Internet, Plagiarisme dan Pelajar

Ketika ini pelajar-pelajar saya sedang bertungkus lumus mempersiapkan bahan untuk pembentangan tugasan atau kajian mini Pengajian Malaysia. Setelah kira-kira 2 bulan lebih soalan diberi, masanya hampir tiba untuk saya melihat hasilnya.

Walaubagaimanapun sepanjang masa ini, hanya beberapa kerat sahaja kumpulan pelajar yang menemui saya untuk berbincang mengenai tajuk tugasan mereka. Saya mengharapkan lebih ramai lagi yang mencari suluhan atau petunjuk tentang proses memula, mencari dan menyudahkan tugasan kursus yang berat ini. Tapi ini tidak berlaku sebagaimana diharapkan.

Yang berjumpa saya pula dengan kerenah dan ragam masing-masing. Misalnya ada yang merungut ‘…tajuknya tidak ada dalam internet cikgu.’ Jelas nada kehampaan mereka kerana setelah lama meng’goggle‘ bahan-bahan internet masih juga gagal ditemui. Internet seperti ‘tidak mesra-pelajar’ yang begitu beria-ia ini.

Kelihatannya internet telah manjadi sumber primer untuk pelajar mendapatkan maklumat dan data kajian. Buku atau artikel majalah ilmiah tidak lagi menjadi rujukan utama.

Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh internet dalam kehidupan pelajar.

Namun – di samping kebaikan kecanggihan ICT – saya tetap runsing kerana – sejak bertahun lalu – bahan internet telah diambil secara tidak bertanggungjawab hingga berlaku fenomena penciplakan atau dalam bahasa akademik disebut plagiarisme.

Budaya negatif ini telah disinggung oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi ketika berucap pada majlis perasmian 1 Megalab, di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas pada 23 Mac 2009.

“Beliau berkata penggunaan komputer dan internet untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan telah mencetuskan budaya kerja “cut and paste” dan sehingga mengabaikan proses penyelidikan untuk maju ke hadapan.”

Namun malangnya pelajar tidak menyedari bahawa perbuatan ‘cut and paste’ adalah satu jenayah akademik. Mereka tidak tahu ia adalah plagiat – suatu kesalahan akademik yang serius.

Besarnya kesalahan memplagiat digambarkan oleh laporan BERNAMA berikut yang bertajuk ’Ijazah Pelajar UM dilucut Akibat Ciplak Tesis’, bertarikh 20 Jun 2007:

Pengarah Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Khoo Boo Teong berkata setiap universiti mempunyai perlembangaan sendiri untuk melucutkan kelayakan mana-mana pelajar yang didapati menipu.

“Di Universiti Malaya kita ada Seksyen 56, Perlembagaan Universiti Malaya untuk menghadapi sebarang kes plagiat, meniru dan penipuan.

“Hari Isnin lepas, kita baru mengeluarkan notis pelucutan di akhbar tempatan terhadap seorang pelajar dari Fakulti Pengajian Melayu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa pelajar itu dilucutkan ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Melayu yang dianugerahkan pada Istiadat Konvokesyen UM pada 4 Ogos 2004 kerana plagiat dalam penulisan tesis.

Khoo berkata melalui pengalamannya kebanyakan kes penipuan dikenal pasti oleh pihak ketiga yang menggunakan kajian terdahulu sebagai rujukan.

Kita perlu fahami maksud plagiat secara akademik. Menurut Faculty Council Indiana University plagiarisma ialah :

“…as presenting someone else’s work, including the work of other students as one’s own. Any ideas or materials taken from another source for either written or oral use must be fully acknowledged, unless the information is common knowledge. What is considered “common knowledge may differ from course to course.”

Menginsafi fenomena yang tidak sihat ini, Andrew Keen dalam bukunya ‘The Cult of Amateur: How Today’s Internet is Killing Our Culture and Assaulting Our Economy’ menyatakan :

“The fact is that co-opting other people’s creative work – from music file sharing, to downloading movies and videos, to passing off others’ writing as one’s own – is not only illegal, in most cases, but immoral. Yet the widespread acceptance of such behaviour threatens to undermine a society that has been built on hard work, innovation, and the intelectual achievement of our writers, scientists, artists, composers, musicians, journalists, pundits and moviemakers.”

Mengenai amalan plagiarisme melalui bahan-bahan di internet, dalam satu kajian ke atas 50,000 siswa oleh Center for Academic Integrity pada Jun 2005 di kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat mendapati :

“.. 70% of college students admitted to engaging in some form of cheating; worse still, 77% of college students didn’t think that Internet plagiarism was a “serious” issue. This disturbing finding gets at a grave problem in terms of Internet and culture : The digital revolution is creating a generation of cut-and-paste burglars who view all content on the Internet as common property.”

Fenomena ini tidak mustahil juga sedang merebak di kalangan mahasiswa di negara kita. Ia berlaku sama ada disengajakan atau secara tidak sengaja.

Ada beberapa sebab mengapa fenomena plagiat terjadi.

Pertama, pelajar sendiri tidak didedahkan dengan kemahiran mencari maklumat atau membuat ‘kajian kepustakaan’. Sepanjang pengetahuan saya kursus Penulisan Ilmiah memang tiada dalam senarai kursus wajib kolej yang perlu ditawarkan kepada pelajar. Kursus ini sebagaimana kursus pengajian umum sepatutnya diajar merentasi program atau kurikulum. Ia memberikan kemahiran menyelidik dan melatih minda menjadi objektif, kritis dalam mencari fakta dan akhirnya menemukan kebenaran perkara yang dikaji. Kualiti ini jarang ditekankan dalam program akademik.

Kedua, ‘cut and paste‘ adalah kaedah mudah dan cepat untuk menyelesaikan tugasan. Asalkan dapat bahan yang difikirkan sesuai, salin sahaja bulat-bulat dan adunkan dengan bahan-bahan lain maka siaplah tugasan. Mudahkan begitu!

Ketiga, pelajar memplagiat kerana kesuntukan masa dan bersikap ambil mudah (take things for granted).

Namun hakikat sebenar ialah sikap (attitude) pelajar terhadap budaya ilmu itu sendiri. Mereka melakukan semua aktiviti akademik asalkan siap dan tidak mempunyai sasaran pencapaian yang tinggi dan berkualiti.

Mereka turut beranggapan kerja plagiat ini tidak akan dapat dikesan pensyarah. Namun anggapan ini ternyata silap kerana pensyarah masih boleh mengesan ciri-ciri tulisan yang diplagiat pelajar. Bak kata pepatah ‘ibarat sekilas ikan di air, dah tau jantan betinanya’.

Kepada pelajar saya anda harus banyak belajar lagi untuk menghasilkan satu naskah akademik. Ia suatu yang sukar tetapi tidak pula mustahil. Asalkan ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’.

Sikap yang anda tunjukkan sekarang tidak akan banyak membantu. Ini kerana ilmu tidak akan dikuasai tanpa didahului kerja kuat, penelitian, penekunan, kesabaran dan pengorbanan.

Seperkara lagi ialah pra-syarat paling asas iaitu dengan mempunyai sikap yang betul. Bagi sesetengah mazhab perubahan, ia adalah penentu kepada setiap perubahan.

Maka, sebagai pelajar bukankah ini tanggungjawab yang anda perlu laksanakan!

6 comments on “Internet, Plagiarisme dan Pelajar

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s