Pilihan Raya Adalah Percaturan Politik

Malaysia kini di ambang pilihan raya umum (PRU) ke-13. Bila-bila masa sahaja Parlimen sebagai badan perundangan (legaslatif) persekutuan boleh dibubarkan oleh YDPA.

Cuma dalam konteks Malaysia, biar pun hak atau kuasa membubarkan Parlimen di tangan YDPA (disebut sebagai kuasa prerogatif atau budi bicara), perancangan dan ‘ilham’ untuk melakukan pembubaran Parlimen terserah kepada Perdana Menteri. YDPA tidak boleh atas kehendaknya sebagai Ketua Negara membubarkan Parlimen tanpa didahului permintaan Perdana Menteri.

Pilihan raya persekutuan hanya boleh diadakan hanya setelah Parlimen dibubarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya dituntut oleh perlembagaan persekutuan menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya diadakan. Selepas pembubaran Parlimen pilihan raya perlu diadakan pada mana-mana hari dalam tempoh 60 hari yang diperuntukkan perlembagaan.

 

Continue reading

Bersegeralah Menunaikan Hak Saudara kita di Gaza !

Ai yuhal muslimoon,

Empati bermakna kita tidak sekadar berkata ‘berat mata memandang berat lagi bahu saudara-saudara Gaza kita memikul’ kesengsaraan dan kedukaan kerana kezaliman Zionis-Israel yang tidak berkesudahan itu.

Empati bermakna – pada saat ini – selain berterusan berdoa, kita infaq (derma) kepada Tabung Gaza dengan duit gaji kita untuk meringan beban dan  menjaga kebajikan mereka.

Ini juga sebahagian daripada hak saudara kita yang wajib kita tunaikan.

Seringgit seorang. Jika 1 juta muslimoon yang berinfaq, maka RM1 juta kita dapat kumpulkan.

Ayuh bersegeralah aiyuhal muslimoon!

Kita menerima rezeki dariNya, dan kini sebahagian daripada rezeki itu kita berikan kepada yang berhak di Gaza.

Andainya Muhammad masih berada bersama-sama kami

Tajuk entri kali ini adalah nama sebuah nasyid yang popular di corong radio IKIM.fm. Sebelum ini mungkin sebahagian daripada kita telah mendengarnya di youtube. Ia bukan nasyid yang biasa kita dengar. Saya percaya ramai yang terkesan apabila mendengar karya kreatif yang syahdu ini.

Justeru saya kongsikan di blog ini untuk memanjangkan lagi kebaikan dari pencipta lagu ini agar ia didengar dan didengar selalu, lagi dan lagi.

Dengan harapan barangkali masih ada yang belum pernah mendengar lagu ini, saya tujukan khas buat anda semua. Dengan youtube downloader, lagu ini juga boleh dimuaturun dengan mudah. Dan boleh kita sebar dan kongsi dengan khalayak saudara kita yang lain pula.

Moga ini menjadi sebahagian hujah bahawa kita juga sedang berusaha mencintai Rasulullah lebih dari mencintai diri kita sendiri (maksud hadis) melalui usaha yang sangat kerdil ini.

Amatilah lirik nasyid ini dalam bahasa Melayunya. Anda pasti akan tersentuh. Jika berbaki rasa iman di dalam hati kita, ia tentunya akan menginsafkan.

Biarlah benih cinta kepada ar Rasul s.a.w. tertanam, lalu subur hingga hati ini tiada lagi melainkan untuk baginda sahaja.

Allahuma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad.

Kini Aku Kembali Mengajar

Lama benar saya tidak menulis di blog yang tidak sepertinya ini. Barangkali saya masih tidak cukup stamina untuk berfikir seperti dulu.  Selepas habis waktu pejabat kini saya hanya menyambung dan menumpukan kepada mencari bahan-bahan untuk Pnp kursus Pengajian Malaysia.

Banyak sekali bahan yang boleh saya perolehi dari perpustakaan terbesar dunia. Tentunya – dengan googling – saya boleh mengakses laman sesawang, portal berita online, blog dan berbagai lagi sumber maklumat di internet. Bahan yang saya perolehi berupa gambar, artikel, kertas kerja dan laporan berita. Kini saya mula belajar bagaimana mencari dan memuaturun buku secara percuma pula. Fuh ! maklumat benar-benar di hujung jari kita.

Saya jadi begini – sebagai pencari maklumat yang serius – kerana mulai awal semester ini saya telah kembali mengajar. Rasanya mau kira-kira 2 tahun saya tidak menyentuh marker pen dan menulis sesuatu di papan putih di hadapan pelajar.

Ada kisah di sebalik apa yang berlaku ini. Sebagai pembaharuan, satu polisi baru telah diperkenalkan pihak pengurusan iaitu semua staf akademik yang memegang jawatan pentadbiran kanan termasuk Timbalan Ketua Eksekutif dan staf bukan akademik yang mempunyai ijazah kini hendaklah mengambil beban akademik sekurang-kurangnya 3 jam kredit.

Pembaharuan ini baik tetapi mempunyai kesan sampingannya kepada kelancaran Pnp dan jadual yang telah ditetapkan sebelumnya. Apapun tanpa membantah semua yang berkenaan sudah pun mula mengajar. Hanya segelintir sahaja – atas sebab-sebab tertentu – masih terkecuali atau dikecualikan daripada tugas ‘baharu’ ini.

Bagaimana dengan penerimaan saya pula ?

Saya tak kisah. Saya bahkan seronok dan teruja setiap kali ingin memulakan kuliah. Memang sudah lama saya ingin sekali kembali ke dunia akademik. Ia minat saya. Tugas hakiki saya. Ia telah mendarah daging dalam diri saya. Dulu pun saya pernah mahu berhenti kerja kerana ‘tidak dibenarkan’ mengajar lagi. Harap-harap saya akan terus mengajar selepas ini.

Semoga tiada sesiapa pun akan dan boleh menghalang saya lagi. Di usia 42 tahun ini, saya telah dewasa dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman hidup yang sebahagiannya begitu menduga dan mencabar diri saya. Justeru terlalu banyak perkara yang ingin saya kongsi dengan pelajar saya.

Namun saya akan mengajar hanya kepada yang sudi dan mendidik lebih-lebih lagi kepada yang hanya punya hati.

Terima kasih Allah.

Tips Mengurus Masa Yang Berkesan

Beberapa hari yang lepas seorang bekas pelajar saya yang kini menuntut di sebuah IPTA mengadukan masalahnya – masa yang tidak terurus.

Mungkinkah kerana semester ini dia ekstra-sibuk kerana banyak tugasan dan aktiviti kampus yang perlu diikuti, saya kurang pasti. Namun, dari emailnya dia kelihatan begitu stress dan memang berhajat kepada nasihat dan tips untuk mengatasi masalah yang genting ini.

Genting kerana masalah ini menyebabkan PNGKnya merosot pada semester lepas dan dia sudah mula kehilangan motivasi dan kini buntu.

Saya bersimpati dengan beliau lebih-lebih lagi pada masa sama beliau dihimpit kiri kanan atas bawah dengan masalah lain termasuk hubungan inter-personal dengan kawan-kawan kumpulan tugasannya.

Tidak banyak saya menjawap tentang bagaimana mengurus masa kerana saya juga pernah ‘terperangkap dek masa’ hingga menyukarkan saya menangani cabaran di kampus. Kerja last minute dan suka bertangguh menjadi ciri utama kegagalan mengurus masa saya dahulu.

Jadi lebih mudah saya ‘membekalkan’ tips pengurusan masa dari kuliah Kemahiran Profesional yang pernah saya sampaikan kepada pelajar DSK dan DCN beberapa tahun silam kepada beliau.

Tips ini saya kutip dari buku Dr Danial Zainal Abidin bertajuk ‘Tip-tip Cemerlang daripada Al-Quran’. Asal usul tips ini bersumberkan dari pakar pengurusan Peter F. Drucker yang menulis sebuah karya bertajuk ‘ How to Get Control of Your Time and Life’ dan Anne McGee-Cooper bertajuk ‘ Time Management for Unmanageable People’. Di sana sini saya tambah idea saya atau petikan lain untuk menjadikan tips ini lebih terarah.

Mungkinkah tips ini berguna buat anda juga?

Tawakal Siti Hajar

Dalam perbincangan Warna Pagi di radio IKIM pagi tadi mengenai pengertian Qurban, Habib Ali , tetamu rancangan popular ini telah merumuskan makna tawakal berdasarkan peristiwa cemas Siti Hajar di bumi Mekah yang ketika itu mencari bantuan untuk anaknya Nabi Ismail a.s.

Siti Hajar menampilkan erti kesungguhan seorang ibu tanpa berputus asa berulang alik sebanyak 7 kali antara Safar dan Marwah mencari air untuk anaknya Nabi Ismail a.s. Perbuatan Siti Hajar ini menjadi amalan ibadah yang dinamakan sa’ie semasa umrah dan haji.

Dan akhirnya air zam-zam terbit dari tempat di mana kaki nabi Ismail mengetuk-ngetuk tanahnya. Tempat itu bukannya di Safar atau Marwah tetapi di tempat lain.

Ada makna tawakal untuk kita pelajari di sini.

Siti Hajar tidak bersandarkan terus kepada sebab-sebab iaitu ikhtiarnya berulang alik dari Safar dan Marwah untuk mendapatkan air. Sebaliknya bergantung kepada kuasa Allah.

Beliau melepaskan ketergantungan kepada sebab-sebab yang telah diusahakan untuk mencapai tujuan yang dikehendaki walaupun sebab-sebab itu wajib diadakan atau dilakukan terlebih dahulu.

Keyakinannya hanya satu iaitu kepada Allah s.w.t.

Hasilnya air itu diperolehi juga tetapi di tempat lain dan berpunca dari anaknya nabi Ismail a.s.

Allah memilih untuk memberi air dari sebab atau punca lain, bukan dari punca atau sebab yang dilakukan Siti Hajar.

Maknanya berhasil atau tidak ikhtiar itu bukan kerana sebab-sebab itu tetapi hanya kerana Allah s.w.t. semata-mata. Allah boleh datangkan rezeki atau penyelesaian masalah kita dari punca atau sumber yang tidak kita sangka-sangka atau fikirkan.

Apatah lagi jika kita seorang yang ikhlas dan bertaqwa. Lagi terbukalah pintu rezeki dan penyelesaian masalah kita – sebagaimana yang ditunjukkan Siti Hajar yang bersa’ie tadi.

Bukankah Allah sahaja yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

Begitulah makna tawakal jika tidak silap pemahaman saya.

Wallahua’lam

24 Januari

Saya tersenyum lebar ketika isteri saya menunjukkan key chain ini.

Lima sifat yang tercatat pada key chain tersebut ialah sifat yang kelihatannya ada pada diri saya – yang lahir tanggal 24 Januari. Macam bagus jer saya nikan ! Hahaha…

Sebagai pensyarah sifat-sifat di atas membantu dalam meningkatkan produktiviti dan mutu kerjaya saya. Alhamdulillah.

Continue reading

Kemanusiaan Yang Telah Hilang!

Masa itu sekitar 8.03 malam.

Saya diam terpaku. Tergamam. Untuk seketika air mata saya mengalir.

Begitulah reaksi spontan saya menonton satu klip video yang menyayat hati yang memulakan sajian berita dalam Buletin Utama TV3 malam tadi.

Saya terus ‘menggoogle’ internet mencari klip video kisah anak kecil malang yang seakan dibiarkan mati setelah dilanggar lari  menggunakan BB saya.

Setelah memilih klip video yang sesuai di arkib Youtube, saya memuaturun video tersebut di laptop Lenovo saya.  Saya juga menyimpan URLnya.

Niat saya adalah untuk ia dikongsi dengan khalayak rakan dan pelajar saya di blog dan facebook. Sesuatu yang maha penting mesti saya hebah dan canangkan malam ini.

Inilah kisah malang itu.

Continue reading

The Great Debaters

‘The Great Debaters’ adalah sebuah filem yang diangkat dari kisah benar dalam sebuah masyarakat yang sangat mengagungkan tamadunnya.

Latar budayanya rencam. Ia kisah pertembungan dua etnik. Satu superior – bangsa kulit putih yang hegemon ke atas rakan senegara yang inferior – bangsa kulit hitam. Bangsa ini sekarang kita kenali sebagai African-America.

Mengambil persekitaran tahun 1935 di Amerika Syarikat dan menggunakan babak-babak perdebatan akademik di universiti ternama, filem arahan pemenang Academy Denzel Washington dan diterbitkan oleh Oprah Winfrey, berjaya menonjolkan mesej bahawa hujah dan fakta yang kuat boleh menewaskan hujah dan fakta yang lemah.

Kebenaran akhirnya akan tertegak biar pun di tengah-tengah khalayak yang mendokong keunggulan bangsa etnosentrik.

Mari kita ambil iktibar dari kisah ini.

 

Saya Yang ‘Baru’

Apa khabar saudara pengunjung blog saya?

Sambutan ‘Idul fitri baru berakhir minggu lepas. Moga selepas banyak menjamu selera di rumah terbuka semuanya tetap sihat wal’afiat.

Saya yang berdiet sebelum dan semasa bulan puasa, kini masih menjaga pantang makan. Makan masih tidak boleh sembarangan. Juadah yang masin, berminyak, daging berlemak atau tetel perlu saya jauhi atau kurangkan. Sebagai orang Melaka saya gemar makan nasi dengan gulai gerang asam daging tetel.

Maklumlah pengidap hipertensi sejak 6 – 7 tahun lalu ini sering diingatkan doktor dan isteri agar menjaga  makan. Tapi satu faktor yang penting juga yang perlu diawasi ialah saya perlu berada dalam persekitaran aman dan mampu mengawal perasan agar tidak selalu stress, terutamanya di tempat kerja. Saya ni agak sensitif orangnya. Tu yang kena jaga sangat perasaan saya ni.

Continue reading

The Power of Words

Saya petik kata-kata Robert Fulghum untuk muhasabah kita semua, khususnya para ibu bapa dan pendidik yang selalu berpesan dan menegur dengan lisan kepada anak-anak mereka :

Cikgu Yati melayan mesra murid Tadika KEMAS semasa Karnival Sure Kids satu masa dahulu. Kini beliau telah pun berkhidmat di sekolah kerajaan. Selamat mengajar Cikgu Yati..:)

Kata-kata ini saya kutip dari buku yang bertajuk Positive Words, Powerful Results tulisan Hal Urban dari halaman 30.

Buku setebal 205 halaman ini sarat dengan pemerhatian dan tips penulis mengenai kuasa lisan (perkataan, atau words) yang boleh terungkap atau diungkap semasa perbualan, sesi kuliah, ceramah, dialog filem dan sebagainya.

Biarpun berharga RM49.90 dengan kertas kuning (edisi paperback) – saya beli di MPH tahun lepas – isinya sangat berbaloi.

Benarlah kata pepatah ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’. Ia bukan pusaka Melayu untuk orang Melayu sahaja. Ia adalah pengalaman dan pemerhatian yang bernilai sejagat (universal) kerana saya rasa ia benar dalam semua peradaban manusia.

Pasti Hal Urban juga bersetuju dengan pepatah ini.

Prof Dr Muhaya di IKIM.fm

Saya ingin mewar-warkan satu rancangan bual bicara mingguan di Radio IKIM.fm yang dinamakan ‘Islam Itu Indah’.  Semua orang kena dengar rancangan ini. Itu syor saya.

Pembicaranya ialah Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad, seorang pakar mata yang kini aktif dalam menyampaikan motivasi di televisyen, radio dan seminar atau bengkel motivasi.

Khabarnya respons para pendengar agak baik terhadap isi dan topik perbincangan yang dikeudarakan pada setiap hari Rabu, dari jam 10.00 hingga 11.00 pagi.

Saya sendiri mendengar beberapa pemanggil memuji slot ini kerana telah menyentuh minda dan jiwa mereka hingga membuat perubahan dalam hidup mereka selepas itu.

Pemikiran dan kupasan Dr Muhaya melalui penyampaiannya yang mudah, bersahaja, lancar dan tertib teratur membuka dan mencelikkan kita tentang siapa diri kita dan apa yang sepatutnya kita lakukan dalam hidup ini.

Beliau juga cuba membetulkan tasawwur dan salah faham masyarakat terhadap isu-isu peribadi, sikap masyarakat dan ummah dalam menghadapi ujian dan kemelut dalam hidup.

Kini slot ini boleh diikuti di atas talian (online) dalam laman sesawang IKIM. Maklumat di hujung jari kita.

Jom islah diri melalui slot Dr Muhaya ini.