Kini Aku Kembali Mengajar

Lama benar saya tidak menulis di blog yang tidak sepertinya ini. Barangkali saya masih tidak cukup stamina untuk berfikir seperti dulu.  Selepas habis waktu pejabat kini saya hanya menyambung dan menumpukan kepada mencari bahan-bahan untuk Pnp kursus Pengajian Malaysia.

Banyak sekali bahan yang boleh saya perolehi dari perpustakaan terbesar dunia. Tentunya – dengan googling – saya boleh mengakses laman sesawang, portal berita online, blog dan berbagai lagi sumber maklumat di internet. Bahan yang saya perolehi berupa gambar, artikel, kertas kerja dan laporan berita. Kini saya mula belajar bagaimana mencari dan memuaturun buku secara percuma pula. Fuh ! maklumat benar-benar di hujung jari kita.

Saya jadi begini – sebagai pencari maklumat yang serius – kerana mulai awal semester ini saya telah kembali mengajar. Rasanya mau kira-kira 2 tahun saya tidak menyentuh marker pen dan menulis sesuatu di papan putih di hadapan pelajar.

Ada kisah di sebalik apa yang berlaku ini. Sebagai pembaharuan, satu polisi baru telah diperkenalkan pihak pengurusan iaitu semua staf akademik yang memegang jawatan pentadbiran kanan termasuk Timbalan Ketua Eksekutif dan staf bukan akademik yang mempunyai ijazah kini hendaklah mengambil beban akademik sekurang-kurangnya 3 jam kredit.

Pembaharuan ini baik tetapi mempunyai kesan sampingannya kepada kelancaran Pnp dan jadual yang telah ditetapkan sebelumnya. Apapun tanpa membantah semua yang berkenaan sudah pun mula mengajar. Hanya segelintir sahaja – atas sebab-sebab tertentu – masih terkecuali atau dikecualikan daripada tugas ‘baharu’ ini.

Bagaimana dengan penerimaan saya pula ?

Saya tak kisah. Saya bahkan seronok dan teruja setiap kali ingin memulakan kuliah. Memang sudah lama saya ingin sekali kembali ke dunia akademik. Ia minat saya. Tugas hakiki saya. Ia telah mendarah daging dalam diri saya. Dulu pun saya pernah mahu berhenti kerja kerana ‘tidak dibenarkan’ mengajar lagi. Harap-harap saya akan terus mengajar selepas ini.

Semoga tiada sesiapa pun akan dan boleh menghalang saya lagi. Di usia 42 tahun ini, saya telah dewasa dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman hidup yang sebahagiannya begitu menduga dan mencabar diri saya. Justeru terlalu banyak perkara yang ingin saya kongsi dengan pelajar saya.

Namun saya akan mengajar hanya kepada yang sudi dan mendidik lebih-lebih lagi kepada yang hanya punya hati.

Terima kasih Allah.

2 comments on “Kini Aku Kembali Mengajar

  1. assalamualaikum cikgubad…
    tahniah atas kembalinya cikgu dalam arena akademik…mesti seronok dapat guna semula buku yang cikgu tulis, dlm PnP kan?… saya harap ramai pelajar cikgu sekarang, yang sudi belajar dan lebih ramai lagi yang punya hati untuk belajar..semoga impian cikgu tercapai..=) tahniah!!

Leave a comment