Pagi kelmarin cuacanya cerah. Tapi cuaca emosi segelintir pelajar saya tampak suram. Di raut wajah mereka tiada redup yang damai. Tiada senyum berkuntum. Tiada sapa untuk bermesra. Sebaliknya mendung. Mereka tidak seceria hari biasa yang saya temui. Saya sedikit terganggu. Tapi hanya seketika. Saya cuba mencari kewajaran terhadap sikap ‘aneh’ mereka pagi-pagi hari ini.
Saya tertanya-tanya mengapa mereka begini ? Apatah lagi antara mereka selalu menyapa mesra saya bila bertembung di kampus. Pasti telah terjadi sesuatu sebelumnya. Tak mungkin ‘takda ribut takda taufan’ mereka tiba-tiba seakan tidak pedulikan pensyarah mereka.
Hanya sebelah petangnya baru saya tahu cerita sebenarnya dari seorang pelajar lain yang bertamu di bilik saya untuk sesi runding cara akademik. Rupa-rupanya pada pagi tadi mereka (segelintir cuma) tengah kecewa dan bersedih kerana baru sahaja mendapat keputusan ujian 1 satu kursus teras Semester 3 mereka. Markah diperolehi cukup rendah untuk mencetuskan rasa kesedihan yang amat.
Oh..Patutlah!
Jelas sekali pelajar ini sangat ’sensitif’ dengan markah ujian mereka. Seakan-akan ia adalah segala-galanya dalam hidup mereka. Barangkali dalam benak dan hati mereka markah adalah ukuran dan penentu muktamad kepada kejayaan dan kesempurnaan hidup mereka – kini dan akan datang.
Justeru, naik turunnya markah ujian boleh mempengaruhi emosi dan secara tidak langsung pertimbangan waras mereka. Ada yang dah biasa dapat markah yang tinggi. Jadi bila (tiba-tiba) dapat markah rendah, mereka macam tidak sangka dan tidak dapat menerimanya.
Malangnya mereka yang berkenaan ini sangat terusik dengan markah rendah mereka hingga tidak mampu menyorokkan kekecewaan mereka bila berada di khalayak umum. Sampaikan saya pun dipandang tanpa rasa hormat sebagai pensyarah mereka. Ia sangat jelas di raut wajah mereka.
Pada saya kepercayaan dan sikap ini salah. Ia tidak sihat untuk pembinaan sahsiah diri pelajar.
Saya suka melihat perkara ini dari sudut yang lain. Yang lebih holistik. Saya percaya kehidupan yang sebenar bagi seorang insan – walau apapun statusnya – adalah himpunan dari segala bentuk pencapaian yang diperolehi hasil titik peluhnya. Kehidupan ini – lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang kompetetif hari ini – sangat kompleks. Memanglah kejayaan adalah syarat wajib untuk sentiasa menempatkan diri di kedudukan yang selesa dalam hidup.
Namun, hidup kita tidak ditentukan oleh impian, harapan dan cita-cita kita sahaja. Ia tidak noktah di situ.
Pada penelitian saya, pencapaian kita berlaku kerana dua perkara, iaitu ia berlaku kerana pilihan kita dan/atau kerana ia adalah suatu yang ditakdirkanNya. Baru titik!
Ada perkara yang kita boleh dapat atau capai kerana ia adalah pilihan kita. Jika ini berlaku alhamdulillah. Ghalibnya pencapaian ini berlaku kerana banyak perkara yang kita lakukan adalah dalam kawalan kita atau ianya dalam batas kemampuan kita. Oleh itu mudah kita memperolehinya.
Misalnya, kerjaya saya sekarang adalah pilihan saya. Saya percaya masa depan saya adalah pilihan saya. Dengan keputusan akademik dan kecenderungan jiwa dan peribadi saya ketika itu, ditimbang juga dengan faktor-faktor luar lain saya memilih untuk menjadi guru. Peluang menjadi guru bagi lepasan ijazah Sains Nuklear bagi seorang graduan lelaki ketika itu baru sahaja terbuka. Maka saya nekad. Alhamdulillah niat saya termakbul. Kini setelah 15 tahun bergelut dengan masalah dalam dunia pendidikan, saya tetap gembira dengan kerjaya pilihan saya ini.
Itulah pencapaian hasil pilihan kita. Dengan izinNya (pasti) ia menjadi pencapaian yang menggembirakan. Padanya ada kepuasan.
Namun, dalam situasi tertentu dalam hidup, pencapaian kita tidak berlaku kerana atau mengikut pilihan kita. Ia terjadi kerana ia suatu yang ditakdirkan. Kita tidak ‘diberi pilihan’. Kita memang ‘memilih’ untuk berjaya. Sebab itu kita ‘pilih’ untuk berjaya dengan belajar bersungguh-sungguh, buat segala tugasan, tidak leka dan sebagainya. Namun, keputusan atau natijah akhir bukan di tangan kita. Jadi jika kita tidak mencapai keputusan yang baik sebagaimana yang kita harapkan, maka pencapaian yang kita perolehi adalah suatu takdir.
Takdir adalah suatu yang ALlah tentukan kepada kita. Sama ada kita suka atau tidak. Ia juga bermaksud bahawa takdir boleh terjadi ke atas kita sebagai suatu yang ‘bertentangan’ dengan ‘pilihan’ kita.
Apakah sikap kita apabila takdir sebegini terjadi?
Redhalah. Kerana ALlah tidak memberi kepada hambaNya melainkan ia secocok dan berpadanan dengan keupayaan dan kelebihan serta kekurangan diri kita. Apa yang kita tahu, harap, cita-citakan mungkin hakikatnya tidak baik untuk kita. Justeru, Allah tidak mengizinkan ‘pilihan’ kita. Begitulah juga sebaliknya.
Antara contoh takdir yang ‘bertentangan’ dengan ‘pilihan’ kita ialah dalam hal bertemu jodoh, memilih bidang pengajian, dan memilih IPTS/A.
Mencari jodoh adalah contoh kepada pengertian takdir yang baik. Ada seorang kenalan wanita saya – beliau telah bertunang dengan lelaki pilihannya. Lelaki itu telah dikenalinya lebih dari lima tahun. Akhirnya dia bersetuju untuk menjadi isteri lelaki tersebut. Hubungan mereka dikukuhkan dengan ikatan pertunangan. Harapan kenalan saya ini agar mereka berdua akan menjadi pasangan suami isteri yang bahagia seperti pasangan bahagia yang lain. Namun, ‘ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahhari’. Tempoh pertunangan telah mendedahkan sisi-sisi penting lelaki tersebut kepada kenalan saya ini yang tidak disenangi olehnya. Akhirnya tali pertunangan telah diputuskan.
Kini beliau telah pun mempunyai tunang yang baru setelah setahun melalui saat-saat yang paling sedih dalam hidupnya sebagai seorang gadis. Tunang baru ini bukanlah pilihan hatinya. Tapi dia datang memberi sinar baru dalam hidupnya ketika dia berusaha menjauhi cinta baru. Jika berlaku pernikahan hujung tahun ini maka itulah takdir buat kenalan saya ini. Jodoh untuknya adalah takdir dariNya, bukan pilihannya.
Maka apakah iktibar dari kejadian pagi Selasa lalu buat pelajar saya yang berkenaan? Jadi selepas kita telah berikhitiar dengan bersungguh-sungguh dalam ulangkaji pelajaran, maka hasilnya kita kembalikanlah kepadaNya. Bukankah kita telah diajar agar bertawakal!
Ingatlah kita boleh memilih untuk suatu perkara. Tapi bersedialah dengan keputusan atau kesudahannya kelak kerana mungkin kita mendapat takdir yang lain.
Hidup menjadi sempurna dengan kejayaan yang manis dan juga kegagalan yang pahit.
Tips untuk berubah duhai pelajar saya : bersikap terbukalah, berlapang dadalah dan akur bahawa ALlah sahaja yang berkuasa memperkenankan ‘pilihan’ kita atau menentukan takdir kita.
Dan semua takdir itu tidak akan berlaku melainkan disiratkan di dalamnya hikmah. Setidak-tidaknya jika kita dapat markah rendah, mungkin inilah ketikanya kita muhasabah semula diri kita – niat, tingkah laku kita, gaya hidup kita sekarang dan banyak lagi yang lain kerana antara perkara-perkara ini ada yang telah mempengaruhi dapatnya takdir markah rendah Selasa lalu.
Allahu ta’lam










2 responses so far ↓
Miss Nora // October 26, 2009 at 8:31 pm |
Assalamualaikum buat semua warga Uniti.
Harap ok semuanya. Teringin nak jumpa kawan-kawan di Uniti. Rindu kenangan di Uniti.
Sebenarnya tertarik baca cerita Cikgu Bad ni. baru berkesempatan melewati blog ini setelah 3 bulan berpindah tempat keje.
Hairan saya dengan pelajar kita hari ini. Hanya kerana markah sudah hilang segala pekerti yang mulia. Anda belum gagal sepenuhnya. Belum dapat surat kena berhenti belajar pun lagi.Ini baru Ujian 1. Apa yang anda dapat kali ini jadilah sebagai penguat semangat dan juga peringatan untuk anda. Maksudnya kenalah berusaha lebih lagi untuk ujian yang seterusnya dan juga final exam kalau tak mahu dapat markah rendah lagi.Ingatlah kepada pepetah”
Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya.”
Anda belum gagal lagi kan?
Akhir kata kepada semua pelajar Uitm selamat menghadapi final exam.Good luck.
Wassalam.
cikgubad // October 26, 2009 at 11:26 pm |
‘Alaikisalam Nora,
Uniti baru saja melalui saat-saat getir dikunjungi panel penilai MQA utk program DPS dan DPI (perbaharui akreditasi) kira2 3 mnggu lalu. DBS pun kena juga sebelum tu. Moga2 semuanya sukses.
Sekarang kawan2 Nora tengah pulun nak abiskan silibus. 2 minggu lagi study leave utk pelajar Uniti.
Seronokkan tempat baru dan profesyen baru Nora?
Tentang pelajar-pelajar saya ni hanya segelintir je yg camtu. Memang akan ada jenis yg camni. Apapun mereka ni masih mentah dgn selok belok dan ‘ups and downs’ dalam kehidupan. Justeru mesti selalu diperingatkan. Pada cikgubad ‘mengajar pada yang sudi, mendidik pada yang punya hati’.
Oklah Nora. Moga bergembira dan dapat kepuasan yg tiada di sini. Terima kasih di atas respons entri cikgu bad ni.
Wassalam