Buku Baru yang Sudah Usang

Masa tu sekitar tahun 2002 rasanya. Baru 6 tahun berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej UNITI. Saya baru sahaja ‘berhenti’ mengajar kursus Kimia ketika itu gara-gara program Pra-Sains UiTM diberhentikan. Sehingga sekarang pun saya masih tidak mengetahui sebab musabab program itu ditamatkan.

Seingat saya, selepas itulah saya mula mengajar kursus sains sosial. Satu daripadanya ialah Kenegaraan atau Pengajian Malaysia, selain Tamadun Asia. Mengajar kursus dari gugusan sains sosial itu bukan kerana terpaksa tapi kerana saya memang memilih untuk mengajarnya secara peribadi. Saya berminat untuk mengajarnya. Sungguh!

Barangkali saya memang ditakdirkan untuk menjadi ‘orang peradaban’ satu hari nanti. Petandanya telah ada lama dulu. Sebelum masuk U lagi. Minat membaca bahan sastera dan agama berputik sejak di bangku sekolah menengah lagi walaupun saya pelajar aliran sains tulen.

Dan setelah berada di UKM saya masih meneruskan minat ‘sampingan’ itu. Selain merujuk bahan untuk tesis sarjana muda Sains Nuklear, saya juga sempat lagi menyelongkar tulisan dan karya keagamaan dan peradaban manusia di tingkat bawah Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM.

Dengan menguasai dwibidang – sains dan sastera (atau lebih tepat lagi sains sosial) saya berharap lebih sempurnalah ilmu saya. Teringat pula saya dengan pesan Anton Chekov berikut :

“Tidak ada satu pun yang akan memuaskan diriku selain ilmu, seni dan agama”.

Kini koleksi bahan ilmiah dan bukan ilmiah dalam bidang sastera dan sains sosial lebih banyak daripada bidang asal saya, Sains Nuklear. Bahan-bahan itu kini memenuhi rak-rak buku di khutub khanah mini rumah saya.

Berbalik kepada cerita awal tadi, saya mula menulis nota Pengajian Malaysia secara serius selepas kira-kira setahun mengajar kursus Pengajian Malaysia untuk menjadi teks rujukan penuntut program dalaman Kolej UNITI.

Saya juga pernah menulis secara serius sebelum ini semasa mengajar Kimia Pra-Sains UiTM. Boleh dikatakan inilah pengalaman pertama menulis saya selepas tamat degree dari UKM. Alhamdulillah sempat juga menghabiskan tiga bab pertama nota Kimia Pra-Sains sebagai teks rujukan kuliah pelajar saya.

Tentang buku Pengajian Malaysia, saya tidak menggunakan buku yang ada di pasaran. Bukan kerana isu kualiti. Bahkan buku itu ditulis oleh sarjana IPTA yang hebat. Tebal dan padat isi buku tersebut.

Juga saya tidak menggunakan buku yang ada di pasaran bukan kerana harganya yang mahal. Tapi kerana saya mahu berkuliah menggunakan bahan saya sendiri, ditulis berdasarkan perpektif saya terhadap silibus yang ditetapkan pada waktu itu oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN, kini Agensi Kelayakan Malaysia, MQA).

Pada saya biarlah bahan yang digunakan pelajar saya mencerminkan pemahaman saya, sudut pandang saya, pemikiran saya yang kritis dan objektif terhadap tajuk-tajuk yang disenaraikan dalam silibus kursus.

Harap-harap jugalah ia menjadi satu penulisan yang bercirikan ilmiah melalui kaedah petikan, nota kaki dan cara kesimpulan dibuat untuk setiap tajuk.

Justeru, nota saya bukanlah seperti nota biasa yang terdapat di pasaran. Mungkin ia lebih nipis. Ada 158 halaman yang memuatkan isi atau teks utamanya. Tapi padat. Ada yang tersurat – senang difahami. Tapi ada juga yang tersirat – untuk ditekuni dalam lagi.

Apa yang lebih penting pelajar sebagai kumpulan sasar buku ini dapat membacanya dengan mudah (Ini cita-cita saya untuk memudahkan penyampaian ilmu melalui tulisan saya).

Sejak nota itu mula ditulis ia sentiasa dikemas kini dan diperbaiki fakta dan kesilapan teksnya.

Maka, setiap semester nota itu sentiasa ada ‘nilai-tambah’nya untuk disajikan kepada minda pelajar. Sebab itu nota saya menjadi lebih tebal dari satu semester ke satu semester berikutnya.

Saya mahu nota saya sentiasa bersifat semasa dan terkini. Ini bukanlah suatu yang mustahil sementelahan pula kursus ini saya anggap kursus yang mempunyai dinamikanya tersendiri. Pengajian Malaysia bukanlah kursus sejarah. Ia inklusif, meliputi fakta silam dan perkara yang sentiasa semasa sifatnya.

Banyak isu yang berlaku dalam masyarakat dan negara saban hari boleh dihubungkaitkan dengan tajuk-tajuk kursus – baik yang bersifat politik (biasanya), atau isu sosial mahu pun ekonomi.

Saya paling suka membicarakan isu perlembagaan. Kebetulan pula sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak peristiwa dalam masyarakat, baik menyentuh budaya, agama, etnik, bahasa, sastera dan pendidikan dilihat dari perspektif undang-undang dan dicari penyelesaiannya menggunakan pentafsiran perlembagaan di kamar mahkamah.

Kini, setelah kira-kira 9 tahun nota saya telah pun dicetak sebagai sebuah naskah separa-ilmiah dalam bentuk buku yang sebenar. Saya tak berani nak anggap buku saya ilmiah seratus peratus kerana penulisannya masih lagi ada kelemahan dan kesilapan terutamanya dari segi petikan sumber. Maklumlah tiada editor dan pembaca pruf bertauliah untuk teliti menyemak fakta, ejaan dan susun atur  bahasa.

Jadi lebih mudah dan selamat untuk saya menganggap naskah saya itu sebagai naskah separa-ilmiah.

Dengan latar belakang ini, buku saya ini mempunyai evolusinya tersendiri. Rasanya ia akan terus berevolusi memandangkan banyak lagi aspek yang boleh disentuh tidak dapat dimuatkan buat masa ini. Dan jika dikumpul lagi fakta dan peristiwa yang telah berlaku sebagai contoh-contoh teori atau konsep pasti buku saya akan menjadi lebih tebal kelak.

Saya menyangkakan buku saya akan membantu pelajar memahami latar belakang kewujudan bumi bertuah Malaysia, sejarahnya yang boleh disusur galurkan dari kerajaan Melayu klasik era Melaka dan juga wajah modennya sekarang.

Namun, sembang borak dengan salah seorang pelajar beberapa hari lepas mengkhabarkan kepada saya hasil yang sebaliknya. Cerita yang saya dengar dari mulut pelajar itu agak mengecewakan saya. Menurutnya buku saya sukar difahami. Isu mereka di sini ialah kerana laras bahasanya.

Saya musykil tapi merenung sebentar untuk memahami realiti sebenar yang berlaku. Tidak salah untuk mengakui kesilapan sendiri jika itulah realitinya. Ia bukan tanda kita ni lemah.

Mungkin ada benarnya cara penulisan yang ‘berdisiplin’ dalam buku saya tidak dapat menangkap perhatian pelajar saya. Kerana tak larat nak baca dek banyaknya istilah baru dan isu-isu yang menuntut pelajar berfikir lebih dalam untuk memahami maksud yang ‘tersorok’ di sebalik kalimah-kalimah berat, mereka tidak lagi mahu meneruskan bacaan. Mereka lelah dan jadi lemas, tenggelam dalam lautan teks nota saya.

Itulah cabarannya bila menulis sesuatu yang berat dan sarat isinya. Tapi saya boleh memahami mengapa keadaan ini terjadi.

Pandangan umum yang diterima hari ini, rata-rata pelajar kita lagi-lagi lepasan 3-5 kredit SPM bukanlah golongan yang suka membaca bahan-bahan ilmiah apatah lagi untuk mengambil tahu maklumat atau ilmu di luar silibusnya. Ramai yang saya ‘temuduga’ gagal menjawap soalan tentang isu dan perkembangan semasa yang berlaku di persekitarannya. Ujian mudah untuk mengenali siapa tokoh budayawan atau ilmuan tersohor negara pun tidak mampu dijawabnya.

Sebenarnya ada isu yang lebih besar dari buku saya ini, iaitu wujudnya gejala kelemahan budaya ilmu dan kurangnya sikap ambil tahu terhadap isu dan perkembangan negara. Selain itu, pelajar kita juga belajar dengan kaedah yang tidak betul hinggakan mereka menjadi reseptif dan pasif dalam menimba ilmu.

Pemikiran pelajar yang reseptif dan pasif dalam pembelajaran banyak dipengaruhi dan dicorakkan oleh bagaimana mereka dibesarkan di rumah dan budaya ilmu (baca : budaya nak lulus periksa) semasa di alam persekolahan. Tidak ketinggalan oleh pesona bahan bacaan yang santai yang banyak di pasaran selain tarikan dari rancangan hiburan dalam media elektronik.

Aktiviti-aktiviti luar bilik darjah ini tidak mengasah akal menjadi tajam. Ufuk fikrah pula berkembang liar tanpa arah. Mereka selesa dalam kepompong fikrah yang jumud dan tidak berkembang ini. Rancangan dari media hiburan terutamanya sangat membekas dalam jiwa dan akal mereka. Hampir setiap hari mereka disogokkan dengan halwa telinga dan jamu mata yang mengasyik dan menguja perasaan.

Saya dapat merasakannya kerana pernah menyukai hiburan popular tersebut. Pernah menyukai artis itu artis ini. Yalah sayakan pernah remaja juga.

Namun keadaan ini bukanlah suatu petanda yang sihat walaupun ia meriah dan sentiasa membuat kita gembira. Ia bukan suatu yang kita patut raikan atas alasan ‘berilah mereka kebebasan seperti yang telah kita pernah lalui sebelum ini’.

Kita perlukan suatu kegiatan yang lebih positif untuk menjana daya intelektual selepas mendidik jiwa menjadi halus dan mencetus aura kemanusiaan yang beriman.

Tidak ramai di kalangan remaja hari ini yang ada kekuatan dan dorongan dari dalam (motivasi intrinsik) untuk menjadi seorang pelajar yang ‘berbeza’ kecenderungan dan pemikirannya dari arus perdana semasa yang kuat ini.

Mungkin juga faktor masyarakat hari ini yang materialistik sangat kuat mempengaruhi pola berfikir dan kecenderungan remaja kita sehingga melahirkan pelajar-pelajar yang tidak mencintai ilmu dan ilmuan. Sebagai agen sosialisasi, masyarakat adalah pengaruh yang kuat dalam pembinaan watak remaja dan pelajar kita.

Jadi, dengan andaian di atas saya mengerti dan faham bahawa karya atau naskah ilmiah tidak mampu mendekati pemikiran pelajar saya. Apatah lagi mencetus perubahan dalam kaedah berfikir mereka. Mungkin hanya segelintir yang ingin menekuni buku ilmiah sebegini.

Kesungguhan tidak boleh semata-mata terbit dari saya seorang. Pelajar juga perlu bersungguh dalam mentelaah ilmu yang dipelajarinya. Barulah pembelajaran dalam erti kata yang holistik boleh terjadi.

Untuk perubahan pemikiran yang berbudaya ilmiah ini berlaku, ia perlu lebih dari sebuah buku. Ia perlu gerakan lebih besar berskala mega dari pihak yang lebih berkemampuan. Sudah agak lama kita disaji dan dijajakan dengan fakta kajian bahawa rakyat Malaysia sangat ‘malas’ membaca berbanding bangsa lain terutamanya bangsa Jepun. Berbanggakah kita dengan 2 buku setahun dibaca rakyat Malaysia!

Oleh itu bagaimana dengan buku saya ? Perlukah saya menyunting semula persembahan teks buku saya agar menjadi naskah yang lebih ‘mesra-pelajar’ menggunakan bahasa biasa, santai dan ‘menceriakan’? Mungkinkah ia perlu sentuhan kreatif.

Jika itu puncanya, nampaknya saya perlu ambil kursus penulisan kreatif untuk penulisan ilmiah. Tapi adakah kursus sebegitu ditawarkan sekarang?

Atau biarkan saja formatnya sebagaimana asal kerana penulisan ilmiah memang begitu sifatnya. Tiada kompromi!

Maka yang perlu sesuaikan diri apa atau siapa , buku ilmiah atau pelajar ?

Pelajarlah. Itulah kesimpulan saya. Sekurang-kurangnya ia benar untuk setakat ini.

Jika tidak buku ilmiah baru pun akan menjadi usang di tangan pelajar.

Advertisements

7 comments on “Buku Baru yang Sudah Usang

  1. Salam Cikgu Bad, terima kasih. Memang pelajar di KU beruntung. Dapat naskah yang mendalam isinya, saya akui. Membina minat untuk mendalami isu2 yang berat memerlukan masa. Ada pelajar yang mengaku yang mereka lelah untuk berfikir dengan mendalam, apatah lagi dengan bahasa yang tinggi kerana pemahaman mereka berbeza – samada malas, hanya membaca fahamnya tidak dan tak ingat, hanya menghafal dengan objektif untuk lulus periksa dan bermacam alasan lagi. Ada seorang rakan saya seorang pendidik/pensyarah mengatakan, dia berjaya jika dapat menarik minat pelajarnya untuk memahami apa yang dia cuba sampaikan dan pelajarnya dapat ‘apply’ samada dalam menyelesaikan tugasan dan/atau membantu dalam kehidupannya. Bermula dengan bahasa yang ringkas untuk menarik minat pelajar sehingga ke isu2 yang berat, ia membantu untuk ‘engage’ pelajar ketika tutorial/perbincangan. Sememangnya sangat berlainan keadaannya ketika pengajian degree saya di sana dan pengajian ijazah sekarang, nota yang mendalam dan kajian perlu digali sendiri. Yang disediakan cuma nota ringkasan dan ‘reference’. Selebihnya, untuk menyelesaikan tugasan dan menjawab soalan peperiksaan, pandai2 lah duduk di library – guna buku ‘keras’ atau login untuk guna buku/nota maya. Semoga usaha cikgu semakin berterusan, mana tahu satu hari nanti saya jumpa naskah Cikgu Bad di perpustakaan dan kedai2 buku, InsyaAllah.

  2. assalamualaikum cikgu bad,

    sekali lagi, diruang blog cikgu pula tahniah atas lahirnya buku pertama cikgu. saya pun tak boleh nak komen banyak sebab saya juga salah seorang daripada pelajar yang diberi input sepenuhnya daripada pensyarah. dalam erti kata lainnya, ‘spoon feed’. walaupun begitu, saya agak tidak bersetuju dengan pendapat salah seorang daripada pelajar tersebut.

    pada pendapat saya, itu sudah mnjadi tugas pelajar untuk berfikir dengan lebih mendalam tentang maksud yang ingin disampaikan. tambahan pula subjek Pengajian Malaysia ni agak berat dan perlu bnyk membaca. bukan baca sahaja, tapi perlu difahami. bagi saya tak perlu timbul isu laras bahasa jika kita betul-betul nak belajar. pelajar2 dah cukup bertuah sbb dapat buku drpd pensyarah. apa salahnya baca dan berfikir sedikit untuk kukuhkan lagi kefahaman. kalau tak faham, rajin-rajinlah bertanya. nak dikatakan bahasa buku ilmiah pun, mmg bahasa dalam buku ilmiah kebanyakannya perlu bnyk berfikir (tersirat). sekurang-kurangnya cari sedikit lagi maklumat lain untuk kukuhkan lagi kefahaman.

    isu sekarang ni ‘kurang rajin berfikir’, mungkin atau sememangnya sudah terbiasa dgn budaya ‘spoon feed’ hingga timbul sikap malas untuk berfikir. harap ia menjadi ingatan kepada diri saya sendiri…jangan malas berfikir.

    • Wa’alaikum salam Nurul,

      Syukran di atas penghargaan yg diberi. Buku itu akan menjadi warisan cgu buat pelajar Pengajian Malaysia bila cgikgu dah tiada lagi nanti.

      Juga syukran di atas komen yg membina! Moga ramai yg membaca komen ini khususnya yang masih terkial-kial dalam pembelajarannya.

      Sebagai bakal guru Nurul sedang berada di landasan pemikiran yg betul. Sebahagian lagi akan sempurna melalui sikap dan keperibadian.

      Semoga Nurul berjaya dalam pengajian Pra-Sekolah sekarang. Amin

  3. Salam Cikgu Bad. Penulisan secara serius dan ilmiah mungkin kurang diterima oleh pelajar yg hanya menghafal untuk lulus exam. Saya pun pernah begitu, mungkin minat yg berlainan? Jadi bila kurang minat ni dan hanya utk lulus periksa, bacaan2/penulisan2 berat menjadi sukar difahami. Tetapi selepas fasa tersebut, kita semakin menghargaai penulisan2 berat seperti ini sebab ia sedikit sebyk melingkari isu2 sekeliling dlm hidup kita. Mungkin Cikgu Bad boleh ubah skrip utk pelajar2 untuk memudahkan pemahaman mereka utk subjek2 tersebut tapi skrip asal tu, Cikgu teruskan buat penambahbaikkan, InsyaAllah ada manfaat utk pelajar2 yg memang berminat utk mendalaminya atau mungkin satu hari nanti boleh dijadikan rujukan di universiti2. Kemungkinan persoalan berat dan memerlukan mereka berfikir secara mendalam boleh dijadikan attachment/nota tambahan/perbincangan/esei pendek. Akhirnya semua bergantung kepada pelajar tersebut, apa matlamat disebalik subjek tersebut dan kaitannya dengan kehidupan disekelilingnya. Selamat maju jaya Cikgu! =)

    • ‘Alaikum salam Marina,

      Terima kasih krn Marina telah memberi pandangan yang membina bagi menjadikan naskah cikgu mudah diterima pelajar kelak. InsyaAllah – jika cukup resepinya nanti – cikgu akan ikhtiarkan. Mungkin versi ringkas atau format santai utk kemudahan pelajar yg tidak biasa dgn teori dan konsep serta isu semasa yang berat.

      Selamat maju jaya juga buat Marina..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s