menengah lagi dan terus menjadi tabiat mingguan atau bulanan hingga sekarang.

Kini saya memerlukan para baru di luar perpustakaan mini rumah saya kerana tiada lagi ruang untuk buku-bukubaru yang akan saya beli nanti. Justeru, saya bercita-cita untuk menambah luaskan lagi saiz perpustakaan mini di rumah saya.

Moga diizinkanNya.

Amin

Berikut adalah antara buku baru dalam koleksi saya.

Buku ini ‘Penulisan Tugasan dan Tesis’ sesuai sebagai rujukan saya untuk menyiapkan manual penulisan ilmiah (esei) untuk kegunaan pelajar kolej yang mengambil kursus sains sosial.

Naskah ini telah dialihbahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Saya membelinya semasa Pameran Pendidikan di MITC Melaka pertengahan April lalu.

Alhamdulillah dapat diskaun 30%. Harga asalnya ialah RM40.00.

Buku berikut ‘Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah’ adalah sebuah naskah klasik Fathi Yakan yang menjadi rujukan para duat muda. Isinya mencerahkan minda dan hati kita dengan dalil naqli dan sunnah nabi tentang kaedah untuk mempersiapkan diri sebagai agen perubah masyarakat (musleh).

Kitab terbitan Dewan Pustaka Fajar ini wajar menjadi teman akrab bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan dunia dakwah ilallah.

Bagi yang berkecimpung dalam bidang sumber manusia, atau modal insan, atau pengurusan dan pentadbiran pejabat, buku ‘Customer Service, Get Brilliant Result Fast’ sesuai untuk dibaca.

Buku ‘Emotional Fitness : Coping Skill for the Ups and Downs in Life’ pula memberikan perspektif psikologi tentang kesihatan emosi – pasang surutnya hingga mempengaruhi kehidupan seharian seseorang. Ditulis dalam bahasa Inggeris mudah, menyenangkan pemahaman kita tentang isu yang diutarakan.

Sangat baik untuk jadi rujukan kepada para pelajar dan guru serta para pengamal perubatan. Dalam skala besar buku ini boleh membantu kita mengurus masalah yang timbul dalam hubungan sosial atau interpersonal kerana kerenah individu bermasalah emosi atau mental.

Buku ‘Life’s Greatest Lessons’ ini adalah buku ketiga Hal Urban yang saya dapat miliki. Buku ini menyenaraikan 20 prinsip atau rukun kejayaan hidup yang berimpak besar dalam kehidupan seseorang jika diamalkan.

Mirip tulisan Jack Canfield bertajuk ‘The Success Principles : How to Get From Where You Are To Where You Want to Be’, naskah Hal Urban ini sebenarnya terbit lebih awal lagi mengisi penulisan berunsurkan motivasi. Dengan reputasi beliau dalam penulisan genre seperti ini, anda tidak akan kecewa menekuni buku ini.

Leave a comment