Kemanusiaan Yang Telah Hilang!

Masa itu sekitar 8.03 malam.

Saya diam terpaku. Tergamam. Untuk seketika air mata saya mengalir.

Begitulah reaksi spontan saya menonton satu klip video yang menyayat hati yang memulakan sajian berita dalam Buletin Utama TV3 malam tadi.

Saya terus ‘menggoogle’ internet mencari klip video kisah anak kecil malang yang seakan dibiarkan mati setelah dilanggar lari  menggunakan BB saya.

Setelah memilih klip video yang sesuai di arkib Youtube, saya memuaturun video tersebut di laptop Lenovo saya.  Saya juga menyimpan URLnya.

Niat saya adalah untuk ia dikongsi dengan khalayak rakan dan pelajar saya di blog dan facebook. Sesuatu yang maha penting mesti saya hebah dan canangkan malam ini.

Inilah kisah malang itu.

Continue reading

Jangan Abaikan Sastera

Saya ingin berkongsi lagi dengan khalayak pembaca.  Kali ini tentang peri pentingnya bidang sastera – yang dilupakan oleh sebahagian besar daripada kita termasuk mereka yang bergiat dalam lingkungan pendidikan.

Barangkali manusia sudah hilang budi dan kemanusiaan kerana terlalu mementingkan bidang sains dan teknologi dan mengejar kebendaan.

Saya bimbang pendidikan kita telah gagal melahirkan pelajar yang kaya budi. Saya tidak pernah berbangga dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagaimana berbangga dan tersentuhnya saya dengan kehadiran pelajar-pelajar yang berkeperibadian mulia dan beradab sopan. Ini kerana keperibadian atau akhlak tidak boleh dicerminkan dan diukur oleh keputusan peperiksaan tetapi dari segi tingkah laku, pertuturan, pergaulan dan gaya hidup pelajar.

Hari ini saya selalu bersedih kerana selalu melihat kemiskinan budi dan kemanusiaan di depan mata saya. Ramai yang biadap dari beradap, ramai yang kurang ajar daripada yang cukup ajarnya.Remaja atau pelajar hari ini lebih memustahakkan kekayaan ‘body’nya daripada kemewahan budinya.

Kembali kepada peranan bidang sastera, ia menurut saya menyentuh sisi paling dalam dalam diri manusia. Tidak seperti disiplin sains, ia bisa memberi makna kemanusiaan dan ketuhanan. Ia membangun jiwa manusia yang halus. Pengertian yang dibawanya menyempurnakan maksud sebenar pendidikan yang bersifat holistik.

Sastera sahaja – selain suluhan wahyu Tuhan dan pedoman nabi –  yang boleh membangunkan aspek emosi dan rohani pelajar, sebagaimana yang disuratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Semua pendidik di negara kita tahu tentang ini (JERI – Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek) tetapi hanya sedikit yang menghayatinya dalam pnp mereka.

Mesej mengenai ‘jangan abaikan sastera’ ini datangnya dari seorang penyair bernama Anton Chekov yang beliau nukilkan dalam sebuah puisi yang kemudian dipetik oleh Jujun S. Suriasumantri untuk bukunya bertajuk ‘Ilmu dalam Perspektif Moral, Sosial dan Politik’, terbitan DBP tahun 1990.

Dalam keadaan manusia hari ini yang condong kepada kebendaan atau materialisme, pesan ini sangat wajar diberikan perhatian berat terutamanya para pendidik.

Kepada khalayak pembaca, mengertikanlah nasihat Anton Chekov di dalam puisinya ini.

Bacalah puisi anakku
Setelah belajar Matematik;
Bacalah doa
Dalam kekerasan usaha;
Jadilah manusia
Bukan robot tidak berjiwa!

Wallahua’lam