Andainya Muhammad masih berada bersama-sama kami

Tajuk entri kali ini adalah nama sebuah nasyid yang popular di corong radio IKIM.fm. Sebelum ini mungkin sebahagian daripada kita telah mendengarnya di youtube. Ia bukan nasyid yang biasa kita dengar. Saya percaya ramai yang terkesan apabila mendengar karya kreatif yang syahdu ini.

Justeru saya kongsikan di blog ini untuk memanjangkan lagi kebaikan dari pencipta lagu ini agar ia didengar dan didengar selalu, lagi dan lagi.

Dengan harapan barangkali masih ada yang belum pernah mendengar lagu ini, saya tujukan khas buat anda semua. Dengan youtube downloader, lagu ini juga boleh dimuaturun dengan mudah. Dan boleh kita sebar dan kongsi dengan khalayak saudara kita yang lain pula.

Moga ini menjadi sebahagian hujah bahawa kita juga sedang berusaha mencintai Rasulullah lebih dari mencintai diri kita sendiri (maksud hadis) melalui usaha yang sangat kerdil ini.

Amatilah lirik nasyid ini dalam bahasa Melayunya. Anda pasti akan tersentuh. Jika berbaki rasa iman di dalam hati kita, ia tentunya akan menginsafkan.

Biarlah benih cinta kepada ar Rasul s.a.w. tertanam, lalu subur hingga hati ini tiada lagi melainkan untuk baginda sahaja.

Allahuma solli ‘ala Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad.