Hamka dan Cinta

Jika kita tidak disayangi bahkan dibenci orang pastinya bersebab. Tidak mungkin orang akan menyukai atau membenci kita tanpa sebab atau alasan. Apatah lagi Jika sesuatu yang kita hajatkan bersifat halus seperti cinta dan kasih sayang. Serupa juga jika menunjukkan kelakuan yang kasar dan biadap – kebencian orang akan meluap-luap.

Justeru, apa yang kita mahukan dalam hidup ini menuntut syarat tertentu untuk ianya dicapai. Ia takkan berlaku dengan sendirinya. Dalam hal cinta Hamka berpesan :

“Empat perkara yang menimbulkan cinta : Muka yang jernih; ringan tangan; mencari persesuaian sama sendiri; sama yang di mulut dengan yang di hati.”

– Hamka

Cinta yang tulus adalah cinta kerana budi. Ia tidak boleh wujud kerana pesona pada ‘body’. Akan tetapi sesuatu yang bersifat budi hanya akan dapat dikesan oleh hati orang yang memandangnya. Ini kerana budi adalah suatu yang seni – perlukan hati untuk mentafsirkannya. Dan hati itu mestilah hati yang bersih.

Namun keikhlasan hati si budiman jugalah yang mengekalkan perhatian dan kesukaan orang kepadanya. Oleh itu, jika inginkan cinta itu tulus dan kekal tulus selamanya dalam diri kita dan orang yang mencintai kita, maka kita mestilah terlebih dulu memiliki peribadi yang sarat budi. Yakinilah bahawa ‘(hutang) budi akan dibawa ke mati’.

Nabi Muhamad S.A.W. adalah suri teladan nombor wahid di dunia yang mempamerkan secara praktikal erti budi yang sangat indah. Kerana itu baginda dikenang – dan akan terus dikenang hingga kiamat kelak.

Bagi orang Melayu budinya lebih halus dan kaya. Ia menjadi sempurna kerana agama yang dianutinya. Tapi kini ia semakin hilang ditelan zaman. Justeru, mari kita cari budi bangsa dan agama kita yang telah hilang itu. Kita tunjukkan kuasa ‘budi’ untuk kembali menawan hati masyarakat yang semakin rosak oleh kefasadan dunia hari ini. Kita masih belum terlambat untuk  turut serta dalam  ‘kempen budi’ ini.

Leave a comment