24 Januari

Saya tersenyum lebar ketika isteri saya menunjukkan key chain ini.

Lima sifat yang tercatat pada key chain tersebut ialah sifat yang kelihatannya ada pada diri saya – yang lahir tanggal 24 Januari. Macam bagus jer saya nikan ! Hahaha…

Sebagai pensyarah sifat-sifat di atas membantu dalam meningkatkan produktiviti dan mutu kerjaya saya. Alhamdulillah.

Walaubagaimanapun saya tidak pernah boleh mengharapkan semua orang bersetuju dengan ‘penemuan’ tentang lima sifat saya di atas.

Namun sekurang-kurangnya pada pengamatan isteri saya dan beberapa teman rapat saya (harap-harap tidaklah saya dituduh masuk bangkul angkat sendiri!) ia adalah benar.

Mereka adalah cermin kepada sifat dan keperibadian saya.

Ilmu mengenal ciri-ciri seseorang berdasarkan tarikh lahir telah lama berdiri sebagai satu disiplin ilmu di Barat, sebagaimana ilmu horoskop iaitu ilmu untuk mengetahui kejadian yang boleh menimpa seseorang pada masa depan berdasarkan kedudukan planet dan zodiac.

Kita diingatkan oleh para ustaz kita agar tidak percaya (baca : beriman) dengan ‘penemuan’ ilmu Barat ini kerana ia boleh mengusik keutuhan akidah kita yang percaya apa yang terjadi ke atas kita hanyalah kerana ketentuan atau qadha dan qadar ALlah semata-mata.

Jika ramalan itu benar-benar berlaku atau kajian ilmu ini sama dengan sifat kita, ia barangkali kebetulan. Begitulah nasihat diniah untuk kita jadikan panduan.

Key chain tadi mungkin memberikan persepsi baik tentang diri saya. ‘Penemuan’ ini barangkali kebetulan juga.

Namun mungkin saja ada yang tidak berapa bersetuju atau skeptikal terhadap kenyataan ini. Apatah lagi jika anda meneropong ke dalam (zoom- in) peribadi saya pasti akan berjumpa macam-macam kelemahan dan sifat negatif. Dan ianya bukan sedikit.

Sebagai manusia biasa ia benar dan saya tidak pernah menafikan. Isteri saya terutamanya dan kawan karib saya sangat memahami di mana letaknya sifat yang baik dan yang buruk tentang diri saya. Semua orang pun begitu. Bezanya hanyalah darjah baik dan buruknya – ke arah mana ia lebih condong.

Tak perlah.Ia bukan suatu yang perlu saya malukan dan berasa rendah diri. Juga bukan untuk saya bangga-banggakan.

Ingatan saya kemudian terus kembali ke sekitar tahun 2001-2003 dulu – jika tidak silap ingatan saya – ketika sahabat saya, cik Rosmi ‘membaca’ sifat dan peribadi saya berdasarkan tulisan tangan saya.

Di kolej, cik Rosmi – selain seorang pensyarah dan ketua jabatan pengurusan dan perniagaan – juga dikenali sebagai seorang yang mempunyai kelebihan yang istimewa dan unik. Cukup dengan belajar 1 semester kursus graphology di universitinya di Amerika Syarikat dahulu, cik Rosmi sudah saya anggap sangat ahli dalam ‘membaca’ sifat dan peribadi seseorang hanya berdasarkan tanda tangan dan tulisan tangannya.

Ilmunya memerlukan daya mengecam yang cukup seni dan teliti hingga boleh ‘melihat’ siapa seseorang itu – fikiran, perasaan, sikap, kecenderungan, peel dan sebagainya di sebalik bentuk, gaya dan lenggok tulisan seseorang itu. Pendekata, ilmu yang disebut graphology ini boleh menilai baik buruknya seseorang itu. Tak ker hebat ilmu ini.

Justeru, saya juga cuba menguji keahlian cik Rosmi dengan memberikan contoh tulisan tangan saya. Walaupun agak keberatan kerana telah lama tidak ‘membaca’ tulisan orang, tapi akhirnya cik Rosmi bersetuju juga untuk membantu saya.

Hasil penelitian sehari beliau, sejumlah sifat dan keperibadian saya telah ditemui dan beliau ‘dedahkan’ kepada saya. Senarainya agak panjang.

Saya dan my other half iaitu isteri saya terpegun kerana penemuan sahabat saya itu boleh dikatakan tepat kira-kira 95%. Tak perlulah saya dedahkan apa yang telah cik Rosmi ‘temui’ di sebalik tulisan tangan saya.

Sebahagian penemuan beliau adalah seperti yang tercatat pada key chain tadi. Sebahagian lagi termasuk yang negatif seperti saya ni sifatnya agak kelam kabut melengkapkan lagi perihal diri saya – dalaman dan luaran, sebagaimana yang rakan-rakan dan pelajar saya kenali sepanjang pergaulan dengan mereka selama ini.

Setelah mencuba contoh-contoh lain tulisan individu ‘pilihan’ saya dan isteri, penemuannya juga hampir 100% tepat. Menakjubkan kerana cik Rosmi tidak pernah kenal individu-individu tersebut kecuali saya dan isteri. Saya sangat menghargai jasa beliau terhadap saya dan isteri.

Kepada saudara di luar sana, janganlah bimbang pula bila mengetahui ada orang yang boleh mengetahui keperibadian kita hanya dengan ‘membaca’ tulisan kita, atau melihat perilaku kita atau berdasarkan tarikh lahir kita.

Cuma saya pernah mendengar ustaz kita pernah mengingatkan agar ‘takutilah pandangan orang beriman’ yang boleh mengesan dosa yang kita lakukan.

Hiduplah seperti biasa.

Namun dari masa ke semasa baiki diri kerana kita tidak pernah sempurna sebagai insan. Jika kita tidak berbuat apa-apa atas alasan sudah matang dewasa, kita sebenarnya mungkin akan terus biasa dengan kejahilan, kebongkakan, ujub, riyak, sifat yang kedekut, amalan kejahatan dan peel yang beremosi tidak bertempat.

Dalam bahasa agamanya, kita akan terus disarati oleh sifat mazmumah. Justeru, apa yang kita boleh buat, kata orang – setelah insaf – ‘betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul’.

Maka, jika perlu bermujahadah, bermujahdahlah. Begitu juga dengan muhasabah, tazkiatun nafs dan bertaubat – ia sewajarnya menjadi rutin harian, mingguan atau bulanan.

Dalam hal ini misalnya bermuhasabah, dan kerana dosa silam yang banyak kita bukan sahaja perlu bahkan wajib bertaubat. Ini bukan perkara harus atau sunat lagi. Ia dah jatuh hukum yang tegas – wajib!

Moga biarlah hari ini kita lebih baik dari semalam, dan esok pula kita lebih baik dari hari ini.

Jika tidak – sebagaimana yang disebut oleh lisan Nabi s.a.w. yang mulia – akan terpedaya atau pun celakalah kita !

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s