Salam Ma’al Hijrah 1430 H

Salam sidang pembaca yang dikasihi ALlah,

Hari ini 1 Muharram 1430 H. Dunia yang sudah pun tua ini masih wujud lagi. Syukur aku masih hidup lagi.

————-

Alhamdulillah kita masih dapat menghirup udara kehidupan 1430 H dengan izinNya. Walau apapun, kesyukuran yang maha besar di dunia ini apabila kita masih dikurniakan dengan nikmat iman dan Islam. Nikmat inilah menjadi faktor kritikal dalam kehidupan insan. Ada atau tiadanya dua nikmat ini menentukan corak kehidupan insan – dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara – menjadi baik atau buruk kesudahannya. Berdoalah agar akhir kalam kita adalah husnul khatimah.

Mengikut adatnya kita akan memasang niat atau cita-cita azam tahun baru. Saya percaya semua orang berazam mahukan kehidupan mereka bertambah baik walaupun mereka adalah orang-orang yang jahat sekalipun. Ini kerana fitrah manusia sentiasa mahukan kebaikan. Namun, percayalah tiada perubahan akan berlaku kepada kehidupan kita selagi kita tidak menterjemahkan cita-cita dan perancangan kita ke dalam bentuk tindakan.

Continue reading

Elok Jika Kita Tidak Sependapat!

Salam sidang pembaca yang dirahmati Allah,

Fikirkan maksud petikan ini :

If two people think exactly alike,  one is necessary.

Scott Mckain, What Customers Really Want : How To Bridge What Your Organization Offers and What Your Clients Crave, 2005, hlm. 174.

Barangkali inilah sebabnya mengapa ilmu berkembang. Kehidupan juga menjadi lebih progresif. Kerana perbezaan pendapat inilah lahirnya kreativiti. Mengikut Szent-Gyorgyi kreativiti berlaku apabila:

“…to see what everybody else has seen, and to think what nobody else has thought.”

Produktiviti juga bertambah baik apabila kita boleh berfikir dengan kritis; iaitu menilai pros dan cons tentang sesuatu perkara atau idea sebelum ia boleh dijelmakan sebagai satu produk berkualiti untuk pengguna.

Justeru, mesej dari petikan di atas ialah kita tidak semestinya (dan tidak boleh juga) mengharapkan persamaan dan keserupaan pandangan kerana ia boleh menghalang kemajuan dalam suatu urusan terutamanya urusan perniagaan. Pandangan bahawa kita mesti sentiasa bersetuju ke atas atas apa jua perkara khasnya dalam konteks profesional adalah silap dan hanya menghalang perkembangan idea bernas dan penyelesaian yang lebih baik ke atas masalah yang dihadapi.

Namun, harus diingat bahawa perbezaan idea begini tidak boleh diaplikasi dalam soal agama iaitu soal akidah. Dalam Islam hanya akidah sunnah wal jamaah sahaja dibenarkan manakala yang lain seperti akidah syiah tertolak berdasarkan hujah-hujah sohih dari ulama sunnah. Adapun dalam soal pemahaman feqah, ia dibenarkan berlaku. Maka, sebab itulah wujudlah berbagai mazhab feqah seperti Syafie, Hambali, Hanafi dan Maliki.

Oleh yang demikian konteks yang dimaksudkan oleh petikan itu lebih sesuai dalam konteks urusan dunia seperti dalam amalan profesional. Juga dalam lingkungan tertentu dalam agama selagi ia tidak mencanggahi prinsip akidah Islam.

Wallahua’lam

Petua Untuk Berubah

Hari ini saya petik kata-kata hikmah ini – dari pengalaman manusia lain – agar tertitip satu lagi nilai buat menyuluh kehidupan.

Our lives improve only when we take chances – and the first and most difficult risk we can take is to be honest with ourselves.”

Walter Anderson, Editor Parade magazine

Wallahu a’lam

Pesan Buat Warga Guru

Salam buat semua warga guru.

Saya titipkan sebuah sajak oleh Sasterawan Negara, Usman Awang bertajuk ‘Guru O Guru’ untuk kalian bagi menginsafi akan maha besarnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul seorang guru. Juga saya khususkan ‘posting’ ini buat pelajar Diploma Pendidikan Pra-Sekolah saya yang bakal menjadi guru kelak.

Karya sebesar ini sarat makna dan pengertian. Ia tidak boleh disimpan dalam lipatan ingatan dan gedung sejarah negara. Ia perlu ‘dikeluarkan’ dan diulang-ulang untuk sentiasa segar dalam pemikiran dan kepercayaan masyarakat.

Kita tidak perlu menunggu tarikh 16 Mei untuk menginsafi peranan guru dan jasanya kepada bangsa dan negara. Karya ini begitu besar untuk dikenang hanya setahun sekali.

Continue reading

Siapakah Usman Awang?

Saya pernah terbaca dari sebuah tulisan mengenai sasterawan negara, almarhum Usman Awang akan keperibadiannya. Sayangnya saya lupa di mana saya terbaca tulisan tersebut kerana ‘usia’ bacaan saya itu telah bertahun lamanya.

Takpelah! Yang paling penting ialah di celah-celah tulisan itu terdapat satu frasa ringkas yang menyimpulkan siapakah sasterawan Melayu yang sangat tersohor ini.

Saya telah memetik frasa tersebut kerana ia begitu bermakna kepada saya dan sarat nilai. Justeru, kerana makna dan nilai itu saya selalu menyebut-nyebutnya di dalam kuliah Pengajian Malaysia saya apabila ada isu yang berkaitan dengan frasa tersebut.

Saya sangat suka berkongsi dengan para pelajar saya tentangnya dan mengajak mereka berfikir tentang maksud frasa tersebut. Bahkan saya telah menjadikan ia sebagai satu tajuk tugasan dalam kursus saya.

Kepada khalayak pembaca sekalian saya titipkan petikan tersebut bagi renungan dan penghayatan. Bacalah yang tersiratnya.

Tentang Usman Awang, beliau itu adalah :

Tradisonal tapi tidak kolot, Moden tapi tidak kebaratan.

Wallahu a’lam

Jangan Abaikan Sastera

Saya ingin berkongsi lagi dengan khalayak pembaca.  Kali ini tentang peri pentingnya bidang sastera – yang dilupakan oleh sebahagian besar daripada kita termasuk mereka yang bergiat dalam lingkungan pendidikan.

Barangkali manusia sudah hilang budi dan kemanusiaan kerana terlalu mementingkan bidang sains dan teknologi dan mengejar kebendaan.

Saya bimbang pendidikan kita telah gagal melahirkan pelajar yang kaya budi. Saya tidak pernah berbangga dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagaimana berbangga dan tersentuhnya saya dengan kehadiran pelajar-pelajar yang berkeperibadian mulia dan beradab sopan. Ini kerana keperibadian atau akhlak tidak boleh dicerminkan dan diukur oleh keputusan peperiksaan tetapi dari segi tingkah laku, pertuturan, pergaulan dan gaya hidup pelajar.

Hari ini saya selalu bersedih kerana selalu melihat kemiskinan budi dan kemanusiaan di depan mata saya. Ramai yang biadap dari beradap, ramai yang kurang ajar daripada yang cukup ajarnya.Remaja atau pelajar hari ini lebih memustahakkan kekayaan ‘body’nya daripada kemewahan budinya.

Kembali kepada peranan bidang sastera, ia menurut saya menyentuh sisi paling dalam dalam diri manusia. Tidak seperti disiplin sains, ia bisa memberi makna kemanusiaan dan ketuhanan. Ia membangun jiwa manusia yang halus. Pengertian yang dibawanya menyempurnakan maksud sebenar pendidikan yang bersifat holistik.

Sastera sahaja – selain suluhan wahyu Tuhan dan pedoman nabi –  yang boleh membangunkan aspek emosi dan rohani pelajar, sebagaimana yang disuratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Semua pendidik di negara kita tahu tentang ini (JERI – Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek) tetapi hanya sedikit yang menghayatinya dalam pnp mereka.

Mesej mengenai ‘jangan abaikan sastera’ ini datangnya dari seorang penyair bernama Anton Chekov yang beliau nukilkan dalam sebuah puisi yang kemudian dipetik oleh Jujun S. Suriasumantri untuk bukunya bertajuk ‘Ilmu dalam Perspektif Moral, Sosial dan Politik’, terbitan DBP tahun 1990.

Dalam keadaan manusia hari ini yang condong kepada kebendaan atau materialisme, pesan ini sangat wajar diberikan perhatian berat terutamanya para pendidik.

Kepada khalayak pembaca, mengertikanlah nasihat Anton Chekov di dalam puisinya ini.

Bacalah puisi anakku
Setelah belajar Matematik;
Bacalah doa
Dalam kekerasan usaha;
Jadilah manusia
Bukan robot tidak berjiwa!

Wallahua’lam

Pendidikan itu membekas dalam diri insan

Saya rasa petikan di bawah seiring dengan maksud tersirat moto hidup saya ‘Mengajar pada yang sudi, mendidik pada yang punya hati’.

“Education is what survives when what has been learned has been forgotten.”
B. F. Skinner

Apa-apa yang singgah di hati akan membekas menjadi pegangan dan kemudian amalan , apa-apa yang singgah dalam fikiran hanyalah pengetahuan. Justeru, pendidikan itu – dalam pengertiannya yang luas dan holistik – adalah untuk membentuk keperibadian. Ia terbentuk hasil penitipan nilai dan pengajaran. Ia tentang budi dan iman selain pemikiran yang terjurus kepada pengkayaan minda.

Kesan sebegini tidak berlaku melainkan kerja-kerja pendidikan mensasarkan hati sebagai tempat membenihnya kepercayaan dan asal terbitnya sikap. Di sinilah hati lebih terbekas. Hasil kecelikan daripada sebuah pendidikan yang baik menjelma menjadi amalan kerana kesannya wujud untuk tempoh yang panjang sehinggalah kepercayaan baru mengubah kepercayaan lama.

Bukankah nabi Muhammad S.A.W. juga mengingatkan kita bahawa (mafhum hadith) :

“…aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Akhlak itukan keperibadian!

Wallahua’lam

Kenapa memilih akhirat?

Salam sidang pembaca yang budiman,

Pesanan iman dari lisan nabi Muhamad S.A.W. ini begitu membekas dalam hati saya ketika mula terbacanya di blog mantan mufti kerajaan Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (http://drmaza.com/home/).

Saya titipkan buat khalayak pembaca utk mencambahkan lagi kebaikan dari orang paling disayangi umat dan Tuhannya ini.

“Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya,  maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia).   Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya, Allah akan cerai beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan yang hina).”

Riwayat al-Tarmizi, dinilai hasan oleh Al-Bani

Kebendaan versus Budiman

Manusia boleh mati kerana kebuluran makanan. Akan tetapi kemanusiaan yang lebih besar kesannya kepada tamadun insan akan mati apabila miskin dan menyusutnya budi dan rasa kehambaan. Benarlah ungkapan Mother Teresa, pemenang Anugerah Keamanan Nobel bahawa :

There is more hunger for love and appreciation in this world than for bread.

Justeru, bagi membina modal insan resepinya – yang paling asas dan pokok – ialah kasih sayang dan penghargaan sesama insan sebagai mengimbangi dorongan kebendaan yang hanya bersifat luaran. Ini menguatkan lagi hujah bahawa motivasi intrinsik (dalaman) lebih membekas dalam pembentukan sikap dan perwatakan seseorang individu berbanding motivasi ekstrinsik (luaran).

Peribadi yang Luhur – Makna yang Tersembunyi

Peribadi seseorang itu adalah apabila ia bersendirian – bukan ketika di sisi orang ramai. Ukuran ini lebih tepat dalam mendefinisikan perwatakan seseorang. Jika dalam keadaan bersunyi-sunyian pun dia menjaga akhlaknya, inikan pula ketika berada di tengah khalayak rakan dan masyarakatnya.

Tapi peribadi soleh ini tidak ramai. Yang ramai ialah dalam keadaan bersendirian mungkin akhlaknya buruk tetapi bila bersama rakan atau kelompok ramai ia tampil baik dan bersopan. Tepuk dada tanya iman masing-masing. Hati kecil kita pasti jujur mengakui kebenaran ini.

Tidak ramai di kalangan kita yang berjaya menjiwai watak ihsan iaitu merasakan Allah itu ‘melihat’ kita atau kita ‘melihat’ Allah berada di sisi kita. Yang kita tahu ialah menyebutnya. Orang kata kita hanya pandai berteori sahaja. Selalunya kita ‘ambil kesempatan’ bila tiada siapa melihat kita. Justeru, benarlah bahawa peribadi itu hakikatnya bila kita bersendirian. Sekali lagi kita ‘tepuklah dada tanya sama iman di dalam hati’!

Barangkali petikan berikut dapat menyokong maksud kenyataan saya di atas.

Character is what we do when no one is looking. It is not the same as reputation…success…achievement. Character is not what we have done, but who we are.”

- Bill Hybels

Tidak salahkan jika kita mengambil pandangan dari seorang yang di luar dari lingkungan peradaban kita. Prinsip atau nilai yang baik selalunya bersifat sejagat (universal). Ia bukan sebagai pengganti dalil naqli.

Sekadar menunjukkan sikap dan budaya ilmu Islam yang begitu terbuka terhadap anasi-anasir baru dan asing selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip dan rukun Islam.

“Al-hikmah itu adalah barang yang hilang dari orang Islam. Di mana pun ia dijumpai ia adalah milik orang Islam (juga)”

Cinta Yang Suci

Cinta selalu mengasyikkan tapi boleh menipu (deceptive). Tapi kita selalu menafikannya kerana cinta itu – bukan sahaja ia buta tapi juga – membutakan kita.

Pesan oleh Arden menyempurnakan lagi makna cinta yang sebenarnya :

“Selain daripada cinta seorang ibu terhadap anaknya, jangan diharapkan cinta yang selebihnya adalah suci.”

Loyalty – The Essential Ingredient

Makna seorang bernama ‘kawan’ dari kaca mata seorang Barat

A friend is one who walks in when others walk out

- Walter Winchell

Dipetik dari buku terbitan Manjul Publishing House Pvt Ltd India 2008 bertajukThe Friendship Factor: How to Get Closer To The People You Care For oleh Alan Loy McGinnis. Buku ini dibeli di Kedai Buku Popular dengan harga RM33.00.

Kepada anda yang ingin memahami erti dan nilai sebuah persahabatan yang sebenar dan bagaimana ia dibentuk, dapatkan buku ini. Ia ada perspektifnya tersendiri.