Pluralisme adalah istilah dan konsep yang saya selitkan dalam nota kursus Pengajian Malaysia yang saya tulis untuk pelajar-pelajar saya. Ia digunakan untuk menegaskan bahawa kita – di Malaysia yang majmuk ini – perlu mempertahankan kepelbagaian latar budaya dan etnik.
Pluralisme atau juga disalingkaitkan dengan multiculturalisme adalah faham (isme) yang mencanggahi monoculturalisme yang ditaja dan giat dilaksana oleh Barat bagi mewujudkan satu budaya sejagat seragam berdasarkan pemikiran dan falsafah Barat seperti sekularisme, liberalisme, individualisme, positivisme, humanisme dan lain-lain lagi.
Justeru, dalam erti kata lain – dalam konteks pluralisme di Malaysia – berbeza etnik, agama dan bahasa – sekadar menyebut beberapa contoh – bukanlah satu masalah.
Ia tidak boleh dihukum sebagai punca konflik dan kemelut sosial dalam masyarakat kita yang majmuk ini. Masalah yang tercetus selama ini lebih didalangi faktor dan dorongan survival politik dan jurang ekonomi. Begitulah antara lain pandangan sarjana seperti Dr Sanusi Osman dan Prof. Shamsul Amri Baharuddin apabila ‘membaca’ perkembangan sosial masyarakat tanah air kita.
Namun, kelmarin, 14 Disember 2010 bertempat di Dewan Seminar Anjung A, Masjid Wilayah Persekutuan saya dicelikkan oleh Ustaz Uthman el- Muhammady, Dr Anis Malik Thoha dan Dr Samsudin Arif bahawa istilah pluralisme perlu dicermati dan tidak boleh dipakai sembarangan.
Para sarjana Islam ini berucap dalam program Wacana Pemikiran dan Pembangunan Ummah ke-2 : Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah anjuran Muafakat dengan kerjasama JAKIM, JAIS, ACCIN dan NGO Islam lain.
Mereka semua senada bahawa sudah ada gerakan atas nama perdamaian manusia yang menyeru ke arah pluralisme, khasnya pluralisme agama. Mereka bergerak secara global dan sedang mengumpul kekuatan dan pengaruh.
Apa ciri dan implikasi isme atau fahaman ini jika ia diterima oleh umat Islam ?
Saya salin semula tulisan Dr Anis Malik Thoha yang berkaitan dalam laman sesawang Muafakat untuk bacaan semua pengunjung bagi menjawap soalan di atas.
“Dari paparan ringkas ini dapat disarikan bahwa pluralisme agama sebetulnya adalah ajaran demokrasi dalam beragama yang lebih menitik-beratkan pada nilai-nilai dan prinsip-prinsip demokrasi itu sendiri. Sebab secara nasab, pluralism agama ini adalah “anak sah” yang terlahir dari “rahim” demokrasi. Oleh kerananya, secara geneologis pluralisme agama ini secara otomatis dan tak-terhindarkan mewarisi watak dan karakter demokrasi; diantaranya yang paling kentara dan menonjol adalah:
- Kesetaraan atau persamaan (equality). Ajaran pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tak ada yang paling baik dan tak ada yang paling buruk.
- Liberalisme atau kebebasan. Ajaran pluralisme agama mengajarkan hak kebebasan beragama, dalam arti keluar-masuk agama. Hari ini seseorang boleh menjadi Muslim, esok menjadi Kristen, esok lusa menjadi Hindu, dan seterusnya.
- Relativisme. Sebetulnya ini adalah implikasi dari kedua watak yang sebelumnya. Ajaran pluralisme agama mengajarkan kebenaran agama relative.
- Reduksionisme. Untuk sampai kepada kesetaraan atau persamaan, ajaran pluralisme agama telah meredusir jati-diri atau identiti agama-agama menjadi entiti yang lebih sempit dan kecil, yakni sebagi urusan pribadi (private affairs). Dengan kata lain pluralism agama itu berwatak sekular.
- Eksklusivisme. Ramai orang yang gagal mengidentifikasi dan memahami watak atau ciri yang satu ini. Hal ini disebabkan selama ini ajaran pluralisme agama ini diwar-warkan sebagai anti-eksklusivisme. Ia sering menyuguhkan dirinya sebagai ajaran yang “tampak” ramah dan sangat menghormati ke-berbedaan (the otherness) dan menjunjung tinggi kebebasan. Tapi pada hakikatnya, dia sebetulnya telah merampas kebebasan pihak lain dan menginjak-injak serta memberangus ke-berbedaan, apabila dia mendeklarasikan-diri sebagai pemberi tafsir/teori/ajaran tentang kemajemukan/keberagaman/keberbagaian agama-agama yang absolute benar, i.e., “bahwa semua agama sama.” Jadi sesungguhnya ia telah merampas dan menelanjangi agama-agama dari kleim kebenaran absolute-nya masing-masing untuk kemudian dimiliki dan dimonopoli oleh dirinya sendiri secara eksklusif.”
Untuk membaca artikel ini sepenuhnya sila klik di sini.
Di Indonesia ia telah lama berakar umbi dalam masyarakatnya kerana biah sosio-politik dan perundangannya yang lebih terbuka. Di negara kita pula perkembangan pemikiran ini agak terselindung dan perlahan kerana keutuhan perlembagaan dan sikap sensitif ummah Melayu-Islam khususnya yang ‘pantang’ mendengar isu yang cuba mencemar syiar Islam. Lihat sahaja isu kalimah Allah oleh gereja Katholik di Sabah – umat Islam bingkas bangun memprotes dari warung kopi hingga ke Parlimen!
Menurut para sarjana ini pluralisme agama adalah satu doktrin, isme dan ajaran baru beragama atas nama seruan berdamai sesama manusia tanpa lagi konflik antara agama yang selama ini didakwa punca konflik antara penganut-penganut agama di dunia ini.
Alasan mereka disandarkan kepada peristiwa sejarah silam yang pilu. Misalnya benturan antara Islam-Kristian yang ditandai oleh Perang Salib 200 tahun, pergaduhan Islam-Hindu di benua India dan Kristian orthodoks-Islam di Bosnia-Herzegovina. Yang masih berterusan ialah penyembelihan umat Islam Palestin oleh Zionis Israel sejak 60 tahun lalu.
Kupasan oleh Pn Farhana, sarjana yang sedang menyiapkan tesis PhD mengenai pluralisme agama di UKM dan Dr Yusri Muhamad, mantan-presiden ABIM yang kini pensyarah kanan di Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIA pada sesi petang melengkapkan lagi pemahaman saya dan para peserta lain tentang bahayanya pluralisme agama ini yang kini sedang meluaskan pengaruhnya di Malaysia melalui NGO tertentu sepeti Sisters in Islam (SiS) dan Institut Kajian Dasar.
Percayalah istilah ini menyamari niat golongan yang sesat ini yang begitu mengkagumi daya fikir logik pelopor idea dan kemudian menjadi isme hingga diperjuangkan antaranya di bumi Indonesia – negara jiran kita di seberang. Niat mereka ialah untuk membebaskan manusia dari petunjuk Ilahi dan hidup berdasar dan bersandar kepada upaya aqal yang kritris dan kreatif tanpa batas sebagai punca kemajuan.
Lebih sukar untuk berhujah balas dengan golongan ini kerana mereka juga menggunakan dalil dan sumber sama iaitu Al-Quran dan hadith. Cuma pentafsiran mereka dikerangkakan oleh aqal bukan merujuk kepada pandangan ulama muktabar.
Dengan pemahaman yang lebih mendalam dan baru ini juga memaksa saya menyemak semula maksud dan kegunaan istilah pluralisme dalam nota Pengajian Malaysia saya. Ia perlu dibetul atau dimurnikan agar tiada kekeliruan atau kekaburan di sebalik istilah ini.
Saya perlu mengkhususkan lagi istilah tersebut kerana ia mempunyai pecahan-pecahannya. Menurut para sarjana tadi, maksud pluralisme hanya mendatang bahaya dan tujuan negatif bila digandingkan dengan istilah agama.
Justeru, pluralisme bahasa dan budaya misalnya boleh diterima dan didokong jika perlu dalam konteks masyarakat majmuk di tanah air kita.
Eloklah sdr/i yang membaca entry kali ini turut menekuni dan mencermati maksud pluralisme agama ini melalui rujukan tambahan di perpustakaan atau di kedai buku. Carilah makalah, artikel akhbar dan buku yang berkaitan.
Selain itu ‘nota-nota’ yang berwibawa di internet ini juga tersedia banyak dan menanti kunjungan dari anda semua. Satu daripadanya adalah karya seorang sarjana Indoensia yang agak terkedepan dan lantang menentang isme ini iatu Dr Adian Husaini. Klik di sini untuk membaca tulisannya bertajuk Pluralisme Agama : Musuh Agama-agama (Pandangan Katolik, Protestan, Hindu dan Islam terhadap Paham Pluralisme Agama).
Maklumat ini hanya di hujung jari anda sahaja. Pemahaman isu ini kelak akan menyelamatkan akidah anda!
Ya Allah selamatkan umat Islam di tanah air tercinta ini dari cemar dan kesesatan gerakan pluralisme agama ini. Amin

Tahniah di atas ulasan majlis kami. Dan juga terima kasih kerana mengahdiri wacana tersebut.
Kesemua bahan wacana boleh dibaca secara online di
http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/12/15/kertas-kertas-pembentangan-wacana/
Wassalam
Terima kasih Muafakat. Moga mesej daripada wacana ini tersebar ke khalayak yang lebih besar di luar sana. Respons dari pihak kerajaan berhubung isu pluralisme agama ini juga sudah kerap kedengaran kebelakangan ini.
Moga Allah memberkati usaha Muafakat dan lain-lain NGO Islam untuk membendung isme yang merbahaya ini.